June 17, 2013

Ya Allah! Ramadan Kian Dekat

Assalam semuanya. Dah agak lama saya tidak update blog ini. Sedar sedar sudah lebih dua purnama  ia dibiar berlalu begitu sahaja. Apa alasan saya. "Mengejar deadline barangkali." Itu alasan yang sudah klise. Mungkin itu kata anda. 

Tanpa disedari kerana asyik memburu 'deadline' saya sudah melepasi bulan Rejab dan kini Syaaban, dan sedikit masa lagi bulan Ramadan kian dekat. Masya-Allah, demikian nikmat masa yang Allah beri... terasa begitu cepat ia berlalu. Masih terasa haruman Ramadan lalu, kini harumannya kembali lagi. Adakah sepanjang setahun itu (dari Ramadan ke Ramadan tahun ini) kita sudah menggunakannya untuk mencapai redha-Nya. Ya Allah .... ingatan untuk diri saya juga. 

Justeru, sempena ketibaan bulan Ramadan yang mulia ini, saya mengajak diri saya dan anda semua sama-sama memperhalusi niat dan amal sepanjang bulan puasa nanti. Saban tahun tanamkan satu azam untuk kita praktikkan pada diri, umpamanya amalan bersedekah.

Untuk mengetahui lebih lanjut kelebihan dan keistimewaan amalan sedekah, tatapi catatan Editor saya untuk isu bulan Julai 2013: Lagi Sedekah Lagi Kaya!



Janji Allah Pada Orang Yang Suka Bersedekah
Dalam satu kisah yang popular, diceritakan Sayidina Ali bin Abi Thalib membeli sebiji buah delima buat penawar isterinya yang tercinta, Sayidatina Fatimah yang jatuh sakit dan sangat ingin memakan buah delima. Dalam perjalanan pulang, beliau bertemu seorang tua yang sedang sakit yang juga sangat ingin memakan buah delima.
Mengingatkan pesan Nabi agar tidak menolak permintaan orang yang memerlukan, akhirnya Sayidina Ali memberikan buah delima tersebut kepada lelaki tua itu.
Sampai di rumah, Sayidina Ali menceritakan segala peristiwa yang berlalu. Di hatinya berharap isterinya memahami. Kata Fatimah, “Wahai suamiku, mengapa engkau bersedih, demi Allah ketika engkau memberikan buah delima itu, aku berasa puas dan lenyap keinginanku kepada buah delima.”
Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu. Rupa-rupanya Salman al-Farisi datang membawa sebuah bekas tertutup seraya berkata, “Aku menghantarnya untukmu dari Allah melalui perantaraan Rasulullah SAW.”
Sayidina Ali membuka penutupnya dan melihat di dalamnya ada sembilan biji delima. Beliau segera bertanya, “Wahai Salman, jika ini memang daripada Allah untukku, pasti jumlahnya sepuluh,” seraya membacakan firman Allah; “Barangsiapa membuat amal yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya.” (Al-An’am 6: 160)

Salman terus tertawa, sambil mengembalikan sebiji buah delima yang ada di tangannya lalu berkata, “Wahai Ali, demi Allah aku hanya sekadar menguji sejauh mana keyakinanmu terhadap firman Allah yang engkau bacakan sebentar tadi.”

Begitu juga kisah Sayidatina Aisyah yang akan memperelokkan harta atau wang yang akan disedekahkan kepada fakir miskin dengan wangi-wangian, semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT.
Beginilah antara suri teladan terbaik daripada insan pilihan Allah yang misi hidup mereka sentiasa ingin memberikan yang terbaik sama ada kepada Allah atau sesama manusia!

Lagi Sedekah Lagi Kaya! – Fokus Utama Anis kali ini dipilih sempena ketibaan bulan Ramadan; iaitu penghulu segala bulan.Bulan yang Allah lipatgandakan segala amal. Bulan mulia yang diriwayatkan Baginda SAW begitu hebat dalam bersedekah dan  diumpamakan seperti angin yang berhembus.
Semoga ketibaan bulan mulia ini kita dapat mempraktikkan salah satu sunnah Baginda SAW ini. Ketahui 12 sebab ‘magic’nya amalan sedekah yang dapat memadam api neraka, menghapuskan dosa-dosa dan menjadi penyebab kita beroleh husnul khatimah. Malah ada pelbagai lagi manfaatnya untuk kita di dunia dan akhirat.

Insya-Allah perkongsian ilmu bersama tiga orang tokoh iaitu Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Liew, En. Abu Bakar Yang dan Prof Dr. Muhd Kamil Ibrahim akan terus memandu kita lebih menghayati ibadah yang dipanggil as-Sadaqah.  Ayuh!   

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...