July 10, 2012

Di mana al-Quran di rumah kita?

Tatkala menatap lembaran surat khabar setiap pagi, dada kita pasti sesak dibuatnya. Kejadian merusuh di merata negara, kes ragut dan simbah asid yang tidak tahu apa motifnya menghiasi minda setiap pagi. Itu belum lagi kes-kes buang bayi dan kes bunuh yang meningkatkan lagi graf masalah sosial membuatkan kita kecut perut. Ini adalah petanda atau natijah daripada amukan jiwa-jiwa manusia yang dibelenggu stres dalam kehidupan. Apabila manusia berada dalam keadaan marah dan tertekan, gelombang diri sudah berada jauh dari daerah kewarasan akal. Mudah benar kita menjadi mangsa kepada iblis dan syaita yang sentiasa membisikkan hasutan ke arah kemaksiatan. Silap memilih jalan menyebabkan hati keluh-kesah, mudah marah dan tertekan hingga ke tahap kronik. Golongan soleh beroleh ketenangan dengan mendampingi al-Quran. Bagi mereka, al-Quran adalah hidangan daripada Allah yang diturunkan melalui lidah Rasul-Nya yang mulia, Nabi Muhammad SAW. Turunnya bukan sahaja sebagai nur hidayah dan membekalkan rahmat seisi alam, malah dengan membaca dan menghayati isi kandungannya, hati beroleh kelazatan dan ketenangan yang tiada tolok bandingnya. Barakah dari al-Quran Namun, barakah daripada bacaan al-Quran ini hanya diperoleh apabila kita berusaha memahami dan menghayati setiap maknanya, satu persatu. Barulah kebesaran dan keagungan Allah dapat kita rasai dan meresap ke hati. Bukan bermakna orang-orang yang melazimi al-Quran itu tidak dilanda masalah hidup tetapi mendampingi al-Quran menjadikan mereka insan yang positif dengan takdir Allah dan boleh bersangka baik sesama manusia. Marilah kita rebut barakah al-Quran sempena ketibaan bulan Ramadan ini. Mari kita membudayakan pembacaan al-Quran bersama keluarga untuk beroleh terapi jiwa dan syafaat di akhirat kelak. Sudah pasti ibu bapa perlu melakukannya dahulu. Jika al-Quran di rumah kita dipinggirkan, maka begitulah nanti sikap anak-anak yang acuh tak acuh pada al-Quran. Apabila al-Quran dijunjung tinggi dan dimuliakan dalam keluarga, maka akan lahir akan generasi kita yang akan memartabatkan al-Quran. Madrasah Ramadan selama sebulan ini sebenarnya masa terbaik untuk kita menggilap hati yang karat dengan dosa-dosa sepertimana hadis Nabi SAW: Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, "Rasulullah SAW bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula? Kata Nabi SAW, "Dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran."

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...