December 27, 2012

Rasulullah Murabbi Cinta Dalam Rumah Tangga


Dalam memperjuangkan majlis selawat, tujuh anak muda ini masing-masing melalui pengalaman tersendiri yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Melihat air muka mereka yang lebih tenang, jelas menggambarkan mereka telah menemui sesuatu yang tidak dapat mereka temui sebelum ini. Ikuti luahan rasa mereka dalam mencari mahabbah Rasulullah SAW.

"Majlis maulid di Singapura diadakan di stadium, bukan di masjid seperti di negara kita. Komuniti Islam mereka bergabung untuk membantu masjid-masjid di sana mengikut giliran. Saya tidak sangka yang Singapura sekarang walaupun jumlah umat Islamnya lebih kecil berbanding kita, tetapi barakahnya berbeza sama sekali. Dulu, kami pergi ke Singapura sebagai artis dan terdedah dengan komuniti ini. Komuniti Islam mereka rupanya sangat aktif. Di sana, ada sebuah komuniti yang dikenali sebagai  Syabab SG konvoi dan berselawat daripada masjid ke masjid. Sebulan sekali mereka akan melakukan aktiviti menziarahi ulama, membaca burdah, melakukan majlis maulid dan menziarahi makam-makam ulama di sana." - Amer Munawer Yusoff (Ameer), 35 tahun

Klik di sini


Untuk mengetahui maklumat yang lebih lanjut berkenaan 7 orang kumpulan Al-Maulid ini KLIK DI SINI

December 25, 2012

Bersama Teh Syuhaida

Semalam Cuti Krismas, pasti anda berjalan-jalan bersama seisi keluarga bukan? Saya pula dan Team ANIS seharian suntuk di Taman Botani, Putrajaya. Untuk apa? Kami mengadakan sesi fotografi untuk Cover Anis bulan seterusnya iaitu isu Februari 2013.

Ha, gempak sedikit bulan ini sebab kami mahukan kelainan untuk sesi tahun 2013 dengan hiasan cover yang lebih segar dan ceria. 

Siapa bakal Cover Girlnya? Siapa lagi kalau bukan Teh Syuhaida Sharip, Pengacara Wanita Hari Ini, TV3. Walaupun cuti umum, tapi beliau sudi meluangkan masa dan memberi kerjasama sepenuhnya, biarpun kami bertukar beberapa lokasi. 

Banyak tempat menarik di dalam Taman Botani, Putrajaya ni, saya sendiri pertama kali datang ke sini. Sebelum masuk menaiki tren khas, kami disambut oleh Timbalan Pengarah Taman Botani iaitu Tuan Mohd Niza Abdul Aziz yang datang dengan sut bikersnya. Wah terharunya...

Dalam bual-bual ringan itu tak sangka beliau sangat aktif dengan acara berbasikalnya dan sempat berkongsi mengenai keistimewaan yang ada di Taman Botani ini. Harapnya, kami para penggiat media boleh menyebar luaskan lagi peranan mereka di sini. Insya-Allah.

Dalam sesi fotografi, Team ANIS disertai dua orang pelatih dari KIPSAS yang mengambil jurusan Media Islam. Ha, baru mereka tahu penatnya untuk mengadakan sesi fotografi di luar (outdoor). Apa tah lagi apabila hujan tiba-tiba turun, nak buat macam mana? 

Namun itu adalah asam garam dalam penerbitan media, walaupun cuti umum, anda harus bekerja demi mendapatkan kualiti yang terbaik. 

Untuk anda, jika mahu tahu apa cerita menarik mengenai Teh Syuhaida, nantikan ANIS edisi Februari 2013 nanti. Banyak isu menarik bakal menemui anda. 

Sebelum Cover Girl muncul, perlu ditentukan dahulu lokasi dan pencahayaannya. 

Wartawan ANIS sedang buat apa tu? Tembak lighting ke arah Teh Syuhaida. 


Sudah puas posing di tiang, bergaya di depan pintu di Astaka Morocco di Taman Botani, Putrajaya.  Memang cantik  seni binanya. 

Teh Syuhaida tersenyum manis. 

Yang di belakang tu, anak saya Maryam. Kasihan kalau asyik ditinggal di rumah, boleh juga belajar ...


Hebat sungguh tuan jurufoto ini, Sdra Nazir Sufari sampai perlu dipayungkan. Sebenarnya hujan mula turun. 





Lokasi seterusnya. 

Ini pula di Jambatan Canopy - serba hijau menggamit tenang dan damai. Hilang stres kan?





Tiba-tiba ada satu famili nak bergambar dengan Teh Syuhaida. Tidak apa, beri laluan saja. 


Sempat juga berposing tapi selepas kami menunaikan solat di Masjid Putra.  Lepas itu  makan beramai-ramai. menghadap Tasik Putrajaya yang indah. 

December 20, 2012

Apa yang menarik di Beijing, China?

Pada 8 hingga 12 Disember lalu, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke Beijing, China. Syukur, alhamdulillah. Sudah lama rasanya mahu menjejakkan kaki ke Tanah Besar China ini, namun ada sahaja halangan.
Namun kali ini, trip Majalah Anis dan Mas Holidays ke Beijing menghadiahkan saya dan rombongan pengalaman luar biasa. Apa yang luar biasa? Suhunya -9 Selsius (di bawah paras beku tu) yang begitu sejuk hingga mencengkam tulang. Aduhai... betul-betul teruja dan teruji.
Teruja dengan pengalaman melihat warga China menjalani kehidupan di bandar raya yang cukup besar dan luas ini (4 kali ganda Kuala Lumpur) dan dihuni 20 juta rakyatnya. Hmm... hampir keseluruhan rakyat Malaysia.
Teruji kerana rutin harian yang begitu hectic - panjat Tembok Besar China (Great Wall Of China), berjalan sejauh 8 km di Medan Tin An Min dan melepasi tujuh lapisan di Forbidden City dalam cuaca sejuk. Berjalan dengan keadaan seolah-olah terikat kaki dengan besi lantaran sejuk. Apapun semuanya berjaya dilalui demi meraih ilmu di sini.
Banyak perkara baharu yang boleh diambil iktibar. Cuma kali ini saya kongsikan foto-foto menarik di sekitar Beijing yang dilanda musim sejuk mulai Oktober lalu.

Suasana di Summer Palace - tempat pertama kami kunjungi sebaik tiba pada  8 Dis 2012. 




















December 17, 2012

Rasullullah Murabbi Cinta Dalam Rumah Tangga

Dapatkan di sini



KANDUNGAN MENARIK ANIS JANUARI 2013:

Istimewa untuk pembaca ANIS
Sebagai tanda menghargai sokongan pembaca, mulai isu Januari 2013 ini, Majalah Anis tampil dengan kertas yang lebih berkualiti, namun harga kekal sama.
Bonus istimewa - 4 ruangan baharu daripada penulis berwibawa tanah air.

1.      Fokus Utama ms: 17
Rasulullah Murabbi Cinta Dalam Rumah Tangga
Indah dan hebatnya apabila Rasulullah SAW sendiri menyatakan bahawa Bagindalah sebaik-baik orang terhadap isterinya, sekali gus memberi pengajaran bahawa sesiapa yang mahu menjadi suami yang terbaik terhadap isterinya, maka tirulah Baginda SAW. Sesungguhnya tiada teladan dan contoh terbaik, sebaik contoh dan teladan seperti mana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai apakah wasiat-wasiat Rasulullah kepada para suami, ikuti Fokus ANIS bulan ini.

2.      Interviu Fokus ms: 24
Rasulullah SAW Pemberi Syafaat
“Sungguh hinanya orang yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW, tetapi menghina Nabi Muhammad SAW. Orang yang melecehkan atau menghina Nabi Muhammad SAW sebetulnya mereka tidak dicintai oleh Nabi Muhammad SAW.” - Ulama terkenal dari Solo, Indonesia, Habib Syech Abdul Qoder Assegaf.

3.      Rencana Khas ms: 12
Sejarah Pembinaan Masjid Nabawi
“Antara tujuan Nabi Muhammad SAW berhijrah adalah membina masjid kerana tiada masjid di Makkah ketika itu. Apabila Makkah tiada masjid, bagaimana Nabi hendak mendidik para Sahabat? Dengan kuasa politik yang ada, Nabi Muhammad SAW terus membina masjid tersebut sebaik tiba di Madinah.” Untuk mengetahui sejarah pembinaan Masjid Nabawi dengan lebih lanjut, ikuti ulasannya oleh Mudir Maahad Dakwah Wa Irsyad Mohd Al-Fateh, Ustaz Mohd Uda Kassim.

4.      Tetamu Anis ms: 33
Al-Mawlid – Tarik Anak Muda Cintai Selawat
Suatu ketika dahulu, mereka hadir memeriahkan industri muzik negara dan mencipta kejayaan tersendiri sehingga menjadi ikutan anak-anak muda. Setelah sekian lama menyepi, kini mereka kembali menjernihkan industri muzik apabila bersatu menubuhkan sebuah kumpulan yang mengagungkan selawat dan qasidah dalam misi untuk menuju mahabbah Rasulullah SAW. Gabungan pemuda yang membentuk komuniti muzik dikenali sebagai Al-Mawlid mengundang perhatian ramai apabila muncul dengan imej berjubah dan berkopiah putih. Ikuti perjalanan hidup mereka dalam ruangan Tetamu Anis pada muka surat 33.

5.      Solat Wanita ms: 119
Check Solat Kita!
Menjengah tahun baharu bermakna umur semakin meningkat menjadikan diri kita hampir kepada ajal. Oleh itu, jom kita buat senarai semak amalan bermula dengan amalan solat kita. Jika kita perbetulkan solat, insya-Allah segala perjalanan kehidupan akan sempurna.

6.      Imej Muslimah ms: 40
Tampil Berkarisma Dalam Kerjaya
Kejayaan dalam kerjaya tidak hanya bergantung kepada pemilikan ilmu dan kemahiran melaksanakan sesuatu tugasan. Akan tetapi ia sebenarnya perlu dilengkapi dengan kemahiran komunikasi verbal dan non-verbal agar diri lebih menyerlah kompetitif berbanding orang sekeliling. Oleh itu, dapatkan 10 tip tampil berautoriti daripada Pn. Suraya Daud, Perunding Imej, SD Image.
  
7.      Jom Sihat ms: 42
Diet Untuk pesakit Darah Tinggi
Penyakit darah tinggi yang lebih dikenali sebagai pembunuh senyap (silent killer) kerana ia tidak memberikan tanda-tanda atau amaran seperti sakit gigi ataupun sakit belakang. Tekanan darah tinggi atau hipertensi berlaku apabila tekanan darah bacaan tidak normal untuk suatu jangka masa yang lama. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Oleh itu, ketahui 7 langkah mengurangkan tekanan darah tinggi di ruangan Jom Sihat oleh Nur Hidayah Mokhtar, Perunding Diet.

8.Izinkan Aku Bahagia  ms: 78
Bahana ‘Sial’
Benarkah ada pembawa sial? Adakah setiap kemalangan, kesakitan, musibah yang melanda orang lain yang berkawan dengan kita, semua disebabkan KUASA sial pada diri kita? Di mana sial itu tercatat? Ikuti kupasan selanjutnya oleh Noor Laila Aniza Zakaria, Perunding Motivasi.

9.Adab ms: 108
Adab Duduk Dalam Majlis
Bagaimana cara duduk dalam majlis ilmu yang terbaik? Ketahuinya dalam ruangan Adab agar kita mendapat keberkatan dalam ilmu yang dipelajari.

10. TipRM ms: 84
10 Tip Lembaran Kewangan Baharu
Mulakan tahun baharu dengan lembaran kewangan yang baharu. Sediakan pelan tindakan kewangan untuk memperbaiki urusan kewangan kita dan pastikan ia dilakukan. Ketahui senarai pelan tindakan kewangan yang boleh dicuba dalam ruangan TipRM oleh Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Shahir.










December 04, 2012

Nilai Sepuluh Sen



Oleh: Farah

Loceng waktu rehat berbunyi. Murid-murid bergegas keluar daripada kelas menuju ke kantin. Seperti biasa, Aishah mengeluarkan bekalnya untuk dimakan. Aishah belajar di dalam kelas Enam Amanah dan dia bakal menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini. Aishah seorang pelajar yang bijak dan aktif. Lantaran itu, dia dicemburui oleh Murni, rakan sekelasnya.

Aishah dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Ayahnya meninggal dunia akibat lemas di laut kerana botnya karam. Aishah mempunyai empat orang adik beradik dan dia merupakan anak sulung. Sejak kehilangan bapanya, ibunya memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Selepas habis waktu persekolahan, Aishah akan menyiapkan kerja sekolahnya di rumah kerana dia akan membantu ibunya menjual kuih dan nasi lemak di waktu petang. Tanggungjawab sebagai anak sulung membuatkan Aishah tekad mahu belajar bersungguh-sungguh untuk membantu ibunya.

Di sekolah, Murni kerap kali memperlekehkan Aishah hanya kerana Aishah memakai baju sekolah yang sudah lusuh, kasut yang sudah kehausan tapak, dan jarang ke kantin membeli makanan. Namun begitu, Aishah tidak pernah membalas perlakuan Murni. Aishah teringat akan pesanan ibunya, “Biarlah orang mengeji kita Aishah, asalkan kita tidak membuat perkara yang sama. Dahulu Rasullullah S.A.W juga dikecam ketika mahu menyebarkan dakwah, namun Rasullullah S.A.W tidak pernah membalasnya.. Hasilnya, semakin ramai tertarik dengan pekerti baginda.”

Di sekolah, Murni kerap kali membawa alat tulis yang mahal untuk membuat Aishah cemburu. Malahan, Murni juga kerap menghasut rakan-rakan lain supaya menjauhi Aishah kerana bagi Murni, anak orang kaya tidak boleh berkawan dengan orang miskin. Aishah tetap bersabar dengan perbuatan Murni kerana fokus Aishah hanya mahu mendapat 5A di dalam UPSR.

Suatu hari, sewaktu Aishah sedang bertugas membersihkan kelas, Aishah terpandang duit syiling sepuluh sen yang terjatuh daripada dompet Murni. Lantas, Aishah mengutip duit syiling itu dan meletakkannya di atas meja Murni. “Murni, duit sepuluh sen awak terjatuh. Ambillah semula.” Mendengar kata-kata Aishah, lantas Murni menjawab dengan angkuhnya, “Saya tidak perlukan duit syiling sepuluh sen ini. Tiada nilainya bagi saya. Ayah saya boleh beri sepuluh ringgit sehari. Awak sajalah yang ambil duit sepuluh sen ini. Saya tidak hairan.” Mendengar kata-kata Murni yang amat mengguris hati itu, Aishah mengambil duit sepuluh sen itu dengan harapan dapat memberikannya juga kepada Murni kerana itu bukan haknya.

Tengah hari itu, Aishah balik agak lewat kerana dia berjumpa dengan Cikgu Zakiah untuk bertanyakan tentang matapelajaran Sains. Aishah mengayuh basikalnya keluar daripada pagar sekolah dan ketika itu, dia terpandangkan Murni yang sedang duduk di tepi pagar. Aishah berasa hairan mengapa Murni tidak pulang sedangkan hampir jam tiga petang. Aishah lantas menegur Murni, “Mengapa kamu tidak pulang lagi Murni? Tiada siapa menjemput kamukah?” Murni yang sedang gelisah ketika itu, memandang Aishah dan berkata “Saya tidak tahu mengapa Pakcik Akob tidak menjemput saya hari ini. Saya tidak tahu bagaimana untuk menghubungi ibubapa saya kerana saya sudah kehabisan wang.”

Mendengar kata-kata Murni, Aishah terus mengeluarkan duit syiling sepuluh sen daripada begnya. Duit itulah yang dipandang remeh oleh Murni sewaktu Aishah mahu memulangkannya. “Ambillah duit sepuluh sen awak ini Murni. Walaupun sedikit, awak boleh gunakannya di pondok telefon depan sana untuk menghubungi ibubapa awak.”

Murni yang ketika itu berasa amat malu dengan Aishah, menangis teresak-esak sambil berkata, “Maafkan saya Aishah, saya berasa amat malu dengan perbuatan saya selama ini. Saya sebenarnya cemburukan kejayaan kamu. Hari ini, kamu tetap mahu menolong saya walaupun saya kerap menghina kamu. Maafkan saya Aishah, saya kesal.”

Aishah yang turut berasa sebak dan terharu dengan permohonan maaf Murni, memeluk Murni dan berkata, “Tidak mengapa, saya maafkan. Saya harap kita dapat jadi kawan baik selepas ini.” Aishah terbayang akan pesanan ibunya dan tidak henti-henti mengucapkan syukur kepada Allah kerana telah membuka pintu hati Murni. Sejak daripada kejadian itu, Aishah dan Murni bersahabat baik dan saling bantu membantu di dalam pelajaran.

Nurfarahani binti Roslan
4-1-23, Jalan Metafasa U16/3, Pangsapuri Kiambang, 40150, Taman Bukit Subang, Shah Alam, Selangor.
901028-06-5614

22 tahun

CIMB BANK:   1-230-007-3199524

Beginilah cerpen yang baik untuk dihantar ke Majalah ASUH. Jika anda mempunyai anak yang mempunyai bakat menulis dan mahu mengembangkan bakat anak anda itu sila hantar cerpen anak anda itu ke SINI. Jika karya anak anda dipilih sejumlah wang sebagai honararium akan masuk ke akaun bank anda.

November 23, 2012

Jalan-jalanlah Cari Iman


“Masya-Allah, beg-beg kita sudah beranak dan bercucu-cicit rupanya,” gurau seorang mutawif umrah semasa saya dalam perjalanan pulang daripada Tanah Suci suatu ketika dahulu. Para jemaah tersenyum sumbing. Siapa boleh nafikan kehebatan jemaah Malaysia dalam bab membeli-belah (shopping). Sebab itu pelancong Malaysia sentiasa disambut dengan senyum menawan para peniaga di mana-mana negara.

Sebut mengenai shopping ini, saya juga teringat luahan hati seorang ketua rombongan ke bumi Aceh Darul Salam. Beliau berasa hairan kerana ketika masing-masing hendak pulang, terdengar sungutan rasa tidak puas hati. Rupa-rupanya apabila disiasat, jemaah tidak puas hati kerana beg-beg mereka ‘tidak beranak dan bercucu-cicit’.

“Masya-Allah, takkan mereka tidak tahu Aceh itu bukan tempat untuk membeli-belah. Jika mahu shopping, pergilah ke Bandung. Jalan-jalan ke Aceh adalah jalan-jalan ‘mencari iman’,” ujarnya sambil mengusap dahi.
Di Aceh, para pelawat dapat melihat tanda-tanda ‘kiamat kecil’ akibat bencana tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 lalu. Ia begitu menggemparkan dunia kerana telah mengorbankan ratusan ribu nyawa. Walaupun sudah lama berlalu dan Aceh kini sudah semakin maju, namun masih banyak tinggalannya yang boleh diambil iktibar. Apatah lagi apabila menyaksikan masjid-masjid yang tidak terusik dek ombak ganas tsunami. Jika difikirkan secara logik, terasa betapa kerdilnya kita sebagai hamba dan hebatnya kekuasaan dan keagungan Allah SWT.

Mengembara atau melancong itu memang fitrah manusia yang sukakan kedamaian dan ketenangan. Namun begitu, satu misi yang patut kita terapkan dalam merancang percutian atau pelancongan ialah sejauh mana kita mengaktifkan budaya ‘fikir’ dan ‘zikir’ kepada diri kita dan juga ahli keluarga. Natijahnya, percutian atau pelancongan kita itu bukan sahaja menambah ilmu, meluaskan pengalaman serta meramaikan kenalan, tetap ia juga dikira ibadah di sisi Allah Taala. Jadikanlah visi kita; bersama ‘ole-ole barangan’ untuk keluarga yang ditinggalkan, ada juga ‘ole-ole perkhabaran’ yang boleh meningkatkan iman dan takwa kepada-Nya.

Sama-samalah kita hayati Fokus Utama Anis Disember 2012: Cuti-cuti Jadi Ibadah yang dikupas oleh Dr. Nik Yusri Musa, seterusnya diperjelaskan secara terperinci oleh Ust. Muhammad Abdullah, pendakwah bebas yang mempunyai hobi mengembara bertemu ulama, dan Ustazah Asni Mansor yang berkongsi tips-tips percutian untuk para isteri. Yang penting dalam merancang percutian, ukurlah baju di badan sendiri, jangan sampai poket bolos untuk persiapan musim persekolahan dan sebagainya. Insya-Allah, dengan mengikut adab-adab berehlah, percutian kita yang ‘biasa-biasa’ akan menjadi luar biasa. 


 
Kenangan sewaktu berkunjung ke Meulaboh, Aceh pada 2009 - melihat kesan lima tahun selepas tsunami. Di hadapan Masjid Teuku Umar yang tidak musnah oleh ombak tsunami meskipun berada di pinggir pantai. Bukti kehebatan dan keagungan Ilahi. 

November 19, 2012

Hantar anak anda ke 'Kem Asuh 2012'

"Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang telah menjayakan program ini. Saya percaya, sesuatu yang dilakukan bukan atas dasar nilai wang ringgit semata pasti membuahkan sesuatu yang diluar jangkauan minda. Dengan pengalaman ini, mengapa tidak saya unjurkan kepada ibubapa di luar sana untuk memberikan peluang yang sama kepada anak mereka juga…" Kata seorang pengulas blog yang telah menghantar anaknya ke Kem Asuh pada tahun 2010.

Klik di sini untuk membaca blog beliau.

Beliau sangat menganjurkan kepada ibu bapa di luar sana supaya menghantar anak-anak ke Kem Asuh yang diadakan pada setiap kali cuti sekolah khususnya pada hujung tahun.

Di sini saya amat mengesyorkan kepada ibu bapa yang mencari-cari aktiviti yang sesuai dilakukan oleh anak-anak pada waktu cuti sekolah.

Mari kita lihat kelebihan Kem Asuh 2012.

Apa anak-anak dapat apabila mereka ke Kem Asuh 2012?

  1. Anak-anak mampu untuk berfikir secara matang
  2. Mampu melihat sesuatu daripada perspektif ibu bapa mereka
  3. Mampu mengenal siapakan diri mereka yang sebenar daripada segi percakapan, personaliti dan bahasa mereka
  4. Selama beberapa hari mereka akan merindui kasih sayang dan belaian anda
  5. Mereka dapat menilai dengan sendiri bagaimana untuk lebih menghargai ibu bapa dan alam semulajadi
  6. Mereka akan mengetahui bahasa SOLAT adalah pendinding atau pelengkap kepada kehidupan mereka
  7. Menjadi jambatan kepada mereka untuk memperbaiki diri dan menjadikan akhlak mereka lebih dinamik dan sempurna
  8. Stamina mereka bertambah kuat
  9. Dapat berkenalan dengan rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang

Aktiviti luar yang menyeronokkan
Apa ibu bapa akan dapat selepas mereka menghantar anak-anak ke Kem Asuh 2012?
  1. Memperbaiki proses komunikasi ibu bapa dan anak-anak
  2. Mengenalpasti sikap dan karakter mereka dengan lebih baik 
  3. Mampu bertoleransi bersama anak dengan lebih mudah dan berkesan
  4. Melihat proses perubahan akhlak anak dengan lebih baik
  5. Anak-anak lebih mudah berkongsi perasaan bersama ibu bapa
  6. Anak-anak akan lebih menghargai ibu bapa 
  7. Anda akan lebih menyayangi anak-anak anda
Kem Asuh 2012 "Jom Jadi Baik"- Persediaan meniti usia baligh.

Cara untuk mendaftar anak-anak anda ke Kem Asuh 2012.

Klik di sini atau hubungi Cik Suriati di 03-614 21 614 atau fakskan ke 03-614 21 612

Daftar segera! Tempat terhad!

Tarikh: 25-29 November 2012 atau pada 16-20 Disember 2012 (5 hari 4 malam)
Umur: 9-16 tahun
Tempat: Kem Iman D' Semungkis, Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan

(Bayaran termasuk makan, tempat penginapan, fail, beg dan cenderahati Asuh)







November 14, 2012

Apa Isi Kandungan ANIS Disember 2012?

Jangan lupa dapatkannya di pasaran sekarang

KANDUNGAN MENARIK ANIS DISEMBER 2012:

EKSKLUSIF 10 muka surat Zakat Menjana Ekonomi Ummah!
Ikuti kisah-kisah mereka yang dahulunya menerima bantuan zakat kini terus bangun meningkatkan taraf hidup mereka sehingga mampu pula membayar zakat.

November 13, 2012

ANIS DISEMBER 2012 In The Making

Taufan Sandy hampir melumpuhkan warga New York dengan kerugian berbilion USD. Di tanah air kita apa kurangnya, bahang bencana akhir tahun iaitu banjir sudah mula dirasai dengan penduduk terpaksa dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat. 

November 05, 2012

Aduhai...

Pagi tadi terkocoh-kocoh saya hidupkan enjin kereta. Selepas menghantar beg pakaian Maryam di rumah jiran sebelah, saya masuk ke dalam kereta saya yang comel lote itu. Hmm, baru terperasan, angin di tayar belakang agak kempis.

November 02, 2012

Gelaran Doktor Obes Kini Tinggal Sejarah!

Jerit perih pasangan ini dalam menurunkan berat badan berbaloi malah usaha mereka kini menjadi penawar buat ramai insan lain yang mengalami masalah serupa. 

Dr. Mahathir Mohamed dan Dr. Nurhalina Azly Minhat. 
Siapa sangka orang yang banyak membantu ramai insan dalam program penurunan berat badan ini suatu ketika dahulu pernah dilanda masalah obesiti. Dengan berat badan sebanyak tiga digit, Dr. Mahathir Mohamed, 37, hampir berputus asa kerana masih gagal mengurangkan berat badannya biarpun pelbagai usaha telah dijalankan.
Antaranya beliau bersenam dan berjoging sejauh 800 meter hampir setiap hari di samping mengamalkan pemakanan produk pelangsingan badan yang disyorkan rakan-rakan yang bersimpati dengan nasib beliau.
Pemilik Klinik Timeless yang menawarkan perkhidmatan anti-penuaan dan keremajaan kulit di Kelana Jaya ini mengimbau, “Ketika bertugas di Sarawak dahulu, berat badan saya mencecah 110 kg. Saya mengaktifkan diri dengan bersenam dan berjoging namun berat badan saya macam yo-yo,” ujarnya tersenyum melihat isterinya, Dr. Nurhalina Azly Minhat, 37, yang turut dilanda masalah berat badan selepas melahirkan anak.

Dua-dua Perlu Ambil Tahu!



Dalam satu kuliah Maghrib yang saya hadiri, penceramah membacakan satu soalan daripada  para hadirin. Daripada soalan itu dapat diarak ia ditulis oleh seorang remaja perempuan. Soalannya berbunyi; “Ustaz, apakah nama-nama ‘darah’ yang perlu saya ketahui, kerana bakal suami saya berkata jika mahu mendirikan rumahtangga saya perlu tahu.”

Muqaddimah jawapan daripada penceramah itu, walaupun ringkas dan menggelikan hati, tetapi turut menjentik hati semua termasuk kaum lelaki. “Kalau bab darah ini bukan orang perempuan sahaja wajib tahu, tetapi orang lelaki yang bakal jadi suami pun perlu ambil tahu. Nanti kalau isteri atau anak perempuan kita cuti memanjang, tidaklah kita tak tahu. Orang perempuan pula elok belajar sebelum berumah tangga lagi. Ini tidak, sudah nak pencen barulah nak belajar. Waktu itu tak guna dah, sebab setitik darah pun tidak ada ...” ujarnya bergurau sambil disambut ketawa mak cik-mak cik di belakang tabir.

November 01, 2012

Apabila Melanggar Sunnatullah...


Berkorbanlah kerana di pundak kita ada mandat besar yang menanti.

“Semasa zaman perang, kami hanya makan nasi campur ubi kayu”, “Dahulu daerah ini kawasan hitam sebab komunis sering bermaharajalela,”,“Di sekolah dahulu, kami hanya menulis atas papan batu ... “ Bermacam-macam lagi gambaran yang sukar digambarkan di benak fikiran kerana peristiwa perit di zaman pra-merdeka tidak pernah dialami.  

Buat generasi seusia saya, cerita-cerita yang disampaikan warga emas yang hidup zaman itu sudah tegal lagi biasa. Namun, bagi generasi YZ yang lahir di era digital, pasti lebih sukar hendak membayangkannya. Dengan nikmat kemakmuran yang melanda negara, Malaysia bagaikan ‘syurga makanan’ yang enak-enak dan lazat belaka. Kenapa? Sebabnya kita tidak sukar lagi mencari makanan – tidak cukup waktu siang, malam hari pun masih ada restoran yang beroperasi 24 jam. Maka waktu makan sudah tidak mengikut jam lagi kerana budaya generasi muda hari ini lebih suka melepak pada waktu malam dan berdengkur di pagi hari. Satu budaya yang menjadi kepantangan besar buat orang-orang tua dahulu.

Realitinya, budaya ini bukan sahaja menyalahi amalan petua orang lama, ia juga  menyalahi sunnatullah (nature) yang ditentukan Allah SWT. Malam adalah saat tubuh badan merehatkan diri setelah seharian bekerja memerah otak. Dari sudut kesihatan pula, tidur yang cukup sangat penting kerana pada waktu inilah  proses ‘overhaul’ semula organ-organ yang terdapat dalam tubuh badan kita berlaku. Justeru, tidak hairan apabila penyakit-penyakit ‘pelik’ mulai melanda warga negara kita, seiring dengan ‘hutan batu’ yang mencanak tinggi di sana sini.

Di manakah jalan penyelesaiannya? Islam agama yang sangat indah, panduannya cukup mudah diberikan oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam sejarah, pernah terjadi kisah seorang tabib yang dihadiahkan pemerintah Mesir untuk berkhidmat di bumi Madinah kehairanan lantaran tiada siapapun datang mendapatkan rawatan daripadanya. Kala jawapan ditagih kepada Nabi, Baginda SAW menjawab, “Kami adalah kaum yang makan ketika lapar, dan berhenti sebelum kenyang.” Simboliknya, amalkan sifat bersederhana dalam soal makan dan minum. Bukan makan ikut sedap atau selagi boleh disumbat segalanya dalam perut. Bukankah Nabi SAW juga berpesan, perut itu gudang segala penyakit? 

Mengapa orang Mukmin perlu tampil sihat? Bukankah bila tubuh kita sentiasa cergas bertenaga, produktiviti diri kita juga pasti meningkat dan boleh dijadikan ‘aset’ yang menguntungkan ummah. Apa yang penting kita perlu membiasakan perkara yang betul iaitu mengubah semula tabiat atau gaya pemakanan kita. Sempena ketibaan Maal Hijrah 1434 tidak lama lagi, mari kita sama-sama tanam tekad dan azam iaitu untuk berkorban mengubah ‘lifestyle’ ke arah yang lebih sihat. Kerana di pundak kita ada mandat besar yang menanti; iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah yang akan memakmurkan seluruh muka bumi ini dengan sejuta kebaikan.

Saya kongsikan foto-foto sempena lawatan amal kakitangan GISB ke Hosp. Sg Buloh pada awal Ramadan lalu. 








October 24, 2012

Dato' Sarimah Ahmad Kembali

Petang semalam saya menerima panggilan telefon. Memanggil pihak media untuk membuat liputan mengenai produk terbaharu daripada Dato' Dr. Hj Sarimah Ahmad. Siapa yang tidak kenal dengan primadona tanah air ini yang amat diingati dengan watak Marjina dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Siapa yang melihatnya pasi kagum dengan kecantikan semula jadinya itu.

Allahu Akbar  ... secara peribadi saya mengenali beliau dengan lebih dekat pada tahun 2001 kala bertugas dengan Majalah Anis. Saya berkesempatan menemuinya di sebuah majlis bedah buku novel tulisan Hj. Abu Hassan Morad iaitu 'Cinta Madinah', anjuran Dewan Bahasa Pustaka. Aduhai terkasima sekali dengan kejelitaannya yang tidak dimamah usia. Kala itu Dato' Sarimah Ahmad menyumbang suaranya untuk salah satu watak utama novel ini yang berkisar mengenai hidup seorang wanita yang kehilangan suaminya. Rupa-rupanya suaminya yang disangka telah hilang dan meninggal dunia itu bermastautin dan menetap di bumi Madinah. Pengakhiran cerita cinta tragis ini berakhir apabila kedua-duanya bertemu kembali tatkala pergi menunaikan umrah di Tanah Suci.

Perkenalan GISB dengan primadona ini bermula tatkala kru Anugerah Media Network (syarikat bersekutu GISB) melebarkan sayap penggambaran ke negara Brunei Darussalam. Kru rancangan 'Salam Nusantara' diketuai oleh Hj. Abu Hassan Morad itu turut membawa suami saya sebagai wartawan dan penyelidik untuk program dokumentari ini. Di sanalah detik ukhuwah mula bersemi antara kami dan primadona ini yang memilih kesederhaan hidup biarpun pernah diulit dengan dunia glamor.

Kisah kehidupannya itu kami kongsikan dalam Majalah Anis dan  wajahnya kami abadikan sebagai Penghias Kulit Anis Januari 2002. Manakala untuk Penghias Kulit Anis sekitar tahun 2005 pula dipaparkan selepas Dato' Sarimah membintangi drama 'Cinta Madinah'. Siapa sangka berkat masin mulutnya yang pernah berkata kepada Tn Hj Abu Hassan, "Kalaulah cerita ini mahu difilemkan atau didramakan Kak Mah hendak berlakon," akhirnya menjelma menjadi realiti apabila beliau bersama pelakon utama drama ini iaitu Allahyarham Shukri Hashim, Zul Yahya, Wardina Safiyyah, Hamidah Wahab, Normala Hamzah dan Zulkifli Zain terbang ke Tanah Suci untuk sesi penggambaran.

Selama dua puluh hari kru kami diketuai Hj Abu Hassan Morad berkampung di sana. Lebih memeranjatkan mereka kerana penggambaran ini dilaksanakan di dalam sebuah kebun kurma milik Pak Long Isa - anak jati Kedah yang telah pun menjadi warga Madinah. Rombongan ini turut disertai Hajah Aliyah Sijari dan Hajah Jalilah yang terus menjadi rakan karib primadona ini sehingga ke saat ini. Perhubungan kami dengannya tidak putus walaupun tidak bersua muka. SMS dan panggilan telefon sering menjadi pengubat rindu antara satu sama lain.

Alhamdulillah, setelah sekian lama menyepikan diri, hari ini saya dan team media yang lain dapat berkongsi kisah beliau yang kembali tampil ke depan. Beliau yang menderita penyakit kanser sebelum ini telah kembali sihat seperti sedia kala. Namun kembalinya bukan dengan tangan kosong lantaran janjinya di hadapan Kaabah (sewaktu menunaikan umrah dalam keadaan sakit) ialah untuk berkongsi nikmat sekiranya beliau dipanjangkan umur. Perjuangannya mencari penawar kanser yang dideritai mulai bulan April 2010 yang lalu akhirnya bertemu nokhtah dengan penemuan ubat-ubatan berasaskan tumbuh-tumbuhan. Lantaran itulah dia ingin berkongsi dengan semua lapisan masyarakat dengan niat dapat membantu ramai insan lain yang mungkin menghadapi dugaan yang sama.

Sebenarnya banyak lagi yang mahu saya ceritakan dan  insya-Allah, akan saya kongsikan di Majalah Anis tidak lama lagi. Kata-kata beliau di sidang media kala ditebak soalan mengenai corat-coret penderitaannya pasti saya akan kenangi,
"Sakit itu satu nikmat, garis-garis kedut di muka itu melambangkan anugerah-Nya. Setiap sesuatu yang berlaku ada hikmahnya."
"Saya juga bukan mahu rumah banglo yang mewah, bukan juga kereta yang menjalar tapi niat untuk berkongsi nikmat kesihatan yang Allah anugerahkan kembali pada saya kerana itulah janji saya ketika dilanda sakit dahulu. Setiap hamba Allah perlu mempunyai fizikal yang sihat untuk kita cergas beribadah kepada-Nya di samping menunaikan tanggungjawab sesama manusia."

Ternyata, primadona yang saya kagumi ini dianugerahkan bukan saja kecantikan lahiriah namun kecantikan dalaman yang tiada tandingan.

Dato' Sarimah Ahmad (dua dari kiri) bersama Dato Freddie Fernandez dan orang kuat Primadona  Worldwide Sdn. Bhd.
Masih anggun biarpun di usia emas. 

Sidang media di Dewan Gulam, Kota Damansara. 

Menunggu teman media yang belum tiba, sempat makan yang ringan-ringan dahulu tapi terus kenyang kala menatap Dato' Sarimah yang kembali cergas dan aktif seperti dahulu. 

October 22, 2012

Temubual bersama Yatt Hamzah

Penghias Majalah ANIS isu november ialah Yatt Hamzah. Lokasi penggambaran diadakan di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara Kuala Lumpur.

Kepada anda yang ingin mengetahui perkembangan beliau silalah ke channel Galeri Ilmu Sdn Bhd di youtube.



Saksikan temubual antara wartawan ANIS, Hajidah Hassan yang menemubual beliau dengan beberapa soalan yang pasti membuatkan anda tersenyum.

Jangan lupa dapatkan Majalah ANIS di pasaran.


Nantikan kandungan menarik Majalah ANIS setiap bulan. Jadi kawan saya di facebook!

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...