September 17, 2009

Salam Aidilfitri


Hari ini saya sudah mula bercuti. Insya-Allah malam ini atau pagi Sabtu esok saya dan keluarga akan mula bergerak menyusur Lebuhraya Utara Selatan untuk menyambut Aidilfitri kali ini bersama keluarga saya di Ipoh, Perak.
Seminggu lamanya saya dan warga kerja Galeri Ilmu Sdn Bhd akan bercuti dan meraikan lebaran ini bersama keluarga dan sanak-saudara. Di kesempatan ini izinkan saya memohon kemaafan dari hujung rambut hingga kaki di atas segala salah silap, samada dilakukan dengan sengaja atau di bawah kuasa sedar kerana hakikatnya saya adalah manusia biasa yang tidak sunyi dari melakukan dosa.
Moga Madrasah Ramadan yang baru dilalui ini membasuh dan menjernihkan diri agar kembali pada fitrah yang dikehendaki Allah, Sang Maha Pencipta. Aidilfitri pula disambut dengan rasa syukur pada nikmat anugerah-Nya yang tidak terhingga dengan membaiki hubungan diri sesama manusia setelah hubungan dengan Allah dimantapkan dalam tarbiah Ramadan yang mulia. Semoga bertemu kembali dengan gerak kerja baru hasil tarbiah Ramadan yang berjaya membentuk diri agar kembali suci kepada fitrah. Amin...

Sebelum mengundur diri suka saya mengingatkan diri ini dan berkongsi bersama rakan-rakan semua tentang keberuntungan hidup apabila kita menyambung silaturahim:

1. Dimurahkan rezeki dan diberi kelapangan dalam mencari mencari rezeki:
Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:"Siapa yang mahu dilapangkan rezekinya dan di akhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaklah ia menyambung (tali) silaturahim."

2. Dipanjangkan umur dan mati dalam kebaikan:
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa senang untuk dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya serta dihindarkan dari kematian yang buruk maka hendaklah ia bertakwa kepada Allah dan menyambung silaturahim." (Riwayat Ibnu Abdullah bin Ahmad, al-Bazzar dan al-Tabrani)

3. Dianugerahkan kekayaan harta:
Rasulullah SAW bersabda:"Belajarlah tentang nasab keturunan kamu sehingga kamu dapat menyambung silaturahim. kerana sesungguhnya silaturahim menjadi sebab (timbulnya) kecintaan terhadap keluarga (kerabat dekat), banyaknya harta dan bertambahnya usia." (Riwayat Imam Ahmad, Tirmidzi dan al-Hakim)

4. Mendapat kasih sayang:
Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa bertakwa kepada Tuhannya dan menyambung silaturahim, nescaya dipanjangkan umurnya, dibanyakkan rezekinya dan dicintai keluarganya."
(Riwayat Imam Bukhari)

5. Terhindar dari kesempitan hidup:
Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ketaatan yang paling disegerakan pahalanya adalah silaturahim. Bahkan hingga suatu keluarga yang ahli maksiat pun, harta mereka bisa berkembang dan jumlah mereka bertambah banyak jika mereka saling bersilaturahim. Dan tidaklah ada suatu keluarga yang saling bersilaturahim kemudian mereka memerlukan (kesempitan keperluan hidup)."

6. Terbuka jalan syurga:
Dari Abu Ayub Ansori r.a bahawa orang bertanya kepada Nabi SAW: "Khabarkan kepada aku tentang satu amalan yang memasukkan aku ke dalam syurga." Seorang berkata, "Ada apa dia, ada apa dia?" Rasulullah SAW menjawab, "Apakah dia ada keperluan? Beribadahlah kamu kepada Allah, jangan mempersekutukan-Nya dengan suatu apa pun, dirikan solat, tunaikan zakat dan bersilaturahimlah." (Riwayat Bukhari)

Ini bermakna Nerakalah jawabnya bagi orang yang memutus silaturahim sepertimana disebut dalam hadis baginda, "Tidak masuk Syurga pemutus silaturahim." (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi dari Zubir Muth'sim r.a)

Tegasnya silaturahim sesama manusia ada kaitan langsung dengan hubungan kita sebagai hamba kepada Al-Khaliq iaitu Allah Rabbul Jalil. Menyambung silaturahim bererti kita menghubungkan diri dengan Allah, sebaliknya andai kita memutuskannya bererti kita bakal mendapat bahananya kerana itu bermakna terputusnya hubungan kita dengan Allah.
Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya rahim itu berasal dari ar-Rahman lalu Allah berfirman: "Siapa menyambungmu (rahim) maka Aku menyambungnya (orang yang menyambung silaturahim) dan siapa memutusmu (rahim) maka Aku memutusnya (orang yang memutuskan silaturahim)." (Riwayat Bukhari)

- Petikan dari Fokus Utama Majalah ANIS Oktober 2009 (kini sudah berada di pasaran).

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...