November 01, 2012

Apabila Melanggar Sunnatullah...


Berkorbanlah kerana di pundak kita ada mandat besar yang menanti.

“Semasa zaman perang, kami hanya makan nasi campur ubi kayu”, “Dahulu daerah ini kawasan hitam sebab komunis sering bermaharajalela,”,“Di sekolah dahulu, kami hanya menulis atas papan batu ... “ Bermacam-macam lagi gambaran yang sukar digambarkan di benak fikiran kerana peristiwa perit di zaman pra-merdeka tidak pernah dialami.  

Buat generasi seusia saya, cerita-cerita yang disampaikan warga emas yang hidup zaman itu sudah tegal lagi biasa. Namun, bagi generasi YZ yang lahir di era digital, pasti lebih sukar hendak membayangkannya. Dengan nikmat kemakmuran yang melanda negara, Malaysia bagaikan ‘syurga makanan’ yang enak-enak dan lazat belaka. Kenapa? Sebabnya kita tidak sukar lagi mencari makanan – tidak cukup waktu siang, malam hari pun masih ada restoran yang beroperasi 24 jam. Maka waktu makan sudah tidak mengikut jam lagi kerana budaya generasi muda hari ini lebih suka melepak pada waktu malam dan berdengkur di pagi hari. Satu budaya yang menjadi kepantangan besar buat orang-orang tua dahulu.

Realitinya, budaya ini bukan sahaja menyalahi amalan petua orang lama, ia juga  menyalahi sunnatullah (nature) yang ditentukan Allah SWT. Malam adalah saat tubuh badan merehatkan diri setelah seharian bekerja memerah otak. Dari sudut kesihatan pula, tidur yang cukup sangat penting kerana pada waktu inilah  proses ‘overhaul’ semula organ-organ yang terdapat dalam tubuh badan kita berlaku. Justeru, tidak hairan apabila penyakit-penyakit ‘pelik’ mulai melanda warga negara kita, seiring dengan ‘hutan batu’ yang mencanak tinggi di sana sini.

Di manakah jalan penyelesaiannya? Islam agama yang sangat indah, panduannya cukup mudah diberikan oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam sejarah, pernah terjadi kisah seorang tabib yang dihadiahkan pemerintah Mesir untuk berkhidmat di bumi Madinah kehairanan lantaran tiada siapapun datang mendapatkan rawatan daripadanya. Kala jawapan ditagih kepada Nabi, Baginda SAW menjawab, “Kami adalah kaum yang makan ketika lapar, dan berhenti sebelum kenyang.” Simboliknya, amalkan sifat bersederhana dalam soal makan dan minum. Bukan makan ikut sedap atau selagi boleh disumbat segalanya dalam perut. Bukankah Nabi SAW juga berpesan, perut itu gudang segala penyakit? 

Mengapa orang Mukmin perlu tampil sihat? Bukankah bila tubuh kita sentiasa cergas bertenaga, produktiviti diri kita juga pasti meningkat dan boleh dijadikan ‘aset’ yang menguntungkan ummah. Apa yang penting kita perlu membiasakan perkara yang betul iaitu mengubah semula tabiat atau gaya pemakanan kita. Sempena ketibaan Maal Hijrah 1434 tidak lama lagi, mari kita sama-sama tanam tekad dan azam iaitu untuk berkorban mengubah ‘lifestyle’ ke arah yang lebih sihat. Kerana di pundak kita ada mandat besar yang menanti; iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah yang akan memakmurkan seluruh muka bumi ini dengan sejuta kebaikan.

Saya kongsikan foto-foto sempena lawatan amal kakitangan GISB ke Hosp. Sg Buloh pada awal Ramadan lalu. 








No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...