December 04, 2012

Nilai Sepuluh Sen



Oleh: Farah

Loceng waktu rehat berbunyi. Murid-murid bergegas keluar daripada kelas menuju ke kantin. Seperti biasa, Aishah mengeluarkan bekalnya untuk dimakan. Aishah belajar di dalam kelas Enam Amanah dan dia bakal menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini. Aishah seorang pelajar yang bijak dan aktif. Lantaran itu, dia dicemburui oleh Murni, rakan sekelasnya.

Aishah dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Ayahnya meninggal dunia akibat lemas di laut kerana botnya karam. Aishah mempunyai empat orang adik beradik dan dia merupakan anak sulung. Sejak kehilangan bapanya, ibunya memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Selepas habis waktu persekolahan, Aishah akan menyiapkan kerja sekolahnya di rumah kerana dia akan membantu ibunya menjual kuih dan nasi lemak di waktu petang. Tanggungjawab sebagai anak sulung membuatkan Aishah tekad mahu belajar bersungguh-sungguh untuk membantu ibunya.

Di sekolah, Murni kerap kali memperlekehkan Aishah hanya kerana Aishah memakai baju sekolah yang sudah lusuh, kasut yang sudah kehausan tapak, dan jarang ke kantin membeli makanan. Namun begitu, Aishah tidak pernah membalas perlakuan Murni. Aishah teringat akan pesanan ibunya, “Biarlah orang mengeji kita Aishah, asalkan kita tidak membuat perkara yang sama. Dahulu Rasullullah S.A.W juga dikecam ketika mahu menyebarkan dakwah, namun Rasullullah S.A.W tidak pernah membalasnya.. Hasilnya, semakin ramai tertarik dengan pekerti baginda.”

Di sekolah, Murni kerap kali membawa alat tulis yang mahal untuk membuat Aishah cemburu. Malahan, Murni juga kerap menghasut rakan-rakan lain supaya menjauhi Aishah kerana bagi Murni, anak orang kaya tidak boleh berkawan dengan orang miskin. Aishah tetap bersabar dengan perbuatan Murni kerana fokus Aishah hanya mahu mendapat 5A di dalam UPSR.

Suatu hari, sewaktu Aishah sedang bertugas membersihkan kelas, Aishah terpandang duit syiling sepuluh sen yang terjatuh daripada dompet Murni. Lantas, Aishah mengutip duit syiling itu dan meletakkannya di atas meja Murni. “Murni, duit sepuluh sen awak terjatuh. Ambillah semula.” Mendengar kata-kata Aishah, lantas Murni menjawab dengan angkuhnya, “Saya tidak perlukan duit syiling sepuluh sen ini. Tiada nilainya bagi saya. Ayah saya boleh beri sepuluh ringgit sehari. Awak sajalah yang ambil duit sepuluh sen ini. Saya tidak hairan.” Mendengar kata-kata Murni yang amat mengguris hati itu, Aishah mengambil duit sepuluh sen itu dengan harapan dapat memberikannya juga kepada Murni kerana itu bukan haknya.

Tengah hari itu, Aishah balik agak lewat kerana dia berjumpa dengan Cikgu Zakiah untuk bertanyakan tentang matapelajaran Sains. Aishah mengayuh basikalnya keluar daripada pagar sekolah dan ketika itu, dia terpandangkan Murni yang sedang duduk di tepi pagar. Aishah berasa hairan mengapa Murni tidak pulang sedangkan hampir jam tiga petang. Aishah lantas menegur Murni, “Mengapa kamu tidak pulang lagi Murni? Tiada siapa menjemput kamukah?” Murni yang sedang gelisah ketika itu, memandang Aishah dan berkata “Saya tidak tahu mengapa Pakcik Akob tidak menjemput saya hari ini. Saya tidak tahu bagaimana untuk menghubungi ibubapa saya kerana saya sudah kehabisan wang.”

Mendengar kata-kata Murni, Aishah terus mengeluarkan duit syiling sepuluh sen daripada begnya. Duit itulah yang dipandang remeh oleh Murni sewaktu Aishah mahu memulangkannya. “Ambillah duit sepuluh sen awak ini Murni. Walaupun sedikit, awak boleh gunakannya di pondok telefon depan sana untuk menghubungi ibubapa awak.”

Murni yang ketika itu berasa amat malu dengan Aishah, menangis teresak-esak sambil berkata, “Maafkan saya Aishah, saya berasa amat malu dengan perbuatan saya selama ini. Saya sebenarnya cemburukan kejayaan kamu. Hari ini, kamu tetap mahu menolong saya walaupun saya kerap menghina kamu. Maafkan saya Aishah, saya kesal.”

Aishah yang turut berasa sebak dan terharu dengan permohonan maaf Murni, memeluk Murni dan berkata, “Tidak mengapa, saya maafkan. Saya harap kita dapat jadi kawan baik selepas ini.” Aishah terbayang akan pesanan ibunya dan tidak henti-henti mengucapkan syukur kepada Allah kerana telah membuka pintu hati Murni. Sejak daripada kejadian itu, Aishah dan Murni bersahabat baik dan saling bantu membantu di dalam pelajaran.

Nurfarahani binti Roslan
4-1-23, Jalan Metafasa U16/3, Pangsapuri Kiambang, 40150, Taman Bukit Subang, Shah Alam, Selangor.
901028-06-5614

22 tahun

CIMB BANK:   1-230-007-3199524

Beginilah cerpen yang baik untuk dihantar ke Majalah ASUH. Jika anda mempunyai anak yang mempunyai bakat menulis dan mahu mengembangkan bakat anak anda itu sila hantar cerpen anak anda itu ke SINI. Jika karya anak anda dipilih sejumlah wang sebagai honararium akan masuk ke akaun bank anda.

2 comments:

Tetamu Istimewa said...

Salam, Puan. Boleh saya bertanya di sini, berkenaan cerpen yang saya hantar untuk menyertai sayembara cerpen ANIS?

Adakah selamat sampai kerana saya tidak menerima maklumbalas setelah mengirim cerpen tersebut.

Terima kasih.
Mohd Helmi Ahmad

jendelahati said...

Alhamdulilah telah diterima dan akan disiarkan untuk isu Anis Februari 2013. Tahniah dan jangan lupa beli majalah Anis nanti.

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...