Rabiul Awal 1436H menjelma lagi. Hati terimbau-imbau kembara yang saya lalui bersama empat sahabat semusafir dua tahun yang lalu. Ke mana gerangan kami semua?
Kami ke Kota Singa bagi merasai sambutan hebat dan luar biasa yang dianjurkan Masjid Ba'alwi, Singapura. Kembara ini menemukan kami ramai insan-insan istimewa dan menyedarkan kami andai niat berpaksikan untuk mencari setitis rahmat-Nya dan cinta kasih Baginda SAW, segalanya begitu dipermudahkan.
Sehingga hari ini saya berdoa mudah-mudahan Allah izinkan lagi saya ke suasana seperti ini lagi demi menambahkan rasa mahabbah kepada Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW. Artikel ini dipetik daripada catatan kembara oleh Hajah Aliyah Sijari manakala fotonya oleh Hjh Jalilah Abdullah dan Pn Shamsiah Puad. Insya-Allah, foto-fotonya akan saya kongsikan.
******************************************************************************
Awalnya
kami merancang untuk mengikuti rombongan menaiki bas dengan sebuah pertubuhan
dakwah di sini. Pun begitu sehingga saat menjelang program diadakan hampir
seminggu, jawapan tidak diberikan. Mungkin kerana kami rombongan media, agaknya
ada rasa sedikit tidak selesa untuk diikuti.
Sesudah
bersatu di atas perbincangan, kami berenam akan pergi dengan diketuai oleh Tn. Hj.
Abu Hassan Morad dan lima orang wanita iaitu saya, Hjh. Jalilah Abdullah
-Editor Majalah Q&A, Pn. Norhashimah Abd Rahman – Editor Majalah Anis, Pn. Shamsiah
Puad – Penyelaras Jabatan Editorial Majalah & Buku serta Pn. Hapisah Dulasang
– staf pentadbiran.
Kami
memutuskan untuk menaiki bas Nice Executive Coach yang akan dinaiki di Bangunan
Stesen Lama KTMB.
AMBIL ALIH JADI CHIEF...
Sepatutnya
kami menaiki bas pada jam 12.30 malam 6 Mac. Pun begitu pada pagi itu sewaktu
membelek-belek tiket, baru saya perasan tiket tercatat tarikh 14 Mac 2013.
Terus saya hubungi pihak kaunter tiket. Dan saya diberitahu kami boleh pergi ke
Singapura hari itu juga tetapi hanya pada jam 5.30 petang. Tiada perjalanan
malam, kerana banyak bas mereka sudah dicatar. Kelam-kabut kami dibuatnya.
Mujur kami semua sudah membuat persiapan dan meninggalkan beg yang akan dibawa
di pejabat. Ini hikmahnya apabila segala sesuatu dirancang awal dan disepakati.
Namun
timbul masalah baru, untuk perjalanan jam 5.00 petang, Tn Hj. Abu Hassan tidak
dapat menyertai kami kerana beliau terpaksa menghadiri beberapa mesyuarat
penting. Maknanya bermusafirlah kami hanya lima orang
ini sahaja! Pun begitu kami sentiasa teguh bergantung harap dan berdoa kepada
Allah agar segalanya berjalan baik seperti dirancang.
HIKMAH PERJALANAN MUSAFIR
Sekitar
jam 4.00 petang kami sudah keluar meninggalkan pejabat. Selain setiap seorang
membawa beg keperluan, kami juga turut membawa enam buah kotak berisi majalah
dan buku-buku untuk diberikan kepada sahabat-sahabat di sana. Alhamdulillah,
layanan pihak Nice Executive Coach memang istimewa. Anehnya selepas kami naik,
tak nampak pun orang lain.
Lalu
bertanyalah Hajah Jalilah kepada pemandu bas, “Encik mana orang lain?” “Tak ada,
cuma puan-puan sahaja penumpang kami petang ini,” jawab pemandu bas jujur. Kami
berpandangan dan ketawa kecil. Memikirkan bas yang boleh memuatkan seramai 27
orang penumpang itu akhirnya `kami berlima tawan’ tempat duduknya.
Sepanjang
perjalanan mulut tak henti berselawat dan berdoa mohon perjalanan kami
dipermudahkan. Sambil merenung diri apa hikmahnya perjalanan kami diatur awal
dari jemaah lain.
Tepat
jam 10.30 malam kami tiba di Beach Road, Singapura. Kami dijemput oleh Hj. Raman
Daud dan isterinya Hjh. Azizan yang merupakan sahabat lama saya. Hj. Raman
bertugas di Berita Harian Singapura, tetapi kini dia sedang bercuti panjang
kerana baru selesai menjalani pembedahan.
Kami
tiba di Masjid Ba’alwi tepat jam 1.00 pagi selepas menikmati juadah enak
Restoran Mydin di Arab Street. Kami disambut oleh petugas-petugas yang baik
hati dan memberitahu di mana kamar kami.
Tepat
jam 3.00 pagi , alarm telefon bimbit
setiap orang berdenting-dentang. Bangunlah kami menerobos sunyi subuh di masjid
yang digelar `Madinah Asia’ itu.
Selesai
solat Tahajjud, berzikir dan berselawat kami bersiap sedia untuk menunai solat
Subuh di ruang solat Muslimah. Sebelum azan subuh berkumandang, sekumpulan
jemaah lelaki memulakan aktiviti di ruang solat dengan Ratib Al-Attas. Azan
subuh berkumandang setakat di dalam masjid sahaja, tidak perlu menggunakan
pembesar suara seperti masjid-masjid kita di sini.
HIKMAH BANGUN BERPAGI-PAGI
Harum
setanggi menusuk wangi menyebar ke seluruh ruang masjid. Aduhai... ingatan terus
menghimbau kenangan di Tanah Haram, Makkah dan Madinah.
Selesai
solat dan kuliah subuh kami berlegar-legar di dalam masjid. Kerana mengetahui
kami orang media ramai yang menyapa kami. Salah seorang mereka ialah En. Hamzah
Abdullah, 43 tahun. Katanya dia anak angkat Habib Hassan.
“Saya
melalui sejarah kehidupan remaja yang agak nakal. Tetapi pada suatu hari ada
orang telah mengajak saya datang masjid ini. Di sini saya bertemu Habib Hassan
yang telah membimbing saya ke jalan yang benar. Itulah permulaan kehidupan saya
dengan masjid ini,” tambah Hamzah sambil sekali-sekala matanya merenung keluar
masjid.
“Sudah
solat Dhuha ke belum?” soal Hamzah kepada kami. Dan kami menjawab serentak, “Belum.”
“Solatlah
cepat sebelum orang ramai datang ke sini. Dan kalau boleh lakukanlah di atas
permaidani yang berona agak keputih-putihan di bawah lampu candeliar di tengah
masjid ini. Ini ruang istimewa kerana Allahyarham Habib Salem pernah bermimpi
bertemu Rasulullah SAW dan azan tiga kali di situ,” cerita Hamzah
bersungguh-sungguh kepada kami.
Lantas
kami berlima pun tanpa banyak soal jawab terus mendirikan solat Dhuha di situ.
Usai solat kami membuat bulatan dan berdoa. Air mata berhamburan, tak tahu
kenapa begitu sayu perasaan setiap seorang daripada kami. Doa dipohon dengan
amat khusyuk, deraian air mata bagaikan empang pecah tanpa dapat ditahan lagi.
Akhir doa kami bersalaman dan berpelukan sesama sendiri, amat syahdu rasanya
bagaikan sekumpulan pengembara yang sedang menautkan cinta ukhuwah antara satu
dengan lain. Memang tak dapat digambarkan bagaimana perasaan kami sewaktu itu.
Yang pasti kami berlima bagaikan adik-beradik yang amat akrab sedang jauh
merantau memburu kasih sayang dan cinta Rasulullah SAW... .
SEPERTI DALAM MUZIUM
Aktiviti
pagi selepas sarapan pagi, kami teruskan dengan menyelusuri seluruh ruang
masjid. Ia bagaikan berada di dalam sebuah muzium. Banyak maklumat dan
informasi bergambar disertakan. Ada banyak sejarah mengenai musyaf al-Quran,
foto-foto berkaitan sejarah Islam, manuskrip dan banyak lagi.
Setiap
pengunjung bukan sahaja dapat melakukan ibadah di sini, tetapi ia turut
diberikan pengetahuan bagi memperkasakan ilmu mengenai sejarah Islam.
Satu
perkara menarik untuk dikongsikan, di Masjid Ba’alwi juga ada sebuah telaga
istimewa yang usianya sudah beratus tahun. Istimewa kerana airnya yang tidak
pernah kering. Dan kini untuk memudahkan pengunjung mengambil airnya ia telah
dibuat saluran khusus hingga keluar ke bahagian belakang di hadapan tempat
wuduk dan tandas Muslimah.
BAGAIKAN PADANG ARAFAH...
Tahun
ini merupakan kali yang ke-38, Majlis Maulid & Haul Habib Muhammad Salem
Al’Attas diraikan di Masjid Ba’alawi. Setiap tahun persiapan diatur memang amat
rapi. Khemah besar turut didirikan bagi menampung kehadiran pengunjung yang ramai.
Tetamunya
sangat ramai. Datang bukan sahaja daripada seluruh pelosok Singapura, malah ia
turut merentas hingga ke Malaysia, Indonesia, Thailand, Ghana, Abu Dhabi,
Baghdad, Makkah dan United Nation.
Satu
hal yang menarik ia turut dibantu oleh para sukarelawan masjid yang begitu
ramai jumlahnya. Khemah dipasang, tempat duduk dikemaskan. Tetamu dijemput dan
diasingkan lelaki dan wanita.
Lepas
Solat Asar tetamu sudah mula berbondong-bondong hadir. Disambut oleh para
penyambut tetamu. Kesibukan lalu-lintas di jalan terlibat pula dikawal selia
oleh Petugas Pengawal Trafik. Parkir disediakan iaitu kira-kira dua kilometer
daripada kawasan masjid. Yang hadir pada hari itu lebih kurang 10,000 orang. 16
buah bas membawa tetamu daripada Kuala Lumpur dan Selangor sahaja. Dan lain-lain termasuk juga yang datang
daripada Terengganu, Seremban. Semuanya hadir dengan pakaian serba putih,
mengingatkan kami dengan kenangan tatkala wukuf di Arafah.
SANGAT MENJAGA SAF SOLAT...
Tiba
waktu solat Maghrib sekitar jalan menghala ke Masjid Ba’alwi telah dipenuhi
dengan barisan saf-saf jemaah. Di dalam masjid dalam kawasan Muslimah ada
petugas-petugas yang sangat menjaga kepaduan saf. Begitu juga di ruang solat
lelaki.
“Rapatkan
saf, kita tidak akan menjadi unggul berpadu kalau saf solat berjemaah kita
tidak cukup rapat,” ujar seorang petugas wanita.
Memang
banyak yang dipelajari daripada pengurusan majlis ini. Antaranya ialah semangat
kesukarelawan yang amat tinggi di kalangan umat Islam di Singapura. Saling
bekerjasama dalam satu pasukan.
Menghormati
tetamu, sangat mengutamakan keselesaan, biarpun dalam jumlah tetamu yang sangat
ramai. Menjaga kebersihan persekitaran, berdedikasi dan disiplin yang sangat
tinggi.
Inilah
tautan ukhuwah yang dikutip dan dihadam sepanjang majlis ini berlangsung.
“Ya
Allah, semoga selepas ini kami boleh memantapkan kekuatan takwa di sanubari
kami seperti seberkas penyapu lidi yang teguh berbanding dengan sebatang lidi
yang keseorangan.”
Sekilas mengenai
Masjid Ba’alwi
Menoleh
seketika ke belakang perjalanan syarikat Galeri Ilmu Media Group, nama Masjid
Ba’alwi yang terletak di No. 2, Lewis Road, Singapura bukanlah hal baru buat
kami. Di sini ada tokoh ulama yang sering menjadi dampingan kami. Beliau tidak
lain adalah Tn. Syed Hassan bin Muhammad bin Salem Al-Attas atau lebih akrab
dengan panggilan Habib Hassan.
Beliau
merupakan Pengerusi dan Imam Besar masjid ini yang dibina dalam tahun 1952 oleh
ahli keluarga Habib Al’Attas. Malah setiap bulan beliau tidak pernah lupa
menitipkan hasil tulisannya di Majalah Q&A.
Majlis Maulid
dan Haul Habib Salem Al-Attas ke-38 dibarisi dengan penceramah-penceramah
seperti berikut:
·
Kiyai
Salim Na’i dari Jakarta.
·
Dr
Abdul Qader bin Muhammad Al-Habshi dari Jakarta.
·
Bapak
Kiyai Abdul Halim Musaddad dari Garut Indonesia.
·
Ustaz
Ali Al-Bahar dari Jakarta.
·
Shaikh
Umar bin Hussein Al-Khatib dari Tarim diterjemahkan oeh Habib Ahmad bin Naufal
bin Jindan dari Jakarta.
·
Bapak
Kiyai Shukran Makmum dari Jakarta.
·
Shaikh
Ahmed Tijani ben Omar dari Ghana.
·
Ustaz
Hafiz bin Selamat dari Yayasan Jenderam, Malaysia.
·
Habib
Alawi bin Ahmad Alsree dari Abu Dhabi.
·
Prof.
Ibrahim Gambari dari United Nation.
·
Shaikh
Afifudeen Ibn Mansur al-din Al-Gailani dari Baghdad.
·
Habib
Ali Zainul Abideen Al-Hamid.
·
Habib
Umar bin Hamid Al-Gailani dari Makkah diterjemahkan oleh Habib Jindan bin
Naufal bin Jindan dari Jakarta.
No comments:
Post a Comment