Hari terakhir di Beijing, sempat juga pekena secawan kopi iaitu di Mc Caffe. Bersama Cikgu Fuziah Ali dan anak-anaknya, Iman dan Aisyah. Bersama kami juga peserta paling muda iaitu Soffiya yang berusia lima tahun.
"How much?" saya bertanya kepada seorang wanita Cina yang sedang membawa sedulang makanan ringan dan beberapa cawan kopi panas. Ketika itu saya dan ahli rombongan trip Muslim Tours bersama MASholidays sedang menikmati persembahan akrobatik.
Ianya mencatat sejarah hari pertama saya di bandar raya kedua terbesar dan tersibuk di Tanah Besar China selepas Shanghai. Suhu hari pertama di Beijing mencatat -9 Selsius. Menurut warga Beijing, ianya suhu terendah dicatat dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu. Memang sejuknya luar biasa. Angin begitu kuat menampar pipi hingga memaksa saya membeli topi untuk menutup muka.
Pada waktu malam sejuknya lebih mencengkam. Kesejukannya terasa-rasa mencucuk dan menyelinap masuk hingga ke tulang.
Saya lihat beberapa tangan menghulur not kepada wanita tersebut. Cawan kopi mula berkurangan.
Saya berfikir-fikir untuk membelinya, untuk mengubat kesejukan yang tiada tara. Buat sementara waktu.
"20 Yuan," jawabnya pendek.
"Ha?" Saya mencongak-congak, hmm harganya lebih kurang RM10. Untuk secawan kopi? Oh... tidak! Namun apa mahu dipersoalkan, itulah harga secawan kopi di Beijing pada musim sejuk.
Saya teringat rombongan Tn Hj Abu Hassan dan kru Kembara Buku yang baru pulang dari London. Harga secawan kopi atau sepinggan nasi lemak pasti berkali-kali ganda harganya. Mungkin RM30 atau RM40.
Saat ini fikiran mengelamun jauh. Saya terkenangkan air kopi di tanah air. Selalunya apabila membancuh kopi di rumah, maka sayalah yang terkulat-kulat dan berusaha untuk menghabiskannya. Kenapalah anak-anak saya tak minat langsung dengan kopi? Teh, milo atau ais semuanya Ok, tapi bukan kopi.
Maka trip percutian ke Beijing (8-12 Disember 2012 lalu) menjadikan saya seorang pencandu secawan kopi. Bukan sahaja saya tetapi rakan-rakan yang lain juga. Setiap pagi rakan setugas saya, Marzhatul Syima turun ke ruang makan di hotel kami menginap, saya pula lebih rela menikmati semangkuk maggi dan secawan kopi panas (bekalan dibawa dari tanah air) sambil menonton TV walaupun dalam Bahasa Cina. (Buat-buatlah faham).
"Ha, tak sangguplah nak minum kopi, macam air longkang!" Rungut seorang rakan mengenang air kopi pertama kali diminum di ruang makan hotel. Oh... sadisnya. Tapi itu pengakuan ikhlas lagi benar.
"Mujur kita dapat menikmati air yang bersih, semasa saya bertugas di Afrika dulu, air mineral pun keruh seperti air sungai... " seorang rakan bertugas seorang juruterbang berkongsi pengalamannya.
Maka kami terkedu seketika.
Walau apa pun rona air kopi itu, tapi itu lebih baik daripada minum air mineral yang telah bertukar menjadi ais, fikir saya. Namun secebis pengalaman ini memberi tarbiah yang tidak ternilai buat diri ini. Ya, setiap musim yang Allah ciptakan mempunyai hikmah yang tersirat di sebaliknya, untuk kita bersedia dan saling merindu musim-musim selainnya.
Apapun buat warga Malaysia yang senantiasa di bawah lembayung garisan Khatulistiwa, kita sesungguhnya bertuah kerana dilimpah nikmat air yang tidak ada tandingan. Air terlalu mewah di sini maka kerana itulah kita menjadi insan yang jarang bersyukur dan kurang menghargai nikmat air sehingga mudah untuk membazirkannya sesuka hati.
Terima kasih ya Allah, harga secawan air kopi ini mengingatkan hamba-Mu ini erti syukur... .
|
No comments:
Post a Comment