January 31, 2013

Part 1 Travelog Beijing - Nostalgia Istana Musim Panas


6.28 pagi: 

Pesawat MH 370 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, China. Sebaik melangkah keluar, hawa sejuk sudah mula dirasai. Angin sejuk dari Siberia menampar-nampar pipi kami yang terus menggigil kesejukan, biarpun sudah bersedia dengan jaket dan baju panas.

Suhu mencecah  -9 selsius di bawah paras beku. Suhu terendah yang dicatat di Beijing sejak sepuluh tahun lalu. Namun ia tidak sedikit pun melemahkan semangat dan perasaan teruja saya dan 43 ahli rombongan yang lain untuk meneroka bandar raya kedua terbesar di Republik Rakyat China ini selepas Shanghai.

Sebagai kuasa besar ekonomi dunia, Beijing menjadi pusat transit pelbagai bangsa untuk urusan perniagaan dan perdagangan. Bandar raya yang empat kali berbanding Kuala Lumpur ini mencatat bilangan populasi rakyatnya berjumlah 28 juta orang – menyamai jumlah seluruh rakyat Malaysia!

Sebagai ibu kota, bandar raya Beijing yang dahulunya dikenali dengan Peking, menyimpan nilai estetika yang begitu tinggi kerana pernah menjadi pusat pemerintahan Maharaja China yang silih berganti dari pelbagai dinasti.  

Gambaran pertama 

Sebaik mengambil bagasi masing-masing, kami terus beredar keluar. Terasa lega dapat keluar dari biokrasi pemeriksaan yang agak menjengkelkan perasaan sebentar tadi. Gambaran pertama di Beijing agak tercalar sedikit. 

Di tepi aspal, bas persiaran berwarna putih sudah siap menanti. Sebaik saja mendapat tempat duduk masing-masing bas mula bergerak. Mata saya memerhati dengan teliti landskap bandar raya Beijing yang dibungkus aura sejuk sejak Oktober lalu. 

Tiada apa yang menarik, hanya tunggul pokok dan rantingnya yang berdiri di sepanjang jalan raya. Saya teringat semula peristiwa di 'airport' iaitu layanan kurang mesra dan berat sebelah pegawai-pegawai imigresennya, lantas saya bertanya pada diri, "Adakah kesejukan ini membuatkan warganya juga bersikap dingin?" Namun terlalu awal untuk menyatakan iya. 

Kami tiba pada hari Sabtu. Tidak ramai warga Beijing di jalan raya, mungkin ramai yang masih dibalut selimut. Namun walaupun baru sebentar tiba, sesuatu yang pasti ingin saya kongsikan ialah suasana bandarnya sentiasa bersih daripada sampah sarap di jalanan. Mata saya aman sekali menatapnya. Namun hati tertanya-tanya ke mana destinasi kami seterusnya? Adakah mengikut aturacara yang sudah tertera dalam jadual?

8.55 pagi:  
Istana Musim Panas

Rombongan kami terus diberi taklimat oleh seorang pemandu pelancong. Namanya David Yang, fasih berbahasa Inggeris. Katanya pada hari pertama ini kami tidak akan terus ‘check-in’ di hotel sebaliknya terus melawat beberapa tempat di sekitar Beijing. Katanya kami akan dibawa ke Summer Palace atau Istana Musim Panas. 15 minit kemudian, kami pun tiba di pekarangan pintu masuknya. 

Apa yang menarik mengenai Istana Musim Panas yang didirikan pada zaman Dinasti Qing ini? David Yang memberitahu, taman diraja yang terbesar di China ini sangat cantik pada musim panas. Ia mekar indah dengan pohon teratai yang berkembang menghiasi Tasik Kunming. Lantaran itu ia menjadi taman kesukaan maharaja China terutamanya Maharani Cixi yang cukup terkenal dalam landskap pemerintah diraja negara China. 

Dari jauh saya perhatikan sebuah istana yang dipisahkan oleh sebuah Tasik Kunming. Beberapa buah bot tersadai di tepiannya. Biarpun airnya sudah membeku dan kami hanya menatap deretan pohon-pohon kering di sekelilingnya, ia tetap menghadiahkan panorama menarik.  Sejam lebih berada di situ, kami beredar keluar semula. Walaupun masih mahu mengambil foto-foto menarik tetapi saya dan rakan setugas serta rombongan lain tidak sanggup berlama-lamaan di situ.

Cuaca dinginnya begitu mengilukan. Untuk menekan kamera pun tangan saya terketar-ketar biarpun dilapisi sarung tangan. Muka pula terasa bagai disiat-siat dan perit sekali sehingga memaksa saya menarik tudung menutupi muka. Saya juga terlupa memakai 'long john' (baju tebal) ketika di dalam kapal terbang tadi. Mafla juga tiada. Hanya berbekalkan kot tebal dan sehelai topi nipis. Teringat pesanan suami yang saya ingkari. Hmm sekarang rasakanlah... Maka apa lagi terketar-ketarlah saya menahan sejuk. Brrrr.... . Itulah nostalgia saya di Istana Musim Panas pada hari pertama di Beijing. 

Tasik Kunming, tasik buatan manusia yang dipenuhi pohon teratai pada musim panas. Kini airnya membeku. 

Salah satu binaan yang dihiasi ukiran tradisional China. Tempat berehat melepas lelah.  

Jambatan penghubung istana diraja di sebelah sana. Hanya mampu dilihat, tidak mampu diseberangi dek halangan cuaca. 

January 30, 2013

CIRI-CIRI IDEAL SUAMI


Anda mungkin tidak akan bertemu dengan suami yang ideal, tetapi anda boleh melihat adanya ciri-ciri ideal pada seorang suami.

Memang susah dan hampir mustahil hendak mencari pasangan yang ideal. Oleh itu, jangan cari suami yang ideal. Tapi, tidak salah mencari suami yang mempunyai sedikit sebanyak ciri ideal atau ciriciri peribadi unggul. Ciri-ciri ideal bagi seorang suami itu antaranya:

1. Berlapang dada dan bersifat pemaaf
Suatu ketika Aisyah ditanya tentang perlakuan Rasulullah terhadap isterinya. Maka beliau
menjawab: “Dialah manusia terbaik akhlak dan segala-galanya. Dia tidak pernah berbicara kotor dan berbuat kotor, tidak pernah bersuara keras terutama di pasar, tidak pernah membalas perbuatan buruk dengan perbuatan buruk pula, tetapi selalu memberi maaf dan ampunan.” (Riwayat Ahmad)

Part 3: Travelog Beijing - Harga Secangkir Kopi

Hari terakhir di Beijing, sempat juga pekena secawan kopi iaitu di Mc Caffe. Bersama Cikgu Fuziah Ali dan anak-anaknya, Iman dan Aisyah. Bersama kami juga peserta paling muda iaitu Soffiya yang berusia lima tahun.

"How much?" saya bertanya kepada seorang wanita Cina yang sedang membawa sedulang makanan ringan dan beberapa cawan kopi panas. Ketika itu saya dan ahli rombongan trip Muslim Tours bersama MASholidays sedang menikmati persembahan akrobatik. 

Ianya mencatat sejarah hari pertama saya di bandar raya kedua terbesar dan tersibuk di Tanah Besar China selepas Shanghai. Suhu hari pertama di Beijing mencatat -9 Selsius.  Menurut warga Beijing, ianya suhu terendah dicatat dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu. Memang sejuknya luar biasa. Angin begitu kuat menampar pipi hingga memaksa saya membeli topi untuk menutup muka. 
Pada waktu malam sejuknya lebih mencengkam. Kesejukannya terasa-rasa mencucuk dan menyelinap masuk hingga ke tulang. 
Saya lihat beberapa tangan menghulur not kepada wanita tersebut. Cawan kopi mula berkurangan. 
Saya berfikir-fikir untuk membelinya, untuk mengubat kesejukan yang tiada tara. Buat sementara waktu. 

"20 Yuan," jawabnya pendek.

"Ha?" Saya mencongak-congak, hmm harganya lebih kurang RM10. Untuk secawan kopi? Oh... tidak! Namun apa mahu dipersoalkan, itulah harga secawan kopi di Beijing pada musim sejuk. 

Saya teringat rombongan Tn Hj Abu Hassan dan kru Kembara Buku yang baru pulang dari London. Harga secawan kopi atau sepinggan nasi lemak pasti berkali-kali ganda harganya. Mungkin RM30 atau RM40. 
Saat ini fikiran mengelamun jauh. Saya terkenangkan air kopi di tanah air. Selalunya apabila membancuh kopi di rumah, maka sayalah yang terkulat-kulat dan berusaha untuk menghabiskannya. Kenapalah anak-anak saya tak minat langsung dengan kopi? Teh, milo atau ais semuanya Ok, tapi bukan kopi. 
Maka trip percutian ke Beijing (8-12 Disember 2012 lalu) menjadikan saya seorang pencandu secawan kopi. Bukan sahaja saya tetapi rakan-rakan yang lain juga. Setiap pagi rakan setugas saya, Marzhatul Syima turun ke ruang makan di hotel kami menginap, saya pula lebih rela menikmati semangkuk maggi dan secawan kopi panas (bekalan dibawa dari tanah air) sambil menonton TV walaupun dalam Bahasa Cina. (Buat-buatlah faham). 
"Ha, tak sangguplah nak minum kopi, macam air longkang!" Rungut seorang rakan mengenang air kopi pertama kali diminum di ruang makan hotel. Oh... sadisnya. Tapi itu pengakuan ikhlas lagi benar.
"Mujur kita dapat menikmati air yang bersih, semasa saya bertugas di Afrika dulu, air mineral pun keruh seperti air sungai... " seorang rakan bertugas seorang juruterbang berkongsi pengalamannya.
Maka kami terkedu seketika.  
Walau apa pun rona air kopi itu, tapi itu lebih baik daripada minum air mineral yang telah bertukar menjadi ais, fikir saya. Namun secebis pengalaman ini memberi tarbiah yang tidak ternilai buat diri ini. Ya, setiap musim yang Allah ciptakan mempunyai hikmah yang tersirat di sebaliknya, untuk kita bersedia dan saling merindu musim-musim selainnya.
Apapun buat warga Malaysia yang senantiasa di bawah lembayung garisan Khatulistiwa, kita sesungguhnya bertuah kerana dilimpah nikmat air yang tidak ada tandingan. Air terlalu mewah di sini maka kerana itulah kita menjadi insan yang jarang bersyukur dan kurang menghargai nikmat air sehingga mudah untuk membazirkannya sesuka hati. 
Terima kasih ya Allah, harga secawan air kopi ini mengingatkan hamba-Mu ini erti syukur... . 


 

January 28, 2013

Apabila Anak-anak Stres ...


Kata orang, apabila kita cuba berada ‘di dalam kasut’ orang lain, barulah kita dapat rasai penderitaan kita tidaklah seberat mana. Baru-baru ini seorang guru di sebuah sekolah rendah di ibu kota berkongsi kisahnya.

Cerita beliau, apabila berdepan dengan murid-murid yang bermasalah, beliau akan memanggil ibu bapa pelajar tersebut ke sekolah.  Namun, kebiasaannya yang datang ke sekolah ialah ibu-ibu mereka. Selepas dikorek latar belakang pelajar tersebut,  ia membongkar realiti yang cukup menyayat naluri. Di sebalik kisah si anak, terbongkar kisah si isteri puas didera oleh suami yang panas baran. 
Itu baru satu kes, banyak lagi kisah tragis lain yang beliau temui sehingga dia terfikir merangka satu program ziarah ke rumah pelajar-pelajar bersama guru-guru lain. Hasilnya cukup memberangsangkan.  
Mendengar kisah sayu ini, saya juga bersetuju dengan kenyataan guru tersebut. Apabila anak-anak membesar dalam keluarga bermasalah, tidak mustahil anak-anak juga dilanda stres ... .  

Ya, walaupun kita sering mengimpikan yang indah-indah, hidup kita tidak sunyi daripada masalah. Oleh itu kita perlu satu mekanisme dalam menangani apa jua masalah. Indahnya Islam apabila memberi kaedah yang tepat dan praktikal iaitu dengan kita selalu berlapang dada dan bersangka baik dengan Allah yang Maha Pencipta. 

Untuk itu sama-samalah hayati Fokus Utama Anis Februari 2013: Stres Itu OK!. Ketahui 17 langkah efektif dalam menangani tekanan hidup yang sewajarnya kita hadapi dengan cara yang positif.  

Selain itu, mulai bulan ini, ruangan Jalan-Jalan Cari Iman bakal memberi tip dan panduan untuk anda mengembara ke luar negara. Untuk keluaran sulung ini, saya akan membawa anda merasai suasana musim sejuk di Beijing pada 8 hingga 12 Disember 2012 lalu.

Apabila berkelana ke luar negara, banyak pengalaman baru yang diraih menginsafkan diri. Benarlah kata pepatah, ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’. Terima kasih MASholidays yang sudi menaja trip pelancongan Pakej Muslim bersama Majalah Anis sepanjang tahun 2013.

Di Sebalik Tabir 
Berat sama pikul, ringan sama dijinjing.
Tuan Mohd Niza Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Taman Botani, Putrajaya mengalu-alukan kedatangan Team Anis untuk sesi fotografi Cover Anis Februari 2013.

Suasana ketika sesi fotografi. Teknik pencahayaan amat penting sekali.



Majalah Anis di Beijing – bersama Yuna, warga Cina Muslim yang seawal pagi sanggup menunggu pelancong-pelancong dari Malaysia.   


Penulis dan ahli rombongan melakar kenangan indah di Tembok Besar China.
4.      
6.      

Mengabadikan kenangan di Imperial Garden, Forbidden City. Hanya di kawasan taman diraja ini ditanam pokok-pokok yang dihiasai landskap menarik.  

   

January 27, 2013

Fahamilah Fitrah isteri


Senario hari ini menyaksikan ramai golongan wanita menuntut hak kerana berasa hak mereka
diabaikan. Realitinya ramai wanita dinafikan haknya oleh suami.

Oleh itu kepada para suami, hendaklah memahami hak isteri sebagaimana anda mahu hakmu dipenuhi.

1. Pergaulan yang baik - Imam At-Tabrani ketika mentakwilkan ayat ini mengemukakan beberapa riwayat daripada sebahagian ulama yang mengatakan; “Dan mereka (wanita) mempunyai hak untuk ditemani dengan baik dan dipergauli dengan cara yang makruf (baik) oleh suami mereka, sebagaimana mereka berkewajipan mentaati suami dalam hal-hal yang telah diwajibkan Allah ke atas mereka.”

2 .Tunaikan nafkah  - Ad-Dhahak pula menyatakan, “Apabila mereka (wanita) taat kepada Allah dan taat kepada suami, maka suami wajib memperlakukannya dengan baik dan tidak boleh menyakitinya dan harus memberinya nafkah sesuai dengan kemampuannya.”


3 .Takut dengan Allah - Ibnu Zaid pula menasihatkan, “Hendaklah mereka (para suami) takut kepada Allah mengenai urusan mereka (para isteri) sebagaimana para isteri harus takut kepada Allah mengenai urusan suami.”

Sebuah madah dari Ibnu Abbas juga elok dijadikan renungan bersama oleh para suami dan isteri. Katanya, “Aku suka berhias untuk isteriku, sebagaimana aku suka dia berhias untukku, kerana Allah yang Maha Tinggi sebutan-Nya berfirman, “Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.”

Oleh itu jangan biarkan nafsu menguasai dirimu untuk menzalimi isteri jika dia begitu mentaati perintah baik suami.Kemuliaan suami yang diciptakan Allah lebih tinggi darjat dan lebih berkuasa dari isteri hendaklah dipergunakan sebaik-baiknya kerana ia merupakan satu amanah besar tanggung jawab yang berat yang tidak boleh diabaikan selaku ketua keluarga .

Peringatan ini terkandung dalam firman-Nya: “Kemudian jika dia mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalah untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (An-Nisa: 34) Ibnu Katsir ketika menghurai ayat ini, berkata, “Apabila seorang isteri telah mentaati semua keinginan suami yang dibolehkan syariat, tidak ada alasan bagi suami untuk menghukum isterinya setelah itu dan dia tidak boleh memukul dan mengasingkannya.”

Justeru, wahai para suami layani isterimu dengan sebaikbaik akhlak. Fahamilah tabiat
dan fitrah kejadian mereka. Wanita itu asal kejadiannya diciptakan oleh Allah s.w.t. dari
tulang rusuk Nabi Adam a..s. yang bengkok. Serba lemah dan keadaannya kurang dari segi akal dan agamanya. Jadi lenturlah dengan penuh sopan dan bersabar supaya tulang yang bengkok dapat ditegakkan perlahan-lahan dalam keadaan cantik.


Anak soleh impian semua pasangan yang berkahwin

Allah mencipta lelaki sebagai sandaran bagi wanita, sementara wanita
pula sebagai penenang lelaki. Apabila keduanya sudah melangkah ke pintu gerbang perkahwinan, antara masingmasing punya hak, sebagaimana mereka juga punya kewajipan masing-masing.

January 14, 2013

KANDUNGAN MENARIK ANIS FEBRUARI 2013



Dapatkan di kedai berhampiran ANDA

1.      Fokus Utama ms: 17
Stres Itu OK! Anugerah Di Sebalik Tekanan
Hidup pada zaman moden yang serba pesat dengan kemajuan dan kecanggihan ini, manusia tentunya tidak dapat lari dari mengalami tekanan atau stres. Sedikit atau banyak, berat atau ringan pasti ada tekanan. Tanpa suluhan wahyu Ilahi dan bimbingan sunnah Rasulullah SAW, orang yang ditimpa stres selalunya terbawa-bawa kepada perasaan negatif yang boleh membawa mereka menjadi sesat dan tidak tentu arah kerana terlalu melayan kesedihan atau stres yang melanda.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai stres dan langkah-langkah menanganinya, ikuti Fokus ANIS bulan ini.

2.      Interviu Fokus ms: 24
Stres ... Bertuahnya Anda!
“Seseorang yang stres dianggap bertuah jika mereka pandai mengubah stres tersebut ke arah kebaikan dan menggunakan peluang tersebut untuk mencari pahala serta redha Allah SWT ... .” Nak tahu bagaimana bertuahnya apabila dilanda stres, ikuti ulasannya oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Sukki Othman.

3.      Tetamu Anis ms: 33
Teh Syuhaida: Ubah Stres Jadi Positif
Personaliti TV berusia 32 tahun ini membuka tirai 2012 lalu dengan episod manis bersulam kesyukuran. Detik 1 Januari 2012 menggamit memori indah baginya apabila buat kali pertamanya tampil dengan imej baru, bertudung litup. Desis hatinya, niat untuk bertudung telah lama terbit di lubuk hati sanubarinya, namun beliau masih belum mempunyai apa-apa kekuatan.  Bagaimanakah beliau memperoleh kekuatan ini, ketahuinya dalam ruangan Tetamu Anis pada muka surat 33.

4.      Solat Wanita ms: 89
Perlukah Solat Jenazah?
Wanita dan solat Jenazah seperti ibadah yang asing. Setiap kali ada kematian, pasti kaum lelaki yang mengambil bahagian melaksanakan tuntutan fardu kifayah ini. Wanita jarang mengambil peluang ini sedangkan wanita juga berhak memiliki pahala seperti lelaki. Jom ubah paradigma dan sama-sama meraih ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT.

5.      Imej Muslimah ms: 40
Wahai Muslimat, Rawatlah Rambutmu!
Allah bukan ‘suka-suka’ menjadikan rambut sebagai salah satu aurat perlu wanita lindungi. Ia termasuk dalam hak peribadi suami untuk memastikan rambut isteri menggembirakan hatinya. Oleh itu, dapatkan tip tradisional cantikkan rambut daripada Pn. Suraya Daud, Perunding Imej, SD Image.
  
6.      Firman :Bilakah Kiamat?
Dunia digemparkan dengan berita bahawa dunia akan kiamat pada Disember 2012 sebagaimana menurut Kalendar Kaum Maya yang telah dilakarkan sekitar 5000 tahun lampau. Sehubungan itu, terdapat berita atau akhbar yang memaparkan bahawa masyarakat Barat telah menyimpan stok makanan dan minuman bagi menghadapi fenomena kiamat tersebut. Justeru, bilakah sebenarnya akan berlaku kiamat? Ketahui ulasannya oleh Ustaz Nik Yusri Musa.

8.Sihat Anggun  ms: 44
Halia Bagus, Tapi …
Halia memang tidak asing dalam masakan masyarakat kita. Halia tidak sahaja sinonim sebagai ramuan masakan, malah kegunaannya diperluaskan dalam industri pembuatan kosmetik. Biar apa pun produk mahupun masakan yang dibuat, halia mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dalam dunia kesihatan. Nak tahu lebih lanjut, ikutinya dalam ruangan Sihat Anggun.

9.Terapi Pagi ms: 10
Jom Banggakan Rasulullah
Mari kita bayangkan jika Baginda SAW ada bersama kita, bagaimana agaknya perasaan Baginda apabila melihat gaya dan fesyen kita berpakaian sejak pagi hari. Bersyukurlah jika Baginda tersenyum. Segeralah berubah jika kita membuat Baginda bersedih. Bukan sahaja berbangga dengan Baginda, marilah kita menjadi umat yang Baginda banggakan. Jom!

10. Tanya Doktor ms: 62
Bermasalah Untuk Hamil Semula?
Ramai pasangan yang berkahwin tidak sampai setahun, isteri telah hamil. Setelah anak besar dan mula merancang untuk mendapatkan seorang anak lagi, mereka mengalami masalah. Perasaan hampa menguasai diri dan pelbagai nasihat telah diterima. Apabila terlalu lama menunggu, pasangan ini mula rasa keliru dan kecewa. Kenapakah masalah ini berlaku dan bagaimana rawatan yang diperlukan? Ketahuinya dalam ruangan Tanya Doktor oleh Dr. Zubaidi Ahmad.










January 13, 2013

Santai bersama Teh Syuhaida Sharip pengacara Wanita Hari Ini TV3



Untuk anda, jika mahu tahu apa cerita menarik mengenai Teh Syuhaida, nantikan ANIS edisi Februari 2013 nanti. Banyak isu menarik bakal menemui anda. 

Dapatkan artikel-artikel menarik daripada kolumnis majalah ANIS serta sertai peraduan yang diadakan di dalam majalah ANIS.

Kepada anda yang masih belum LIKE fanpage majalah ANIS sila KLIK di sini.

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...