“Masya-Allah, beg-beg kita sudah beranak
dan bercucu-cicit rupanya,” gurau seorang mutawif umrah semasa saya dalam
perjalanan pulang daripada Tanah Suci suatu ketika dahulu. Para jemaah
tersenyum sumbing. Siapa boleh nafikan kehebatan jemaah Malaysia dalam bab
membeli-belah (shopping). Sebab itu pelancong Malaysia sentiasa disambut dengan
senyum menawan para peniaga di mana-mana negara.
Sebut mengenai shopping ini, saya juga teringat luahan hati seorang ketua
rombongan ke bumi Aceh Darul Salam. Beliau berasa hairan kerana ketika
masing-masing hendak pulang, terdengar sungutan rasa tidak puas hati.
Rupa-rupanya apabila disiasat, jemaah tidak puas hati kerana beg-beg mereka ‘tidak
beranak dan bercucu-cicit’.
“Masya-Allah, takkan mereka tidak tahu
Aceh itu bukan tempat untuk membeli-belah. Jika mahu shopping, pergilah ke Bandung. Jalan-jalan ke Aceh adalah
jalan-jalan ‘mencari iman’,” ujarnya sambil mengusap dahi.
Di Aceh, para pelawat dapat melihat
tanda-tanda ‘kiamat kecil’ akibat bencana tsunami yang berlaku pada 26 Disember
2004 lalu. Ia begitu menggemparkan dunia kerana telah mengorbankan ratusan ribu
nyawa. Walaupun sudah lama berlalu dan Aceh kini sudah semakin maju, namun
masih banyak tinggalannya yang boleh diambil iktibar. Apatah lagi apabila
menyaksikan masjid-masjid yang tidak terusik dek ombak ganas tsunami. Jika
difikirkan secara logik, terasa betapa kerdilnya kita sebagai hamba dan
hebatnya kekuasaan dan keagungan Allah SWT.
Mengembara atau melancong itu memang
fitrah manusia yang sukakan kedamaian dan ketenangan. Namun begitu, satu misi
yang patut kita terapkan dalam merancang percutian atau pelancongan ialah
sejauh mana kita mengaktifkan budaya ‘fikir’
dan ‘zikir’ kepada diri kita dan
juga ahli keluarga. Natijahnya, percutian atau pelancongan kita itu bukan
sahaja menambah ilmu, meluaskan pengalaman serta meramaikan kenalan, tetap ia juga
dikira ibadah di sisi Allah Taala. Jadikanlah visi kita; bersama ‘ole-ole barangan’
untuk keluarga yang ditinggalkan, ada juga ‘ole-ole perkhabaran’ yang boleh meningkatkan
iman dan takwa kepada-Nya.
Sama-samalah kita hayati Fokus Utama Anis Disember 2012: Cuti-cuti Jadi Ibadah yang
dikupas oleh Dr. Nik Yusri Musa, seterusnya diperjelaskan secara terperinci
oleh Ust. Muhammad Abdullah, pendakwah bebas yang mempunyai hobi mengembara
bertemu ulama, dan Ustazah Asni Mansor yang berkongsi tips-tips percutian untuk
para isteri. Yang penting dalam merancang percutian, ukurlah baju di badan
sendiri, jangan sampai poket bolos untuk persiapan musim persekolahan dan
sebagainya. Insya-Allah, dengan mengikut adab-adab berehlah, percutian kita
yang ‘biasa-biasa’ akan menjadi luar biasa.
Kenangan sewaktu berkunjung ke Meulaboh, Aceh pada 2009 - melihat kesan lima tahun selepas tsunami. Di hadapan
Masjid Teuku Umar yang tidak musnah oleh ombak tsunami meskipun berada di
pinggir pantai. Bukti kehebatan dan keagungan Ilahi.
No comments:
Post a Comment