Dua
hari sebelum tarikh berangkat pulang ke tanahair setelah selesai mengerjakan
umrah, saya cuba meninjau kehidupan orang Melayu Pattani yang bermastautin di
kota suci Makkah. Seperti juga komuniti Melayu lainnya, komuniti orang Melayu
Pattani sudah lama bertapak di kota haramaian ini.
Asalnya
mereka merantau ke sini untuk menuntut ilmu dan menadah isi kitab dengan
ulama-ulama di sekitar Masjidil Haram. Ramai yang betah meneruskan kehidupan di
sini, demi cinta kasih mereka pada kota kerinduan seluruh umat Islam ini.
Hingga
kini telah lahir beberapa generasi Melayu Pattani di Makkah. Menariknya,
identiti dan wajah mereka tetap sama seperti kita, namun lidah mereka petah
berbicara bahasa al-Quran. Biar jauh meninggalkan ibu pertiwi dan mengatur
kehidupan di bumi Makkah ini, kehidupan mereka masih tidak jauh terpisah dari
adat resam dan budaya warisan.
Saya dan teman
serombongan, Seri Amin Hj. Othman (sudah kembali ke rahmatullah tahun lalu) dipelawa Anuar Hj. Abd Rahman, 27 tahun, untuk
bertemu keluarganya. Anak muda ini saya kenali ketika kami berurusan dengan petugas-petugas
Andalusia Travel and Tours di Hotel Najmah Al Azhar yang kebanyakannya
bersusur-galur Melayu Pattani.
Petang Rabu itu selepas solat Asar, kami
bertolak dengan kereta yang dipandu Anuar, menyusuri jalan yang sibuk melalui
Terowong Assulaimaniyah. Anuar membawa kami
singgah sebentar menziarahi perkuburan Ma’ala. Di sini letaknya makam isteri Nabi
s.a.w. yang amat dikasihi, Sayidatina Khadijah r.a. Sempat saya mengambil foto
lebih dekat tempat maulid (kelahiran Nabi) dan Masjid ar-Rayah (bendera) atau
lebih dikenali dengan nama Masjid Kucing. Rumah keluarga Anuar letaknya berhampiran Masjid
Kucing ini.
Kereta meluncur laju
menuju Jalan Ajyad selepas melalui Terowong Sheab dan berhenti di satu simpang
jalan berbukit. Selepas memarkir kereta di situ, kami berjalan kaki menuju ke atas
bukit. Tercungap-cungap juga kami menurut langkah Anuar yang sudah biasa dengan
lokasi berbukit.
Dari lorong yang berbukit itu, kami seterusnya
mendaki lorong bertangga kecil sehingga menemui pintu rumah pangsa
bertingkat-tingkat. Langkah kaki terus diatur memanjat anak tangga ke tingkat tiga.
Tiba di sebuah pintu rumah, Anuar mempelawa kami masuk dan duduk di ruang tamu. Melihatkan
suasana dari luar, saya sendiri tidak menyangka rumah yang mereka diami ini
besar dan luas. Selesa bagi sebuah keluarga yang ramai ahlinya.
Sementara menunggu
kemunculan tuan rumah (ibu bapa Anuar), pandangan mata tertarik melihat barisan
kitab-kitab yang tersusun rapi di rak buku, mencerminkan kecintaan tuan rumah
pada ilmu. Tidak lama kemudian muncullah susuk tubuh seorang wanita yang
berusia lewat 40-an. Salam dihulur bersambut senyuman manis seorang ibu.
Selepas
bertanya khabar dan menyatakan hasrat ingin mencungkil sedikit sebanyak
pengalaman keluarga ini tinggal di rantau orang, Hjh Che Wa keluar dan masuk
semula ke ruang tamu. Kali ini beliau bersama suaminya, Hj. Abd Rahman b. Daud Pattani, 58
tahun. Haji Abd Rahman duduk di sofa menghadap saya dan teman.
Tiga puluh tahun yang lalu, pasangan ini merantau ke kota suci Makkah ini dengan hasrat mahu menadah ilmu sebanyak mungkin. Hj. Abd Rahman sendiri merantau ke sini ketika usianya masih muda. Sementara Hjh Che Wa pula menyusul kemudian dalam usianya 15 tahun, selepas kedua-duanya diikat oleh tali pernikahan oleh orang tua mereka.
Tiga puluh tahun yang lalu, pasangan ini merantau ke kota suci Makkah ini dengan hasrat mahu menadah ilmu sebanyak mungkin. Hj. Abd Rahman sendiri merantau ke sini ketika usianya masih muda. Sementara Hjh Che Wa pula menyusul kemudian dalam usianya 15 tahun, selepas kedua-duanya diikat oleh tali pernikahan oleh orang tua mereka.
“Hajat di hati masa
itu nak sambung pengajian ke Mesir, tapi tidak dapat lalu saya terus datang ke
Makkah,” ujar Hj. Abd Rahman mengimbau kisah penghijrahannya ke kota suci ini. Semangat membara di dadanya ketika usia masih muda dimanfaatkan dengan tekun mencari guru. Beliau sempat berguru
dengan ramai guru yang mengajar di sekitar Masjidil Haram. Antaranya, Allahyarham
Ustaz Soleh Kenali dan Allahyarham Syeikh Abdul Rahman Kubang Siam yang
mengajar bahasa Arab, tafsir dan hadis.
Suasana pembelajaran
yang diikutinya tidaklah formal seperti di pusat pengajian tinggi. Menurut Hj. Abd Rahman kebanyakan
pelajar akan datang menadah kitab selepas solat Maghrib dan Isyak. Selain
mengaji di sekitar Masjidil Haram, pengajian juga bersambung ke madrasah dan di
rumah-rumah penduduk di sekitar Jiyad. Sehingga kini, menurut Hj Abd Rahman, pengajian
bentuk begini masih terus aktif dan berjalan seperti biasa.
“Kaum wanita Melayu
juga ada pengajian mereka sendiri. Biasanya mereka belajar al-Quran di
rumah-rumah. Sebab itu mereka mahir dan boleh mengajar al-Quran,” ulasnya
sambil memandang
isterinya. Hjh. Che Wa mengangguk, sambil tersenyum manis, mengiyakan cerita suaminya.
Yang menarik hati
saya, apabila diberitahu pengajian kitab Arab turut disyarah atau dibahaskan
dalam Bahasa Melayu. Ini mengiyakan cerita seorang teman, di mana dia dan suaminya sempat
berteleku mendengar syarahan kitab Arab dalam Bahasa Melayu di satu sudut dalam
Masjidil Haram selepas mereka menunaikan solat Maghrib.
Rupa-rupanya sehingga
kini Bahasa Melayu terus menjadi bahasa perantara wacana ilmu. Mungkin inilah
pencetus sebab mengapa ia terus dijulang tinggi oleh pewaris bahasa ini di kota
suci Makkah. Justeru tidak hairan saya melihat masyarakat Melayu Pattani masih terus
kukuh memelihara bahasa ibunda mereka.
Bersambung...
Bersambung...
Petikan artikel Anis Julai 2007 dalam ruangan Eksklusif Bersama Melayu Pattani di Makkah.
No comments:
Post a Comment