Mak angkat saya di China... . |
Tandas
selalu menjadi isu yang cukup sensitif. Bukan saja ketika mahu berkelana ke
mana-mana negara, di tanah air sendiri pun ia boleh bertukar menjadi isu yang
emosional. Ketika trip ke
Beijing dahulu, saya tidak boleh lupakan ungkapan ini, “Don’t worry, don’t worry, four
star...!” Namun, realitinya, Allahu Rabbi.. . Tapi, tidak mengapa lain padang
lain belalang. Pujuk hati saya. Itulah asam garam yang perlu kita lalui.
Namun, jangan bimbang kerana bukan semua tempat begitu. Apa
yang boleh saya katakan rata-rata tandas yang terletak di dalam masjid-masjid
di sekitar bandar Beijing, boleh diberi angka lima bintang. Agak saya, ini
adalah buah ataupun hasil dari garapan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya
menjaga kebersihan, tidak kira di benua mana mereka berada. Ironisnya, apa agak
pula tanggapan orang bukan Islam andai datang ke negara kita, kemudian melihat
betapa kotornya tandas-tandas kita!
Kerana tandas...
Saya
bersyukur kerana dek terperangkap di sebuah tandas, membuahkan satu momen indah
buat saya. Gara-gara mencari tempat perlindungan dari perangkap cuaca sejuk yang mencengkam tulang, ketersengajaan
ini membuka ruang sesi perkenalan yang dikenang-kenang sampai saat ini.
Ketika
rakan-rakan lain menunaikan solat di ruang solat wanita di Masjid Niujie, saya
pula dalam keuzuran syarie, masuk semula ke ruang tandas. Jangan bayangkan tandas
di sini umpama tandas di tanah air kita yang spektikal binaannya. Tandas di
masjid ini begitu bersih dan dibahagikan kepada dua ruang – satu ruang khas
utuk mengambil wuduk dan satu ruang lagi disediakan khas untuk qada hajat. Ada
dua bilik khas untuk mandi-manda disediakan.
Di
ruang tengah di depan bilik untuk mandi-manda itulah saya duduk sebentar di
kerusi yang tersedia. Saya mula bersapa-sapa ringan dengan Mak Cik Fatimah Ma,
58, yang sedari awal menjadi penyambut tetamu pelancong-pelancong yang singgah
di situ. “No kencing, no kencing,” suara kuatnya memberi amaran agar tiada yang
buang air kecil di bilik mandi-manda.
Saya
mula menegurnya. Pada mulanya kami berdua bercakap umpama ayam dan itik tetapi
ia semakin rancak dengan bantuan seorang pemandu pelancong wanita yang kebetulan
berada di situ. Pemandu pelancong warga tempatan itu bernama Jenny, mengetuai
satu lagi bas rombongan lain dari Malaysia.
Mak
cik Fatimah Ma bercerita tentang kisah hidupnya. Katanya, dahulu dia adalah seorang
tukang jahit tetapi kini dia rela menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan
berkhidmat di Masjid Niujie terutama untuk membantu keperluaan pelancong wanita.
Apatah lagi satu-satunya anak perempuan nya telah pun
mendirikan rumah tangga, maka tidak hairanlah dia banyak meluangkan masanya di sini tanpa
mengharap apa-apa bayaran.
Sebaik
menyatakan hasrat hati untuk mencoret kisahnya, dia terus mendakap saya dengan
begitu erat. Saya betul-betul terkejut. Dia terus menarik tangan saya
lalu mengajak saya keluar.
“Lai...
lai... (mari, mari).” Itu saja yang saya faham. Tangan saya ditarik dan akhirnya
saya dibawa memasuki satu bilik kecil. Saya begitu teruja mahu lihat apa yang
mahu ditunjukkan.
Rasa kagum menerpa
Mak cik Fatimah terus mengeluarkan sebuah buku kecil dari
almari di dinding bilik itu. Terus
dia meletakkan di atas meja. Saya membaca judul buku kecil itu
yang bertajuk 300 Perkataan Bahasa Melayu. Mak cik Fatimah juga mengeluarkan
sebuah buku log panjang yang ditulis dengan kalimah-kalimah dalam tulisan Cina sambil
menyebut beberapa kali istilah Bahasa Melayu seperti makan, minum dan
lain-lain lagi.
Apabila
saya membetulkan kembali sebutannya, dia mengangguk dan tersenyum gembira. Masya-Allah, rasa
kagum terus meresap ke sanubari. Kebanjiran
pelancong Malaysia ke Beijing turut dimanfaatkan Mak cik Fatimah dengan
mempelajari Bahasa Melayu. Usai menunjukkan buku tersebut saya dan rakan-rakan
kembara merakam kenangan dengan bergambar beramai-ramai.
Ketika lensa kamera
saya merakam, Mak cik Fatimah terus berteriak beberapa kali dengan bangganya,
“Mak China! Mak China!” sambil menepuk dadanya.
Pada rakan-rakan yang direzekikan bertemu dengan warga emas ini, kirimkan salam sayang saya buatnya. Mudah-mudahan saya dikurniakan rezeki lagi bertemunya di masjid nan bersejarah ini!
Pada rakan-rakan yang direzekikan bertemu dengan warga emas ini, kirimkan salam sayang saya buatnya. Mudah-mudahan saya dikurniakan rezeki lagi bertemunya di masjid nan bersejarah ini!
Sila lihat foto-foto yang lain. Yang pasti ia meninggalkan memori manis yang sukar dilupakan.
Seorang diri menunggu di ruang luar solat wanita - cuaca sejuk mencengkam tulang. |
Lakonan semula - untuk paparan kolum Jalan-jalan Cari Iman dalam Majalah Anis, tajaan MASholidays. |
Buku log Mak Cik Fatimah Ma. |
Saya dan Marzhatul Syima (Editor Majalah Asuh) bergambar kenangan dengan Mak Cik Fatimah Ma. Kembara ini mendekatkan kami pada kebesaran-Nya. |