Pulang
ke kampung halaman, emak mengajak saya ke kedai sahabatnya, Kak
Mah dan Abang Li yang berniaga roti canai. Pasangan ini dahulu berjiran dengan
kami. Menguli dan menebar roti canai menjadi kemahiran Abang Li dalam mencari
nafkah keluarga. Sehingga kini saya gemarkan roti canai mereka kerana walaupun
sudah sejuk ia masih gebu dan enak dimakan. Ketika kami menikmati sarapan pagi,
Kak Mah sempat meluahkan rasa hatinya.
“Alhamdulilah,
dahulu kami ada jiran yang baik macam Cik Mimi. Sewaktu awal berniaga memang susah,
kalau anak-anak bangun dan tiada apa nak dimakan, saya cakap dengan mereka,
‘Pergilah rumah Cik Mimi, tengoklah kut ada apa-apa... .“ Saya tersentak mendengarnya. Hati emak begitu
murni. Seingat saya masa itu emak pun berniaga kecil-kecilan dengan membuat kuih-muih
seperti karipap, kuih gelang, seri muka dan lain-lain di surau taman kami.
Jiran-jiran sukakan kuih-muihnya yang diadun cukup lemak dan rasa.
Kreativiti
mencari duit sendiri telah bersemadi sejak kecil dengan niat membantu adik-adik
di bangku sekolah. Apabila berumah tangga ada sahaja perkara yang dibuat membantu
pendapatan bapa yang hanya bekerja sebagai pembantu hospital. Waktu dulu gaji
memanglah kecil. Dengan berniaga sampingan menjual ikan waktu pagi, emak pula
berjualan kuih-muih. Hidup berjimat cermat menjadi basahan hidup mereka dalam
menyara kami sekeluarga. Apa saja yang boleh dihasilkan menjadi pendapatan
sampingan. Kain-kain
perca yang tidak digunakan tukang jahit diambil dan dibuat kain selimut tampal.
Memang selesa memakainya. Kadang-kadang dibuat pelapik kaki pelbagai bentuk.
Selalunya ada saja jiran datang menempah sehingga tidak menang tangan.
Pernah
saya membawa ke Kuala Lumpur untuk dijual kepada rakan-rakan, dia berpesan,
“Tak payah jual mahal-mahal.” Saya mengangguk, walaupun dalam hati terasa macam
tak berbaloi kerana hendak membuatnya memakan masa sehari suntuk. ‘Bilalah nak
untung?’ fikir saya. Rupa-rupanya emak sedang menitipkan suatu didikan pada
diri saya. Baginya dalam berniaga pun perlu terapkan sifat untuk beramal
jariah. Pahala orang memakainya akan sampai kepada kita sampai bila-bila. Lantaran
itu saya lihat walaupun hidup tidak mewah dan emak hanya seorang suri rumah tetapi
ada sahaja sumber ‘rezekinya’ yang tidak diduga. Padanya walaupun kita susah,
pasti ada orang lain yang lebih susah yang perlu dibantu.
Secebis
kisah ini saya coretkan untuk peringatan diri ini dan juga sesama rakan pembaca yang dikasihi. Kalau kita resah soal rezeki, ingatlah REZEKI KITA MILIK ALLAH. Dan Allah mengatur rezeki kita dengan pelbagai cara. Cuma kita sebagai manusia perlu lebih berusaha dan berikhtiar di samping bertawakal kepada-Nya. Sentiasa pandang kesusahan orang lain, baharulah kita berasa kesusahan kita tidak sebesar mana. Membantu meringankan kesusahan orang lain pun salah satu kunci membuka rezeki.
Emak dan Apak (Hajah Zamimi dan Hj Abdul Rahman) sentiasa menitip 1000 ilmu untuk bekalan anak-anak mengatur kehidupan. |
Berkat asuhan dan didikan emak dan Apak, saya berpeluang mengembara dengan bakat penulisan yang dikurniakan. Syukur... . |
No comments:
Post a Comment