November 24, 2008

Alahai Bibik!

"Mana Bibik kita?"
"Bibik kita bercuti la.."
"Ya ke? Lama ke?"
"Emm lamalah jugak..."
Aduhai Bibik. Rasanya dah banyak kali ambik cuti. Kita pun tak cuti panjang macam tu. Entahlah, bermacam-macam dialog didengar bila menyebut masalah Bibik ini. Semua orang jadi susah hati apabila Bibik tidak ada. Ya lah siapa nak kutip sampah, siapa nak cuci tandas, siapa nak buat air. Masalah...masalah...
Cerita pasal Bibik terus berlarutan. Kisah Bibik ok dan tak ok. Tapi rasanya bagi saya banyak tak ok dari ok. Itupun berdasarkan kisah-kisah yang diperpanjangkan di telinga saya. Bibik buat hubungan dengan suami, lari dan sanggup tinggalkan anak majikan. Yang terbaru kes bunuh seorang wanita yang melibatkan orang gaji dan suaminya di Shah Alam. Oh sungguh mengerikan. Tak sanggup saya.
Jadi makanya saya tak pernah menanam impian untuk mengambil seorang Bibik. Tapi suatu hari suami saya bersuara. Mungkin sebab terlalu kasihan melihat keletihan saya menguruskan anak-anak setiap kali nak dihantar ke nurseri.
"Apa kata kita cari Bibik Malaysia?"
Saya hanya mengiakan tapi dalam hati macam tak percaya. Masih ramai ke orang-orang Malaysia ini sanggup jadi Bibik? Dalam diam-diam rupa-rupanya suami telah mengiklan mencari pembantu rumah di suratkhabar. Tak sangka pula dalam seminggu talian telefon kami menjadi talian hangat.
"Kak saya baru berhenti kerja kerani. Bolehlah saya jaga anak-anak akak..." suara halus di talian.
"Saya pernah jaga orang sakit. Boleh tak de masalah." Seorang wanita pertengahan umur 40 an menelefon kami.
Akhirnya, seorang gadis yang agak lewat umurnya setuju. Tak sangka saya dalam ramai-ramai tersangkut juga. Saya dan suami pun pergi merisik (berjumpa) siapa orangnya. Oleh kerana sudah ada pengalaman jaga anak sebelum ini saya bersetuju. Setelah setuju dengan harga gajinya, kami pun berjanji untuk mengambil dia dua hari nanti. Tetiba esoknya dia call semula. "Maaflah saya tak jadi. Saya nak kerja sekuriti."
Harapan yang disemai kembali terbantut. Keesokannya suami saya memberitahu dengan nada gembira. Beria-ia kami siapkan bilik untuknya tapi hampa.
"Ada seorang kakak ni telefon, dia boleh jaga tapi dia minta izin nak bawa seorang cucunya." kata suami. Melihat reaksi suami yang gembira, saya iakan saja.
Keesokannya suami memberitahu lagi, "Akak tu telefon lagi dia nak bawa suami dia. Suami dia sakit. Boleh tak umi?"
Aduhai suami saya ini cukup tersentuh hatinya dengan masalah ibu ini.
"Masya-Allah, ini siapa nak jaga siapa? Silap haribulan kita yang jaga dia. Bukan dia yang jaga kita."
Terdiam suami mendengar jawapan tegas saya. Maaflah bukan niat di hati nak membelakangkannya tapi ini soal yang bersangkut-paut kehidupan kami sekeluarga. Hati ibu mana tak risaukan anak-anak apabila keluar bekerja. Tapi kes yang ini seolah-olah sengaja mengundang satu lagi masalah dalam hidup kami. Tak sanggup saya lihat rumah saya rumah kebajikan pula walaupun niat kita murni untuk saling membantu. Hai pening kembali kepala saya apabila fikirkan soal pembantu rumah.
Jalan penyelesaian untuk mencari Bibik akhirnya tiada noktah. Saya memutuskan biarlah saya saja jadi Bibik setiap kali balik rumah dari bekerja. Suami saya pun turut turun padang membantu dan anak-anak kami pun turut dilatih untuk menjadi Bibik-bibik dengan masing-masing tugasan mereka tersendiri. Penat memang penat tapi yang penting hati bahagia...

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...