Catatan perjalanan di pentas kehidupan, perkongsian dunia penerbitan dan penulisan.
July 28, 2012
Puasa: Antara Kita & Mereka?
"Maryam mahu dengar cerita," saya mengusik minda anak bongsu yang baru berusia 10 tahun. Abang sulungnya yang sedang leka membaca juga tersentak lalu berhenti membaca buku. Suasana awal Ramadan di pagi hari perlu diceriakan dengan 'mood' ceria.
Sudah beberapa hari saya menyimpan cerita ini, kali ini saya mahu kongsikan bersama anak-anak atau sesiapa sahaja yang sudi mendengarnya, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini. Ketika mana perut kosong, hati kita mudah lembut, jadi mudah menerima nasihat yang ingin diberikan.
"Pernah dengar nama sahabat Nabi bernama Jaafar As-Siddiq?" saya bertanya lagi.
"Oh... yang tangannya terpotong itu ya umi." Abangnya mencelah.
Saya tersenyum. "Betul, sebab itu dia dipanggil Jaafar At Tayyar."
Ya, anak-anak saya tertanya-tanya apakah kehebatan sahabat Nabi ini.
Jaafar At-Tayyar itulah gelaran sepupu Nabi SAW yang dilantik sebagai pemegang panji-panji ketika Perang Mu'tah berlaku. Beliau termasuk salah seorang panglima tiga serangkai yang diamanahkan menjulang panji-panji Islam kala berdepan dengan tentera-tentera musuh.
Zaid Haritsah, Jaafar At-Tayyar dan Abdullah ibnu Rawahah diamanahkan Nabi satu pesanan: jika Zaid Haritsah tewas, maka Jaafarlah penggantinya, begitu juga jika Jaafar juga tewas maka Abdullah Rawahahlah pengemudi panji-panji Islam itu.
Perang berkecamuk dengan begitu sengit. Jumlah tentera Islam amatlah sedikit berbanding tentera musuh yang berlipat kali ganda. Medan Mu'tah benar-benar medan ujian buat mereka. Kala Zaid Haritsah tewas, Jaafar menyambut panji-panji dengan semangat perwira.
Tangan kanannya melibas musuh dan tangan kirinya memegang kejap panji-panji tersebut.
Namun bukan sedikit cabaran dihadapinya kerana asakan musuh begitu kuat menghentam kiri kanan untuk merobek panji-panji tersebut. Tiba-tiba libasan pedang menghentam tangan kanan Jaafar. Kuatnya libasan itu menyebabkan tangannya terkulai. Namun kesakitan itu dibiarkan, lalu panji-panji dialih ke tangan kirinya. Oleh kerana daging tangannya terkulai-kulai dan tergantung lantas mengganggu gerakannya, Jaafar mengambil keputusan memijak jari tangannya dan mencantas agar ia terus putus. Serentak dengan itu darah sekali lagi memercik dan menyimbah baju besinya. Namun itu bukan penghalang bagi pemburu gelaran syuhada' sepertinya.
Asakannya yang diterima tidak henti-henti. Kini tangan kirinya pula dilibas sang mu
suh durjana. Maka tiada apa lagi yang boleh diandalkan. Jaafar mengapit tiang panji-panji tersebut dengan kedua-dua tangan yang masih bersisa.
Akhirnya dengan asakan yang bertalu-talu, dia rebah lalu panji-panjinya terus disambut oeh Abdullah Rawahah. Kini di pundak Abdullah Rawahah tergalas amanah untuk kelansungan perjuangan - demi meninggikan agama Allah.
Sementara itu Jaafar yang luka parah dibawa ke suatu tempat untuk dirawat. Datang seorang perawat menghulurkan buatnya melepas dahaga seketika.
Kata Jaafar, "Aku berpuasa..."
Perawat itu memujuknya, "Bukankah tuan dalam keadaan parah begini. Minumlah sedikit air untuk memberi sedikit tenaga."
Beliau masih enggan untuk minum malah ingin terus mempertahankan puasanya.
"Aku ingin bertemu Tuhanku dalam keadaan aku berpuasa..." ucapnya dalam nada suara yang kian perlahan. Akhirnya sahabat Nabi ini syahid. Begitu juga kedua-dua sahabat tadi iaitu Zaid Haritsah dan Abdullah ibnu Rawahah.
"Hebatkan Sahabat Nabi?" Maryam bersuara apabila saya mengakhiri cerita ini.
"Hebat... mereka memilih untuk mati dalam keadaan berpuasa walaupun mereka boleh berbuka puasa. Mereka mahu bertemu Allah dalam keadan berpuasa kerana orang-orang yang berpuasa punya tingkatan yang sangat mulia di sisi Allah."
Semoga saya, anak-anak dan pewaris generasi saya dapat mencontohi kehebatan perjuangan para sahabat dan salafussoleh.
- Sedutan kisah ini dipetik dari ceramah oleh Habib Ali Zainal Abidin sempena Kuliah Ramadan di Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Semoga bermanfaat untuk diambil iktibar dan diperpanjangkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Catatan 17.10.2018
Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...
-
Jerit perih pasangan ini dalam menurunkan berat badan berbaloi malah usaha mereka kini menjadi penawar buat ramai insan lain yang mengalami...
-
Pada 8 hingga 12 Disember lalu, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke Beijing, China. Syukur, alhamdulillah. Sudah lama rasanya mahu menjej...
No comments:
Post a Comment