November 23, 2012

Jalan-jalanlah Cari Iman


“Masya-Allah, beg-beg kita sudah beranak dan bercucu-cicit rupanya,” gurau seorang mutawif umrah semasa saya dalam perjalanan pulang daripada Tanah Suci suatu ketika dahulu. Para jemaah tersenyum sumbing. Siapa boleh nafikan kehebatan jemaah Malaysia dalam bab membeli-belah (shopping). Sebab itu pelancong Malaysia sentiasa disambut dengan senyum menawan para peniaga di mana-mana negara.

Sebut mengenai shopping ini, saya juga teringat luahan hati seorang ketua rombongan ke bumi Aceh Darul Salam. Beliau berasa hairan kerana ketika masing-masing hendak pulang, terdengar sungutan rasa tidak puas hati. Rupa-rupanya apabila disiasat, jemaah tidak puas hati kerana beg-beg mereka ‘tidak beranak dan bercucu-cicit’.

“Masya-Allah, takkan mereka tidak tahu Aceh itu bukan tempat untuk membeli-belah. Jika mahu shopping, pergilah ke Bandung. Jalan-jalan ke Aceh adalah jalan-jalan ‘mencari iman’,” ujarnya sambil mengusap dahi.
Di Aceh, para pelawat dapat melihat tanda-tanda ‘kiamat kecil’ akibat bencana tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 lalu. Ia begitu menggemparkan dunia kerana telah mengorbankan ratusan ribu nyawa. Walaupun sudah lama berlalu dan Aceh kini sudah semakin maju, namun masih banyak tinggalannya yang boleh diambil iktibar. Apatah lagi apabila menyaksikan masjid-masjid yang tidak terusik dek ombak ganas tsunami. Jika difikirkan secara logik, terasa betapa kerdilnya kita sebagai hamba dan hebatnya kekuasaan dan keagungan Allah SWT.

Mengembara atau melancong itu memang fitrah manusia yang sukakan kedamaian dan ketenangan. Namun begitu, satu misi yang patut kita terapkan dalam merancang percutian atau pelancongan ialah sejauh mana kita mengaktifkan budaya ‘fikir’ dan ‘zikir’ kepada diri kita dan juga ahli keluarga. Natijahnya, percutian atau pelancongan kita itu bukan sahaja menambah ilmu, meluaskan pengalaman serta meramaikan kenalan, tetap ia juga dikira ibadah di sisi Allah Taala. Jadikanlah visi kita; bersama ‘ole-ole barangan’ untuk keluarga yang ditinggalkan, ada juga ‘ole-ole perkhabaran’ yang boleh meningkatkan iman dan takwa kepada-Nya.

Sama-samalah kita hayati Fokus Utama Anis Disember 2012: Cuti-cuti Jadi Ibadah yang dikupas oleh Dr. Nik Yusri Musa, seterusnya diperjelaskan secara terperinci oleh Ust. Muhammad Abdullah, pendakwah bebas yang mempunyai hobi mengembara bertemu ulama, dan Ustazah Asni Mansor yang berkongsi tips-tips percutian untuk para isteri. Yang penting dalam merancang percutian, ukurlah baju di badan sendiri, jangan sampai poket bolos untuk persiapan musim persekolahan dan sebagainya. Insya-Allah, dengan mengikut adab-adab berehlah, percutian kita yang ‘biasa-biasa’ akan menjadi luar biasa. 


 
Kenangan sewaktu berkunjung ke Meulaboh, Aceh pada 2009 - melihat kesan lima tahun selepas tsunami. Di hadapan Masjid Teuku Umar yang tidak musnah oleh ombak tsunami meskipun berada di pinggir pantai. Bukti kehebatan dan keagungan Ilahi. 

November 19, 2012

Hantar anak anda ke 'Kem Asuh 2012'

"Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang telah menjayakan program ini. Saya percaya, sesuatu yang dilakukan bukan atas dasar nilai wang ringgit semata pasti membuahkan sesuatu yang diluar jangkauan minda. Dengan pengalaman ini, mengapa tidak saya unjurkan kepada ibubapa di luar sana untuk memberikan peluang yang sama kepada anak mereka juga…" Kata seorang pengulas blog yang telah menghantar anaknya ke Kem Asuh pada tahun 2010.

Klik di sini untuk membaca blog beliau.

Beliau sangat menganjurkan kepada ibu bapa di luar sana supaya menghantar anak-anak ke Kem Asuh yang diadakan pada setiap kali cuti sekolah khususnya pada hujung tahun.

Di sini saya amat mengesyorkan kepada ibu bapa yang mencari-cari aktiviti yang sesuai dilakukan oleh anak-anak pada waktu cuti sekolah.

Mari kita lihat kelebihan Kem Asuh 2012.

Apa anak-anak dapat apabila mereka ke Kem Asuh 2012?

  1. Anak-anak mampu untuk berfikir secara matang
  2. Mampu melihat sesuatu daripada perspektif ibu bapa mereka
  3. Mampu mengenal siapakan diri mereka yang sebenar daripada segi percakapan, personaliti dan bahasa mereka
  4. Selama beberapa hari mereka akan merindui kasih sayang dan belaian anda
  5. Mereka dapat menilai dengan sendiri bagaimana untuk lebih menghargai ibu bapa dan alam semulajadi
  6. Mereka akan mengetahui bahasa SOLAT adalah pendinding atau pelengkap kepada kehidupan mereka
  7. Menjadi jambatan kepada mereka untuk memperbaiki diri dan menjadikan akhlak mereka lebih dinamik dan sempurna
  8. Stamina mereka bertambah kuat
  9. Dapat berkenalan dengan rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang

Aktiviti luar yang menyeronokkan
Apa ibu bapa akan dapat selepas mereka menghantar anak-anak ke Kem Asuh 2012?
  1. Memperbaiki proses komunikasi ibu bapa dan anak-anak
  2. Mengenalpasti sikap dan karakter mereka dengan lebih baik 
  3. Mampu bertoleransi bersama anak dengan lebih mudah dan berkesan
  4. Melihat proses perubahan akhlak anak dengan lebih baik
  5. Anak-anak lebih mudah berkongsi perasaan bersama ibu bapa
  6. Anak-anak akan lebih menghargai ibu bapa 
  7. Anda akan lebih menyayangi anak-anak anda
Kem Asuh 2012 "Jom Jadi Baik"- Persediaan meniti usia baligh.

Cara untuk mendaftar anak-anak anda ke Kem Asuh 2012.

Klik di sini atau hubungi Cik Suriati di 03-614 21 614 atau fakskan ke 03-614 21 612

Daftar segera! Tempat terhad!

Tarikh: 25-29 November 2012 atau pada 16-20 Disember 2012 (5 hari 4 malam)
Umur: 9-16 tahun
Tempat: Kem Iman D' Semungkis, Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan

(Bayaran termasuk makan, tempat penginapan, fail, beg dan cenderahati Asuh)







November 14, 2012

Apa Isi Kandungan ANIS Disember 2012?

Jangan lupa dapatkannya di pasaran sekarang

KANDUNGAN MENARIK ANIS DISEMBER 2012:

EKSKLUSIF 10 muka surat Zakat Menjana Ekonomi Ummah!
Ikuti kisah-kisah mereka yang dahulunya menerima bantuan zakat kini terus bangun meningkatkan taraf hidup mereka sehingga mampu pula membayar zakat.

November 13, 2012

ANIS DISEMBER 2012 In The Making

Taufan Sandy hampir melumpuhkan warga New York dengan kerugian berbilion USD. Di tanah air kita apa kurangnya, bahang bencana akhir tahun iaitu banjir sudah mula dirasai dengan penduduk terpaksa dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat. 

November 05, 2012

Aduhai...

Pagi tadi terkocoh-kocoh saya hidupkan enjin kereta. Selepas menghantar beg pakaian Maryam di rumah jiran sebelah, saya masuk ke dalam kereta saya yang comel lote itu. Hmm, baru terperasan, angin di tayar belakang agak kempis.

November 02, 2012

Gelaran Doktor Obes Kini Tinggal Sejarah!

Jerit perih pasangan ini dalam menurunkan berat badan berbaloi malah usaha mereka kini menjadi penawar buat ramai insan lain yang mengalami masalah serupa. 

Dr. Mahathir Mohamed dan Dr. Nurhalina Azly Minhat. 
Siapa sangka orang yang banyak membantu ramai insan dalam program penurunan berat badan ini suatu ketika dahulu pernah dilanda masalah obesiti. Dengan berat badan sebanyak tiga digit, Dr. Mahathir Mohamed, 37, hampir berputus asa kerana masih gagal mengurangkan berat badannya biarpun pelbagai usaha telah dijalankan.
Antaranya beliau bersenam dan berjoging sejauh 800 meter hampir setiap hari di samping mengamalkan pemakanan produk pelangsingan badan yang disyorkan rakan-rakan yang bersimpati dengan nasib beliau.
Pemilik Klinik Timeless yang menawarkan perkhidmatan anti-penuaan dan keremajaan kulit di Kelana Jaya ini mengimbau, “Ketika bertugas di Sarawak dahulu, berat badan saya mencecah 110 kg. Saya mengaktifkan diri dengan bersenam dan berjoging namun berat badan saya macam yo-yo,” ujarnya tersenyum melihat isterinya, Dr. Nurhalina Azly Minhat, 37, yang turut dilanda masalah berat badan selepas melahirkan anak.

Dua-dua Perlu Ambil Tahu!



Dalam satu kuliah Maghrib yang saya hadiri, penceramah membacakan satu soalan daripada  para hadirin. Daripada soalan itu dapat diarak ia ditulis oleh seorang remaja perempuan. Soalannya berbunyi; “Ustaz, apakah nama-nama ‘darah’ yang perlu saya ketahui, kerana bakal suami saya berkata jika mahu mendirikan rumahtangga saya perlu tahu.”

Muqaddimah jawapan daripada penceramah itu, walaupun ringkas dan menggelikan hati, tetapi turut menjentik hati semua termasuk kaum lelaki. “Kalau bab darah ini bukan orang perempuan sahaja wajib tahu, tetapi orang lelaki yang bakal jadi suami pun perlu ambil tahu. Nanti kalau isteri atau anak perempuan kita cuti memanjang, tidaklah kita tak tahu. Orang perempuan pula elok belajar sebelum berumah tangga lagi. Ini tidak, sudah nak pencen barulah nak belajar. Waktu itu tak guna dah, sebab setitik darah pun tidak ada ...” ujarnya bergurau sambil disambut ketawa mak cik-mak cik di belakang tabir.

November 01, 2012

Apabila Melanggar Sunnatullah...


Berkorbanlah kerana di pundak kita ada mandat besar yang menanti.

“Semasa zaman perang, kami hanya makan nasi campur ubi kayu”, “Dahulu daerah ini kawasan hitam sebab komunis sering bermaharajalela,”,“Di sekolah dahulu, kami hanya menulis atas papan batu ... “ Bermacam-macam lagi gambaran yang sukar digambarkan di benak fikiran kerana peristiwa perit di zaman pra-merdeka tidak pernah dialami.  

Buat generasi seusia saya, cerita-cerita yang disampaikan warga emas yang hidup zaman itu sudah tegal lagi biasa. Namun, bagi generasi YZ yang lahir di era digital, pasti lebih sukar hendak membayangkannya. Dengan nikmat kemakmuran yang melanda negara, Malaysia bagaikan ‘syurga makanan’ yang enak-enak dan lazat belaka. Kenapa? Sebabnya kita tidak sukar lagi mencari makanan – tidak cukup waktu siang, malam hari pun masih ada restoran yang beroperasi 24 jam. Maka waktu makan sudah tidak mengikut jam lagi kerana budaya generasi muda hari ini lebih suka melepak pada waktu malam dan berdengkur di pagi hari. Satu budaya yang menjadi kepantangan besar buat orang-orang tua dahulu.

Realitinya, budaya ini bukan sahaja menyalahi amalan petua orang lama, ia juga  menyalahi sunnatullah (nature) yang ditentukan Allah SWT. Malam adalah saat tubuh badan merehatkan diri setelah seharian bekerja memerah otak. Dari sudut kesihatan pula, tidur yang cukup sangat penting kerana pada waktu inilah  proses ‘overhaul’ semula organ-organ yang terdapat dalam tubuh badan kita berlaku. Justeru, tidak hairan apabila penyakit-penyakit ‘pelik’ mulai melanda warga negara kita, seiring dengan ‘hutan batu’ yang mencanak tinggi di sana sini.

Di manakah jalan penyelesaiannya? Islam agama yang sangat indah, panduannya cukup mudah diberikan oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam sejarah, pernah terjadi kisah seorang tabib yang dihadiahkan pemerintah Mesir untuk berkhidmat di bumi Madinah kehairanan lantaran tiada siapapun datang mendapatkan rawatan daripadanya. Kala jawapan ditagih kepada Nabi, Baginda SAW menjawab, “Kami adalah kaum yang makan ketika lapar, dan berhenti sebelum kenyang.” Simboliknya, amalkan sifat bersederhana dalam soal makan dan minum. Bukan makan ikut sedap atau selagi boleh disumbat segalanya dalam perut. Bukankah Nabi SAW juga berpesan, perut itu gudang segala penyakit? 

Mengapa orang Mukmin perlu tampil sihat? Bukankah bila tubuh kita sentiasa cergas bertenaga, produktiviti diri kita juga pasti meningkat dan boleh dijadikan ‘aset’ yang menguntungkan ummah. Apa yang penting kita perlu membiasakan perkara yang betul iaitu mengubah semula tabiat atau gaya pemakanan kita. Sempena ketibaan Maal Hijrah 1434 tidak lama lagi, mari kita sama-sama tanam tekad dan azam iaitu untuk berkorban mengubah ‘lifestyle’ ke arah yang lebih sihat. Kerana di pundak kita ada mandat besar yang menanti; iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah yang akan memakmurkan seluruh muka bumi ini dengan sejuta kebaikan.

Saya kongsikan foto-foto sempena lawatan amal kakitangan GISB ke Hosp. Sg Buloh pada awal Ramadan lalu. 








Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...