Saya
sempat menemui Ummu Naufal atau nama sebenarnya Zahriah @ Nur Azura Mohd Faiz
iaitu beberapa hari sebelum dia berangkat pulang ke Yanbu, Arab Saudi. Dia
sempat meminta komen saya terhadap buku tulisannya, Balqis Di Mata Kami, Di Sisi-Nya. Sungguh... lidah saya ‘kelu’,
tiada kata yang boleh menggambarkan perasaan sebenar!
“Bagi
saya hanya insan terpilih sahaja yang boleh melalui ujian begini dan Allah Maha
Mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang layak memikulnya... .”
Dia
hanya tersenyum mendengarnya. Namun di sebalik senyuman manisnya itu saya
fahami beban yang ditanggung pasti berganda-ganda berbanding saya yang hanya
mampu sebak dan ‘menangis’ menghayati bait-bait katanya dalam buku ini.
Bersama Ummu Naufal (tengah), Penulis buku Balqis. |
Menghayati
kisah benar ibu bapa yang membesarkan anak-anak Cerebral Palsy pada bulan ini
(dalam kolum Eksklusif) pandangan
mata hati kita bagai disingkap untuk melihat kehadiran anak-anak syurga
(anak-anak kelainan upaya) dari sisi yang lain.
Sebenarnya,
ramai lagi insan-insan istimewa yang dipilih Allah menerima dugaan ini. Masih
ingat kisah Meliah Md Diah yang berusia 101 tahun yang pernah menjadi viral di
laman sosial. Warga emas ini tetap tabah menguruskan anak lelaki bongsunya sehingga
akhir hayat.
“Tak
rasa beban nak jaga dia (Abd Rahman yang berusia 63 tahun). Dari dulu lagi
mandi, makan, pakai baju semua tok (Meliah) buat. Kalau boleh nak jaga dia
sampai bila-bila. Sayang dekat dialah ... tak mau pi (pergi) mana-mana nak dok
(duduk) dengan dia sajalah," katanya kepada Bernama yang melaporkan berita
ini.
Sebagai seorang ibu, beliau tidak pernah menyesali nasib yang menimpanya dalam menjaga anak yang tidak sempurna seperti orang lain, sebaliknya tetap bersyukur dengan kurniaan dan dugaan yang melanda. Namun, ibu ‘istimewa’ ini pergi jua menyahut panggilan Ilahi pada 7 Ogos lalu dengan wasiat agar kebajikan anaknya itu terus dipelihara.
Sungguh
– jika kita berada di dalam situasi begini – bagaimana pula reaksi kita? Redha
atau mempersoalkan takdir menimpa? ANIS bulan ini cukup bertuah kerana dapat
menemu bual pendakwah bebas dan juga Pengurus Besar KUISCELL iaitu Ustaz Don
Daniyal Don Biyajid. Siapa menyangka
beliau juga mempunyai pengalaman membesar bersama adik istimewa yang cacat
pendengaran namun tetap cemerlang dalam akademik.
Pesannya,
pada ibu bapa yang menerima anak kelainan upaya, jangan terlalu ‘fokus’ pada
kelemahan si anak sehingga mengabaikan kelebihan-kelebihan lain yang ada pada
si anak. Atas dasar itulah, rancangan 30
Minit Ustaz Don menyediakan khidmat jurubahasa isyarat bagi keperluan
orang-orang istimewa mendalami agama. Hasilnya, jumlah penonton dari kalangan
insan mreka semakin meningkat.
Ustaz
Don Daniyal turut mengajak kita memandang anak-anak syurga ini dengan pandangan
ilmu, kerana kedudukan istimewa mereka di sisi Allah. Ini kerana pada setiap
penciptaan-Nya pasti terkandung rahsia yang ingin disampaikan. Insya-Allah, jika
ini difahami maka tidak akan timbul lagi kisah-kisah golongan istimewa dipinggirkan
dan disisihkan. Jadilah kita masyarakat yang saling mengasihi dan membahagiakan
antara satu sama lain sejajar apa yang dituntut al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.