December 08, 2014

Part 4: Travelog Beijing - Mutiara Islam di Beijing



Catatan 8 hingga 12 Disember 2012:

Solat dan makan, itulah dua kalimah yang berlegar-legar di fikiran saya sebelum tiba ke Beijing, China. Walaupun maklum solat boleh sahaja dilaksanakan di mana-mana, namun bagaimana pula dengan makan halal?  
Namun alhamdulillah, MASholidays mengatur jadual perjalanan kami dengan begitu rapi, termasuklah jadual solat dan makan di restoran-restoran halal di sekitar Beijing. Kembara singkat ini cukup memberi pengalaman berharga apabila kami dapat menunaikan solat di masjid-masjid yang cukup bersejarah.  

Masjid terbesar dan tertua
Pada hari pertama, kami berhenti solat Jamak Zuhur dan Asar di sebuah masjid yang tertua dan terbesar di Beijing iaitu Masjid Niujie. Masjid ini terletak di Jalan Niujie, dalam wilayah Xuanwu, dikatakan dibina pada tahun 996 oleh Nasurudin, sarjana Islam sewaktu zaman Tonghe dari Dinasti Liao dan mengalami renovasi pada dinasti-dinasti seterusnya.  
Dilihat dari luar, kelihatan tiada apa-apa yang istimewa. Tetapi sebaik memasuki pekarangan masjid ini, saya terkasima seketika melihat gabungan keunikan seni bina China dan Arab Parsi melatari bangunannya. Begitu juga kaligrafi Islam seperti kalimah ‘Lailahaillah’ menghiasi binaan luar dan dalam masjid yang berkeluasan 6000 meter persegi ini.
Masjid ini mendapat namanya daripada perkataan ‘niujie’ bererti lembu, justeru suatu ketika dahulu jalan ini meriah dengan peniaga-peniaga yang menjual daging lembu. 10,000 warga China Islam membentuk satu komuniti di daerah ini yang turut menempatkan satu-satunya pasar raya Muslim di Beijing. 

Populasi umat Islam 
Malah populasi umat Islam di Beijing mencatat jumlah 200,000 orang sepertimana diakui oleh Imam Jumaat, imam Masjid Jalan Jalan Jinshifang ketika kami solat di situ.
Justeru, tidak hairan restoran China Muslim juga banyak terdapat di sekitar daerah ini. Ia mercup tumbuh bak cendawan selepas hujan seiring dengan kebanjiran ramai pelancong asing apabila Republik Rakyat China mula memperkenalkan dasar pintu terbuka kepada negara-negara luar.  


Masjid Jalan Jinshifang
Selain keunikan Masjid Niujie, kami berpeluang melaksanakan solat di Masjid Jalan Jinshifang, iaitu antara empat masjid yang popular di Beijing. Dibina pada tahun 1429 di zaman Dinanti Ming (1368-1644), masjid ini menempatkan ruang solat lelaki dan wanita, rumah tetamu dan lain-lain kemudahan. Ia turut berperanan sebagai pusat Pertubuhan Islam di daerah Xicheng, Beijing.
Hari terakhir pula kami singgah solat di Masjid Dongzhimen yang dibina pada tahun 1271-1368 pada zaman Dinasti Yuan. Ia kemudian diperbesarkan pada zaman Dinasti Qing. 

 
Muazin sedang melaungkan azan di luar Masjid Niujie - masjid tertua dan bersejarah dalam perkembangan Islam di negara Republik Rakyat China ini.

Gabungan senibina Arab dan China tertera pada bangunan masjid bersejarah ini.



Masjid Jalan Jinshinfang menempatkan pusat Islam di Beijing, China.

Bersama Imam Jumaat di sebuah bilik yang menjual peralatan ibadah dan lain-lain.



Kaligrafi tulisan Cina yang cukup cantik tertera di dalam Masjid Dongzhimen.

Berukhwah dengan saudara-saudara Muslim di Beijing. Empat dari kiri ialah imam bagi masjid ini.

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...