“Kenapa beli kuih ni, mak kan pandai buat?”
Saya terdiam, tiada sepatah kata yang mampu diluahkan. Benar, ibu seorang yang tegas. Biarpun dia membenarkan kami anak-anaknya ke Bazar Ramadan (yang ketika itu sangat jauh dengan kediaman kami) tetapi beliau tidak sekali-kali membenarkan kami membeli kuih-muih yang biasa dibuat.
Saya merenung sepotong kuih talam yang dibeli. Terkebil-kebil ibarat ayam berak kapur. Mengapa saya harus membelinya? Saya bertanya diri kembali. Bukannya saya tidak tahu bahawa emak saya memang pakar membuat kuih-muih talam seperti kuih lapis, seri muka dan sebagainya. Belum lagi kuih muih yang lainnya seperti kuih karipap, kuih lopis, kuih tepung pelita dan bengkang. Hmm, saya akuri sebagai anak hingusan kala itu saya kalah dengan godaan Bazar Ramadan. Benarlah pesan orang tua membeli makanan pada waktu perut lapar akan membawa kita pada sifat boros dan berlebih-lebihan. Semuanya nampak sedap belaka, adakalanya apabila dimakan – hampeh! Santannya ke mana, gulanya entah apa rasa.
Hikmah Puasa
Kala usia semakin menginjak dewasa, kita semakin mengerti apakah hikmah puasa. Puasa bukan sekadar satu ibadat menahan diri daripada lapar dahaga namun ia satu bentuk latihan untuk membentuk jati diri manusia luar biasa. Laparnya kita kerana memenuhi perintah Allah yang menjadikan ‘Syahru Ramadan’ sebagai bulan ibadah, bulan mendidik nafsu dan menahan diri.
Dalam persoalan hidup tidak semuanya mampu dicapai walau angan-angan kita setinggi bintang gemelapan di langit malam. Adakalanya kita kecundang dengan kegagalan. Adakalanya kita dihimpit dugaan. Ujian itu datangnya dari pelbagai arah – membelasah kita dari arah kiri dan kanan hingga kita rasa tidak punya daya kekuatan apa-apa.
Nah! Di sinilah indahnya ibadat puasa yang difardukan. Mekanisme latihannya bukan saja membentuk diri insan selama sebulan namun ia mampu bertahan sehingga sebelas bulan selepasnya. Umpama bateri super power yang punya kuasa tahan yang tiada tandingan. Tapi kejayaannya tentulah bergantung sejauh mana kita mengecasnya sepanjang tempoh caj tersebut iaitu sepanjang bulan Ramadan. Jika tempohnya benar-benar berkualiti dan mengikut piawaian, bateri itu mampu menjana daya kuasa yang ampuh pada empunyanya.
Fitrah seorang ibu
Sebagai ibu tidak salah sekiranya kita mahu meraikan kejayaan anak-anak berbuka puasa. Buat anak-anak nikmat paling berharga setelah seharian berhempas pulas menahan lapar dahaga ialah ketika mana mereka berbuka puasa. Namun tidak bermakna kita meraikan kejayaan anak-anak berbuka dengan santapan meja penuh dengan aneka hidangan. Itu tidak menepati malah jauh dari hikmah puasa itu sendiri iaitu untuk melatih diri menahan keinginan.
Bayangkan kala berbuka nafsu bagai tidak dapat ditahan-tahan lagi. Keinginannya bagaikan air empangan yang pecah. Makan semahu-mahunya sehingga tersandar kekenyangan di sofa empuk. Gaya pemakanan begini dilarang sama sekali oleh Allah SWT sepertimana firman-Nya:
“Dan makan serta minumlah, dan janganlah melampau. Sesungguhnya Dia tidak suka orang-orang yang melampau.” (Al-A’raf 7: 31)
Antara tip yang boleh diamalkan untuk mengelak pemborosan ketika berbuka puasa:
1. Sediakan satu dua lauk sahaja dalam satu-satu masa.
2. Jika masak/membeli kuih, pastikan dalam kuantiti sedikit supaya tidak membazir. Jika beli lebih tidak salah niat bersedekah kepada jiran tetangga. Kadangkala kita terperangkap dengan anak-anak yang punya keinginan masing-masing. Disiplinkan mereka hanya membeli satu makanan sahaja dalam hari yang sama.
3. Utamakan makan tamar dan buah-buahan dahulu – menepati sunnah Nabi SAW. Tamar adalah sebaik-baik hidangan ketika berbuka kerana kandungannya yang kompleks dan dapat membekalkan tenaga secepat mungkin ke atas tubuh badan kita yang seharian berpuasa.
4. Sebaik-baik berbuka dengan hidangan ringan kemudian terus melaksanakan solat Maghrib. Barulah disambung dengan memakan makanan yang lebih berat seperti nasi dan lain-lain.
5. Elok juga dibiasakan membawa anak-anak berbuka puasa di masjid atau surau.
Foto: Sumber FB Majalah ANIS.
Catatan perjalanan di pentas kehidupan, perkongsian dunia penerbitan dan penulisan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Catatan 17.10.2018
Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...
-
Jerit perih pasangan ini dalam menurunkan berat badan berbaloi malah usaha mereka kini menjadi penawar buat ramai insan lain yang mengalami...
-
Pada 8 hingga 12 Disember lalu, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke Beijing, China. Syukur, alhamdulillah. Sudah lama rasanya mahu menjej...
No comments:
Post a Comment