“Boleh,
apa salahnya. Aurat dah sempurna ditutup, berstoking tebal pula, sudah boleh
solat saja,” jawab saya kembali kepada si remaja bernama Iman.
Jawapan
saya itu menyakinkan si anak gadis yang tiba-tiba cuak untuk solat. Setelah
betul-betul yakin, akhirnya kami sama-sama solat berjemaah Subuh di satu ruangan
lapang di terminal lapangan terbang antarabangsa Beijing. Peristiwa ini berlaku
pada musim sejuk Disember 2012.
Alhamdulillah,
terdapat sebuah partition di sebelah kaunter tiket penerbangan. Tandas pula
berdekatan, maka kami bergilir-gilir mengambil wuduk dalam suhu sejuk di bawah
paras beku. Namun, satu lagi masalah pula timbul kerana tiada sejadah. Tanpa
segan silu kami hamparkan jaket-jaket tebal kami sebagai hamparan ketika sujud.
Apabila
bermusafir begini, baharu terasa rahmat dan hikmahnya apabila berhijab.
Andainya, pakaian kita itu sudah pun menutup aurat dengan sempurna, kita sudah
boleh terus laksanakan solat di mana-mana. Dalam lain makna, sebaiknya pakaian
kita itu bukan saja patuh syariah tetapi biarlah mesra solat atau ‘Solat Ready’.
Pengalaman
saya sendiri di tanah air, sudah banyak kali berlaku apabila berhenti di
mana-mana masjid, adakalanya telekung disediakan tidak dapat menampung jumlah
jemaah wanita yang ramai terutama pada waktu Maghrib.
Selalu
juga berlaku dalam melaksanakan penggambaran majalah yang berlarutan beberapa
jam tanpa henti, di tempat yang jauh pula dari masjid atau surau, sekali lagi
pakaian sebegini jadi penyelamat diri. Bukankah antara syarat sesuatu pekerjaan
itu akan menjadi ibadah apabila tidak melanggar ibadah-ibadah asas seperti
solat.
Sejujurnya,
Muslimah hari ini sangat beruntung. Kini sudah ada pelbagai busana Muslimah
yang menyediakan aneka pilihan yang patuh syariah. Jadi, tepuk dada, tanyalah
iman dalam membuat pilihan.
Apa
yang penting, prioriti dalam berpakaian haruslah berpaksi kepada keimanan kita
kepada Allah SWT. Memang wanita dan berfesyen tidak dapat dipisahkan, namun ada
pantang larang dan batas-batas yang perlu diketahui Muslimah apabila keluar
dari rumah dan berhadapan dengan lelaki bukan mahram.
Mengambil
keberkatan Maal Hijrah 1436H yang bakal menjelang, Sumbu ANIS bulan ini
mengupas persoalan - Identiti Muslimah
Sejati. Kali ini Bicara Tokoh menampilkan dua orang pendakwah yang disegani
ramai – pendakwah bebas dan Juara Imam Muda Musim Pertama, Ustaz Mohd Asyraf
Ridzuan dan Ustazah Fatimah Syarha Mohd
Nordin.
Sesungguhnya
perintah berhijab bukan suatu penderaan buat para wanita tetapi ia adalah
lambang kasih sayang dan rahmat Allah SWT untuk kita. Ia suruhan yang
terkandung 1001 hikmah; bukan saja penyelamat dari gangguan lelaki yang tidak
baik, ia juga penyelamat umat dari berlakunya zina yang akan merosakkan
keturunan umat manusia. Wallahu’alam.
Salam
kasih sayang daripada kami semua.
- Catatan Editor Anis November 2014 -
Dapatkan Anis isu November 2014. |
No comments:
Post a Comment