February 05, 2009

10 Minit Sahaja!


Pejam celik pejam celik, bulan Muharam sudah berlalu pergi. Kini Safar pula sebagai ganti. Terasa begitu cepat masa berlalu, bila direnung-renung semula begitu banyak kita membazirkan masa. Perkataan 'tak ada masa' selalu saja kita ucapkan sebagai alasan diri. Insaflah kamus hidup kita ini akan berakhir juga, sedar-sedar kita sudah semakin di penghujung usia. Tidak sempat kita sediakan bekalan secukupnya untuk mengadap-Nya.

Bagi orang-orang yang selalu berasa tidak ada waktu, saya kongsikan bersama sebuah catatan penulis bernama Abdul Malik al-Qassim dalam bukunya berjudul, Sepuluh Minit yang menentukan!:

"Waktu itu seperti harta. keduanya sama-sama harus ditamaki dan harus ekonomis dalam membelanjakan dan mengaturnya. Jika harta itu habis dihimpun, disimpan dan bahkan bisa dikembangkan, maka waktu adalah sebaliknya. Setiap detik dan setiap minit akan berlalu menjadi hilang dan tidak akan pernah kembali, sekalipun ditebus dengan seluruh kekayaan yang ada di dunia ini.
Jika waktu itu ditentukan batasnya, dan usia pun demikian, maka ia tidak bisa didahulukan dan juga tidak bisa ditangguhkan. Nilai sebuah waktu terletak pada bagaimana cara menggunakannya. Masing-masing kita berkewajipan menjaga dan memanfaatkan waktu sebaik mungkin, jangan sampai mengabaikannya, baik yang hanya sesaat mahupun lama."

Rasulullah SAW berpesan kepada kita tentang peri pentingnya waktu. Dalam hadis diriwayatkan dari Abu Bakrah disebutkan bahawa pernah ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah SAW, "Ya Rasulullah, manusia seperti apa yang paling baik?" Beliau menjawab, "Orang yang panjang usia dan banyak amalnya." Dia bertanya lagi, "Lalu, manusia seperti apa yang paling buruk? Baginda menjawab, "Orang yang panjang usianya namun buruk amalnya." (Riwayat Muslim)

Jadi apa patut kita buat? Cubalah peruntukkan 10 minit dalam sehari secara tetap dan konsisten. Renung-renungkan andainya kita;
1. Apabila setiap hari kita bertasbih 100 kali, maka bermakna setahun kita akan bertasbih sebanyak 36,500 kali.
2. Apabila setiap hari kita membaca al-Quran selama 10 minit, maka kita akan khatam dalam masa 2 bulan sahaja!
3. Apabila kita membaca al-Quran sebanyak 5 mukasurat sehari, maka kita akan khatam al-Quran dalam masa 120 hari atau 4 bulan sahaja!
4. Apabila kita menghafal 1 ayat al-Quran, maka kita akan dapat menghafal al-Quran dalam masa 8 tahun!
Masya-Allah, selama ini tak terfikirpun untuk jadi seorang Hafiz atau Hafizah (Penghafaz al-Quran) tapi jika kita cuba berazam dan bulatkan tekad, cita-cita ini bukan suatu perkara mustahil.
Oleh itu katakan saja, "Aku boleh!", "Aku masih ada waktu!" Kerana tiada alasan bagi kita untuk berlengah-lengah dan bermain-main dengan waktu lagi. Kerana waktu itu hanya sebuah pinjaman sementara dari Dia yang Maha Esa. Cukup masa pinjaman waktu kita akan ditagih semula.

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...