September 12, 2009

Ayam Tangkap & Kopi Telungkup


Rumah Makan Aceh Rayeuk (Besar) menerima kedatangan Tim Media sebaik saja tiba di Banda Aceh.

Tim Media menikmati makan malam di Rumah Makan Harakat Saudara.

Semasa di Aceh, saya menimba satu pengalaman baru iaitu menangkap ayam. Ini mengingatkan kisah saya semasa kecil-kecil dahulu. Kerja-kerja menangkap ayam terutama menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi pasti diserah oleh Aruah Atuk pada kami cucu-cucunya. Maka apalagi saya dan abang-abang saya pasti berlari keliling rumah Atuk kami di Sayong, Kuala Kangsar semata-mata nak kejar ayam. Termengah-mengahlah dan semput nafaslah jugak tapi seronok! Zaman budak-budak apa yang tak seronok. Dan ketika saat bersimpuh menatap hidangan ayam tu lagilah seronok sebab kita yang menangkapnya. Begitulah secebis kenangan menangkap ayam yang masih segar diingatan dan sukar dikikiskan.

Penangan Ayam Tangkap
Di Aceh, kami disuruh tangkap ayam juga tapi tidaklah sampai semput nafas kerana kena berlari keliling kampung. Tangkap, tangkap jugak tapi tangkap daging ayam kampung dara di sebalik daun-daun kari dan beraneka daun herba lain. Ayam tangkap ini merupakan salah satu menu istimewa yang tidak perlu anda lepaskan andainya berkunjung ke Aceh kerana rasanya lain dari ayam goreng biasa. Pengalaman makan di Rumah Makan Aceh Reuyuk (Aceh Besar) dikelilingi sawah padi yang serba menghijau. Angin sawah menghembus begitu nyaman hingga tidak terasa tangan menambah nasi beberapa kali!
Pertama kalinya kami mengenali dan menikmati sajian istimewa Aceh iaitu ayam tangkap, ikan tangkap serta lauk-pauk Aceh yang tidak banyak beza dari segi rasa dan aromanya. Jus buah-buahannya pula begitu pekat sekali, teringat pula semasa di Makkah dulu kerana ketika pulang dari Masjidil Haram saya pasti singgah menikmati air buah yang betul-betul ori! Pengalaman serupa kami nikmati di sini tapi lebih pelbagai kerana ada macam-macam pilihan seperti jus avokado, jus terung belanda, jus jeruk (limau) dan jus semangka (tembikai).


Ayam Tangkap menu istimewa dihasilkan dari ayam dara yang diadun bumbu serta pelbagai daun.

Sajian Aceh tidak banyak bezanya dengan masakan Melayu. Yang pasti ada ialah sos kicap bercili dan emping Melinjo yang gurih (rangup).

Penangan Kopi Telungkup
Sepanjang di Meulaboh, setiap kali melalui Kedai Kopi Ulee Kareng, Herawati petugas Islamic Relief Indonesia (IRI)pasti akan berkata kepada saya, "Nanti sebelum pulang ke Banda Aceh, kita akan singgah di sini untuk merasai keenakan aroma kopi Ulee Kareng. Kak Shimah harus merasainya kerana ia lain dari kopi-kopi biasa..."
Namun hasrat yang tertanam di hati tidak juga kesampaian dek hambatan tugasan yang menguliti diri sepanjang dua hari di Meulaboh. Cuma petang terakhir tatkala Tim Media dibawa menghayati panorama senja di Pantai Batu Putih, Meulaboh kami ternampak papan tanda 'Kopi Telungkup' di sebuah Kedai Kopi.
Kami berhenti sejenak bagi merasai satu pengalaman baru. Benar kata orang, jauh perjalanan luas pengalaman. Setiap bangsa punya adat resam yang tersendiri, begitulah yang kami alami sepanjang berkelana di bumi Aceh yang dilingkungi pelbagai kaum, adat dan budaya.

Meraih pengalaman baru menghirup kopi telungkup berlatar panorama senja di Pantai Batu Putih, Meulaboh.
Kopi Telungkup ini dihidang secara terbalik. Nak minum ada kaedah tersendiri dan kalau tak pandai memang akan gagal seperti saya. (Sebab tu saya beralih pada minum air kelapa pula). Caranya tiup straw dengan kuat. Udara yang terbentuk dari straw tadi akan menolak air kopi dari cawan dan air kopi akan melimpah keluar sedikit demi sedikit ke dalam piring. Selepas itu anda bolehlah menghirup air kopi tu perlahan-lahan. Memang menguji kesabaran!
Penangan terkena Kopi Telungkup, malam terakhir di Banda Aceh, Tim Media berusaha untuk mendapatkan Kopi Ulee Kareng seperti yang disaran oleh Hera. Oleh kerana banyak kedai yang sudah ditutup, kami menerjah sebuah Kedai Kopi yang padat dikunjungi warga Aceh.

Tim Media dan petugas IRI diraikan jamuan makan tengahari di rumah Pak Keuchik (ketua kampung) Suak Pandan.

Malam di Aceh memang cukup meriah, ia dibuka semula selepas solat Maghrib. Sepanjang jalan di Banda Aceh kami melihat banyak warung-warung kecil menjual nasi goreng bebek (itik). Situasi yang terjadi hasil keamanan berkat rahmat di sebalik kejadian tsunami apabila GAM dan TNI mengadakan perjanjian perdamaian. Ini diakui oleh kebanyakan penduduk Aceh. "Bu, kalau dahulu malam-malam begini semua kedai akan tutup. Waktu begini kami enggak bisa keluar lagi kerana tembak-menembak boleh saja berlaku. Jika di bandar suasana tegang agak kurang berlaku tetapi di kampung-kampung selalu berlaku," ujar Hidayat, pemuda Aceh yang rela berkhidmat sebagai sukarelawan Islamic Relief Indonesia. Dialah Pak Supir kami selain Pak Azwar yang sabar membawa saya dan teman-teman media berkelana jauh ke Meulaboh dan Calang.
Sambil menunggu tuan kedai menimbang kopi, kami sempat lagi menikmati secawan kopi Ulee Kareng bersama Emping Melinjo yang gurih dari Pidie. (Menurut teman saya emping Melinjo dari Aceh cukup rangup dan lain rasanya dari tanahair atau di mana-mana daerah di Indonesia). Alhamdulillah Kopi Ulee Kareng yang dikatakan cukup istimewa ini berjaya kami dapatkan dan dibawa pulang sebagai ole-oleh buat teman-teman di tanahair.
Nanggroe Aceh Darussalam sesungguhnya kaya dengan latar sejarah yang hebat, pantai indah yang memukau pandangan, masyakarat peramah yang dilingkungi adat budaya masyarakat serumpun dan tidak banyak bezanya dengan suasana di tanahair. Semua kelebihan yang dimiliki bumi Aceh ditambah pula dengan sajian makanan yang enak dan unik. Ini semua boleh dijadikan pemangkin bagi menggerakkan aktiviti pelancongan yang cukup menarik.

Kenangan di puncak Gunung Kute, (dalam perjalanan balik dari Calang ke Banda Aceh)kami sempat singgah minum sambil menikmati panorama cantik Lautan Hindi yang terbentang luas di sepanjang Pantai Barat Aceh.

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...