October 08, 2012

Di mana medan peperiksaan kita sebenar?



"Jangan panik, jangan panik!"
Insya-Allah esok merupakan hari yang bersejarah buat anakanda keeempat saya, Muhd Nurali Adli yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi tahun 2012. Dalam minggu-minggu terakhir ini saya sering lihat dia sering dilanda resah, fikiran melayang tidak menentu, barangkali memikirkan apakah yang bakal dijawab nanti dalam dewan peperiksaan. Walaupun segala usaha sudah dikerah seperti mengulangkaji bersama guru-guru dan rakan-rakan sekolah.

Seingat saya itulah perasaan yang kita alami suatu ketika dahulu - mengingat kembali takah-takah peperiksaan yang pernah hadir dalam roda hidup dahulu - bermula Penilaian Darjah Lima (kini bertukar UPSR) kemudian ke SRP (kini bertukar PMR) dan seterusnya SPM sebelum melanjutkan ke institusi pengajian tinggi atau IPTS, takah-takah peperiksaan tidak pernah berhenti selagi mana kita mahu bergelar seorang penuntut.

Sebagai ibu apa yang sering saya ingat-ingatkan pada Adli (panggilan manja anak bongsu lelaki saya ini - memang perangainya pun manja yang amat) setelah berusaha dengan segala kudrat yang ada, jangan lupa bergantung kepada Tuhan. Saya sering bisik-bisikkan dalam waktu kritikal seperti ini, jaga solat - amalkan lima waktu tanpa ditinggal kerana bagaimana Allah mahu limpahkan kejayaan kalau dalam masa yang sama kita derhaka kepada-Nya. 

Kita mahu pelbagai perkara dalam hidup kita, tetapi hak kita sebagai hamba sering kita ringan-ringankan. Hak Allah terhadap kita sering dipersoalkan, tetapi bagaimana pula hak kita kepada-Nya yang sengaja kita culaskan tanpa alasan. Dia hanya mendengar dengan senyum sumbing di bibir, kerana apa yang saya perkatakan itu benar belaka.  

Sebagai ibu saya akan tetap mendoakan kejayaan buat setiap anak. Berjaya atau gagal adalah terletak pada usaha yang dilaburkan ... ibarat kata man jadda wa jadda ertinya barangsiapa berusaha dia akan mendapatnya. Namun sebagai hamba yang lemah, kita tidak terlepas daripada pergantungan kepada-Nya. Semoga Adli dan rakan-rakan seperjuangannya diberi ketenangan dan ilham oleh Allah dalam menjawab peperiksaan esok kelak. Namun jangan dilupa kita bakal berdepan dengan 'medan peperiksaan' yang pastinya lebih mendebarkan. 

Medan peperiksaan sebenar
Di mana medan peperiksaan kita yang sebenar? Medan peperiksaan seorang insan tidak akan berakhir di dunia, tidak berakhir apabila jasad dikambus tanah, malah ia berlanjutan ke hari segala perkara akan dihisab.  Dari sekecil-kecil perkara bermula dari soal solat dan lain-lain amalan, segalanya akan di'audit' oleh para malaikat. Pada hari Yaumil Mahsyar itu segala manusia dan jin akan dibaris-bariskan untuk dihitung amalan satu persatu.
Oh ... rupa-rupanya kita sering tersasar dalam pemikiran lalu tersasar dalam tindakan:
1. Selama ini kita resah memikirkan apakah soalan yang bakal ditanya pada hari peperiksaan, sepatutnya kita lebih resah memikirkan soalan-soalan yang bakal ditanya oleh para malaikat pada hari pembalasan. 
2. Kita resah memikirkan kemampuan kita untuk menjawab segala persoalan, sepatutnya kita patut jauh lebih resah memikirkan apakah bekalan kita sudah cukup untuk dibawa ke sana.
3. Kita resah memikirkan hari keputusan bagi peperiksaan, sepatutnya kita patut jauh lebih resah memikirkan apakah kesudahan nasib kita - ke syurga atau ke neraka. 

.... Sepatutnya kita patut lebih resah apakah kita berjaya melalui medan peperiksaan yang debarannya jauh berganda-ganda dahsyatnya. Mampukah kita berjaya melalui titian Siratul Mustaqim dengan jayanya, atau tubuh kita bakal menjadi jilatan dan sambaran api neraka-Nya yang tidak mampu kita bayangkan. Nauzubillah minzalik. 

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...