October 24, 2014

Part 2: Travelog Beijing - Mencari Lelaki Sejati di Tembok Besar China

6.28 pagi - pesawat MAS370 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, China. Sebaik melangkah keluar, hawa sejuk sudah mula dirasai. Angin sejuk dari Siberia menampar-nampar pipi kami yang terus menggigil kesejukan, biarpun sudah bersedia dengan jaket dan bajpanas.



Kami tidak terus ‘check-in’ hotel sebaliknya terus dibawa ke Summer Palace atau Istana Musim Panas yang didirikan pada zaman Dinasti Qing. Pemandu pelancong kami iaitu David Yang memberitahu, taman diraja yang terbesar di China ini sangat cantik pada musim panas. Ia mekar indah dengan pohon teratai yang berkembang menghiasi Tasik Kunming. Biarpun airnya sudah membeku dan kami hanya menatap deretan pohon-pohon kering di sekelilingnya, ia tetap menghadiahkan panorama menarik. 


“Jika anda berjaya menawan Tembok Besar China, anda adalah lelaki sejati!” Kata-kata popular di kalangan warga China ini menggambarkan pengiktirafan tinggi bagi yang berjaya menawan kubu bersejarah ini.
Melihat binaan hebat yang dibina merentasi laluan sepanjang 8000 km ini, dapat dirasai kehebatan pemerintah China sebelum ini.  
Namun, anda perlu tahu di sebalik kehebatan Tembok Besar China yang dibina daripada jutaan batu-bata, ia  juga dikatakan dibina dari juraian air mata. Ini kerana para zaman dahulu ramai kaum lelaki terpaksa berpisah dengan anak isteri lantaran dikerah menjadi buruh paksa tanpa bayaran upah.  
Teruja dengan kemegahannya, kami tidak peduli dengan cuaca sejuk yang dialami. Rombongan kami yang diikuti kanak-kanak berusia lima tahun hingga warga emas berusia 75 tahun, tetap meneruskan pendakian.  Dalam masa satu jam setengah diberikan, ramai yang telah bergelar wira dan wirawati di Tembok Besar China ini. Syabas diucapkan!


Jika hari kedua, kami melawan arus sejuk untuk menawan Tembok Besar China lain pula ceritanya pada hari ketiga kami di Beijing. Kami terpaksa berjalan sejauh 8 km untuk merentasi Medan Tiananmen yang menyaksikan medan kebangkitan rakyat China. Destinasi bersejarah ini terus bersambung dengan Forbidden City atau Kota Larangan yang menempatkan istana Maharaja China dari pelbagai dinasti.
Saya dan ahli rombongan berjalan masuk sambil mengira berapakah jumlah pintu gerbang yang kami lepasi. Masya-Allah, kesemuanya berjumlah tujuh lapis pintu gerbang sebelum kami benar-benar tiba di kediaman maharaja di hujungnya.
Betapa strategik dan ketatnya pengawalan istana Maharaja China yang mula diasaskan oleh Dinasti Han pada tahun 260 Sebelum Masihi ini.  


Kunjungan di hari terakhir juga amat menarik. 2008 mencatat sejarah bagi negara China yang menganjurkan Sukan Olimpik.  Di celah-celah kota metropolitan yang pesat membangun, stadium ini menjadi kunjungan wajib buat para pengunjung di Beijing.
Dalam keterbatasan masa yang ada, kami bersyukur kerana dihadiahkan pengalaman manis seperti upacara minum teh China yang unik dan tersendiri. Selain itu lawatan ke pusat perusahaan kain sutera, Muzium Jed dan Kristal di Ming Tombs, persembahan akrobatik, perusahaan ‘Burning Cream’ dan ‘Foot Massage’ ala Tibet mendekatkan kami lagi dengan budaya dan gaya hidup warga China di Beijing. 




1. Penerbangan KL-Beijing hanya memakan masa 5 jam sahaja.
2. Waktu di Malaysia dan Beijing adalah sama.
3. Bawa baju dan pakaian yang sesuai untuk musim sejuk. Sarung tangan, mafla atau penutup muka bagi menghadapi angin sejuk.
4. Kasut yang sesuai ketika memanjat Tembok Besar China kerana keadaannya agak licin dan haus.
5. Bawa tisu basah untuk kegunaan istinjak kerana tandas di sini tiada kemudahan paip air.







Pelajar IPTS
“Ini pengalaman pertama saya ke Beijing yang tidak disertai ibu bapa. Maknanya saya jadi ‘ibu bapa’ kepada dua orang adik saya. Di sini saya kagum melihat kehebatan sejarah dan tamadun China terutama di Forbidden City yang dibina begitu kukuh dan strategik.”









 Istana Musim Panas – bandar diraja terbesar di China.

Tasik Kunming menjadi beku - di musim panas dipenuhi teratai yang mekar berkembang.

Tradisi minum teh orang - cara hidangan dan teknik minum teh China memperlihatkan seni budaya China yang begitu halus dan tertib dalam setiap perkara.

Kenangan bergambar di Tembok Besar China.

Saya dan Saadiah dan anak-anaknya, Haris dan Sarah.

Mercu tanda di Medan Tiananmen.

Posing lagi dalam Forbidden City yang begitu luas. Kaki mahu 'cramp' dibuatnya... tapi tetap ceria.

Basikal roda tiga yang akan selalu anda lihat di China.

Hari terakhir berpeluang melawat Stadium Olimpik - dari jauh kelihatan seperti sarang burung. Kompleks sukannya sangat luas dan menjadi kunjungan pelawat.

Suasana di dalam Forbidden City - ada tujuh lapis pintu gerbang seperti ini perlu ditempuhi. Betapa strategiknya pertahanan maharaja Cina. Tempayan-tempayan di situ adalah kawah memasak nasi untuk pekerja-pekerja istana.

Cikgu Airil dan isteri. Seronok timba pengalaman minum teh China.

Mohd Hazeem (di tengah) mengembara bersama dua orang adiknya. Sempoi... gaya orang muda.

Hj Husin (jaket oren) bersama anak menantu dan cucu-cucunya. Tidak kalah walaupun sudah berusia emas.

Bergambar kenangan di tembok besar China. Sepanjang tembok ada jajaran mangga-mangga berkunci yang diletak pasangan kekasih.

Aduh, lembutnya... mungkin itu yang diperkatakan ahli rombongan ini. Cadar yang diperbuat daripada kain sutera tulen memang halus tapi harganya pun boleh tahan. Sediakan duit sahaja.

October 16, 2014

Ukur Iman Di Pakaian Sendiri?

Auntie, kalau pakai macam ni, boleh terus solatkah?”
“Boleh, apa salahnya. Aurat dah sempurna ditutup, berstoking tebal pula, sudah boleh solat saja,” jawab saya kembali kepada si remaja bernama Iman.  
Jawapan saya itu menyakinkan si anak gadis yang tiba-tiba cuak untuk solat. Setelah betul-betul yakin, akhirnya kami sama-sama solat berjemaah Subuh di satu ruangan lapang di terminal lapangan terbang antarabangsa Beijing. Peristiwa ini berlaku pada musim sejuk Disember 2012. 

Alhamdulillah, terdapat sebuah partition di sebelah kaunter tiket penerbangan. Tandas pula berdekatan, maka kami bergilir-gilir mengambil wuduk dalam suhu sejuk di bawah paras beku. Namun, satu lagi masalah pula timbul kerana tiada sejadah. Tanpa segan silu kami hamparkan jaket-jaket tebal kami sebagai hamparan ketika sujud.  

Apabila bermusafir begini, baharu terasa rahmat dan hikmahnya apabila berhijab. Andainya, pakaian kita itu sudah pun menutup aurat dengan sempurna, kita sudah boleh terus laksanakan solat di mana-mana. Dalam lain makna, sebaiknya pakaian kita itu bukan saja patuh syariah tetapi biarlah mesra solat atau ‘Solat Ready’. 

Pengalaman saya sendiri di tanah air, sudah banyak kali berlaku apabila berhenti di mana-mana masjid, adakalanya telekung disediakan tidak dapat menampung jumlah jemaah wanita yang ramai terutama pada waktu Maghrib.  

Selalu juga berlaku dalam melaksanakan penggambaran majalah yang berlarutan beberapa jam tanpa henti, di tempat yang jauh pula dari masjid atau surau, sekali lagi pakaian sebegini jadi penyelamat diri. Bukankah antara syarat sesuatu pekerjaan itu akan menjadi ibadah apabila tidak melanggar ibadah-ibadah asas seperti solat.  

Sejujurnya, Muslimah hari ini sangat beruntung. Kini sudah ada pelbagai busana Muslimah yang menyediakan aneka pilihan yang patuh syariah. Jadi, tepuk dada, tanyalah iman dalam membuat pilihan. 

Apa yang penting, prioriti dalam berpakaian haruslah berpaksi kepada keimanan kita kepada Allah SWT. Memang wanita dan berfesyen tidak dapat dipisahkan, namun ada pantang larang dan batas-batas yang perlu diketahui Muslimah apabila keluar dari rumah dan berhadapan dengan lelaki bukan mahram. 

Mengambil keberkatan Maal Hijrah 1436H yang bakal menjelang, Sumbu ANIS bulan ini mengupas persoalan - Identiti Muslimah Sejati. Kali ini Bicara Tokoh menampilkan dua orang pendakwah yang disegani ramai – pendakwah bebas dan Juara Imam Muda Musim Pertama, Ustaz Mohd Asyraf Ridzuan  dan Ustazah Fatimah Syarha Mohd Nordin.   

Sesungguhnya perintah berhijab bukan suatu penderaan buat para wanita tetapi ia adalah lambang kasih sayang dan rahmat Allah SWT untuk kita. Ia suruhan yang terkandung 1001 hikmah; bukan saja penyelamat dari gangguan lelaki yang tidak baik, ia juga penyelamat umat dari berlakunya zina yang akan merosakkan keturunan umat manusia. Wallahu’alam.

Salam kasih sayang daripada kami semua. 

- Catatan Editor Anis November 2014 - 

Dapatkan Anis isu November 2014.

October 07, 2014

Pelancaran buku Nota Dari Madinah dan Usahawan Akhirat

Petang Jumaat 19 September lalu, saya dan team urusetia pelancaran telah pun berada di sekitar bandar Bangi. Ini membolehkan kami berada awal selepas Subuh 20 September lagi bagi menyambut para tetamu yang menghadiri majlis pelancaran dua buah buku terbaharu Prof MKI, Pn Roza Roslan dan Dato' Zaini Ariff.

Selepas subuh hujan turun mencurah-curah. Masya-Allah, begitu lebat sekali. Namun mengujakan kerana peminat-peminat tegar Prof MKI dari beberapa daerah dari selatan tanah air telah pun tiba untuk menghadiri majlis bersejarah ini. 'Begitu hebat aura Prof MKI ini', fikir saya.

Alhamdulillah, dalam ucapan perasmian majlis ini, Pengerusi dan juga CEO UniKL, Dato' Prof Dr Mazliham amat terharu dengan kedatangan pengunjung-pengunjung ke kampus UniKL Malaysia France Institute (MFI) di Teras Jernang, Bangi.

Katanya, harapannya aura yang dibawa oleh Prof MKI yang mula bertugas di UniKL pada 18.8.2014 lalu, ia akan melimpah ruah kepada semua penuntut-penuntutnya. Sambungnya lagi diharap aura ke-UniKLan' itu bukan saja tampil hebat dalam bidang teknikal, tetapi turut memiliki hubungan yang mantap terhadap Maha Pencipta juga hebat berbakti di tengah masyarakat.

Di akhir majlis ini, saya juga diberi kesempatan untuk menembual beliau yang telah menyaksikan jatuh bangun UniKL yang kini mempunyai kampus-kampus yang menawarkan kemahiran yang bersifat 'hands-on'.

Khusyuk sangat menemuramah dan mendengar kisah beliau, sedar-sedar majlis pelancaran di dewan utama kembali lengang. Peminat-peminat Prof MKI yang beratur panjang pasti tersenyum dapat mendapat motivasi serta buku terbaharu bertandatangan penulis yang mereka sayangi.

Di sini saya paparkan foto-foto menarik di balik tabir majlis pelancaran ini.


Senyuman manis Pn Roza Roslan, Prof MKI dan Dato' Zaini Ariff dalam kesibukan menandatangani buku mereka.

Akhir majlis, semua team urusetia bergambar kenangan.

Petugas di kaunter pendaftaran VIP dan media.

Big Boh - Pn. Suraiya Pauzi (dua dari kiri) Hjh Jalilah Abdullah dan Ustaz Syahrul Zaman Lukman.

Team gagah perkasa di bahagian cenderahati VIP.



Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...