August 10, 2013

Tip Penulisan: Penulis & Blog?

Saya sering menerima emel mahupun panggilan daripada ramai insan menyatakan hasrat hati mereka untuk menjadi kolumnis Majalah Anis. Apabila saya bertanya, "Tuan/Puan ada blog?" Dia menjawab, "Tidak ada!" Malah ada juga menjawab dengan nada yang agak sinis, "Puan, zaman sekarang orang dah tak baca blog. Orang dah beralih kepada Facebook dan lain-lain... ."

Ya, saya akui kebenarannya. Namun blog atau homepage anda ibarat tapak premis perniagaan di mana orang-orang yang mahu membeli akan berkunjung ke situ. Jika anda menjual pakaian misalnya, mereka akan membelek-belek dahulu pakaian yang anda peragakan. Bukan sekadar itu sahaja, bagi pelanggan yang agak teliti dan cerewet mereka akan menilai kualiti kain, harganya dan sebagainya. Apabila sudah berpuas hati baharulah mereka akan bersetuju membeli. Kemungkinan mereka akan menjadi pembeli tetap produk kita itu.

Dalam konteks dunia penulisan, penulisan di blog ia amat penting sekali. Walaupun blog seperti ketinggalan zaman ia tetap ada fungsinya tersendiri. Malah sudah terbukti ramai penulis buku 'bestseller' mencipta nama daripada penulisan mereka di blog.

Antaranya, blog Saifulislam.com oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil yang mencetuskan fenomena apabila buku 'Aku Terima Nikahnya' menjadi buku bestseller. Blog Prof Muhd Kamil Ibrahim iaitu www.muhdkamil.org juga elok dijadikan rujukan kerana beliau mempunyai puluhan ribu pembaca setiap bulan. Terkini beliau sudah menubuhkan universiti maya iaitu UMKI yang memiliki 6000 penuntut. Ternyata penulisan di blog mempunyai signifikan dengan penulisan buku beliau Anekdot Madinah dan Ilmu Kehidupan (bersama 4 penulis lain).  

Bagi penulis-penulis baharu, penulisan di blog menjadi tapak untuk anda menajamkan skil penulisan. Bagi kami para editor (sama ada editor majalah atau suratkhabar) ia jadi jambatan untuk kami menilai gaya penulisan seseorang penulis itu sama ada sesuai dimuatkan dalam majalah atau tidak.

Mana tahu selepas mempunyai himpunan artikel-artikel yang menarik, anda berpeluang diundang untuk menulis di mana-mana ruang.

Kuasai sedikit demi sedikit teknik penulisan ini dan mula berlatih menulis dari sekarang. Jika boleh tambahkan ilmu dengan mengikuti mana-mana kursus penulisan. Jadikan blog anda sebagai jambatan untuk kita berkongsi ilmu dan pengalaman bersama masyarakat. Semoga ia menjadi nilaian di sisi-Nya yang akan menjadi saham kita di dunia dan di akhirat.


 

2 comments:

Tetamu Istimewa said...

Assalamualaikum, Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Saya bersetuju dnegan pandangan ini. Blog boleh dijadikan medium untuk mengasah ketajaman penulisan.

Boleh saya bertanya di sini, adakah keputusan sayembara menulis cerpen Anis sudah diumumkan?

jendelahati said...

Insya-Allah keputusan akan diumumkan selepas hari raya ini. Kami akan siarkan di majalah dan juga FB Majalah Anis. Terima kasih atas keprihatinan tuan.

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...