August 22, 2014

Panas Lagi!!!




Isu Anis terkini. Masih panas lagi!!! Cepat dapatkannya di pasaran.


 KANDUNGAN MENARIK ANIS SEPTEMBER 2014:

1.      Sumbu ANIS ms: 17
Apabila Anak Ketagih Gajet!
Kemunculan gajet dilihat menjadi trend masyarakat. Dengan tawaran pelbagai aplikasi menarik di samping harganya yang semakin murah, semakin ramai yang mampu memilikinya. Namun, perlu diingat kehadiran gajet-gajet ini turut membawa kesan sampingannya, sehingga ia boleh membantutkan perkembangan anak-anak terutamanya yang masih berada di peringkat awal. Justeru, perlu disedari,  seandainya gajet-gajet yang digunakan anak-anak dengan panduan dan bimbingan yang betul oleh kita para ibu bapa, insya-Allah ia boleh menjadi wasilah yang membawa kita kepada ‘highway’ ke syurga.
SUMBU ANIS mengangkat tema ini untuk sama-sama dikupas dan diperhalusi. Agar matlamat murni kita untuk melahirkan anak-anak generasi soleh dan solehah tidak akan terbantut dek ledakan kemajuan dunia digital! Ikuti ulasannya dalam Sumbu ANIS bulan ini oleh Ustazah Maznah Daud.

2.      Bicara Tokoh ms: 22
Bukan sesuatu yang menghairankan apabila melihat anak-anak di bawah umur sekarang ini membawa gajet ke mana-mana sahaja. Bukan setakat gajet, kemudahan melayari internet juga disediakan agar anak-anak mudah untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan.
Jika anak-anak ini memiliki gajet-gajet berinternet tanpa pengawasan ibu bapa, dikhuatiri ia akan membawa kesan buruk kepada dirinya. Bagaimana untuk meminimumkan kesan buruk penggunaan gajet ini? Tuan Fazrul Ismail, Pengarah Eksekutif, Akademi Sinergi Ikhlas akan mengupas isu ini.

3.      Personaliti ANIS ms: 32
Teknologi Dekatkan Ustazah Isfadiah Dengan Anak-Anak
“Abi dan Umi (Ustaz Muhidin dan Ustazah Isfadiah) yang tetapkan masa untuk bermain gajet. Kalau hendak mencari maklumat pun kadang-kadang Umi berada di sebelah untuk memantaunya. Umi amat tegas dalam bersosial di media sosial. Kalau mahu post sesuatu dalam facebook, perlu yang bermanfaat sahaja. Dahulu, Ummi pernah menghukum adik kerana post sesuatu sehingga membawa pergaduhan antara dia dengan kawannya. Selepas itu, Umi menghukumnya dengan tidak membenarkannya membuka facebook selama sebulan.” Itu adalah komen Faizatul Wafa’ (anak sulung kepada Ustazah Isfadiah). Nak tahu lebih lanjut tentang panduan dalam menggunakan teknologi komunikasi terutamanya di kalangan anak-anak dan keluarga amnya, ketahuinya dalam ruangan Personaliti ANIS pada muka surat 32.

4.      Kamar Syariah ms: 10
Perceraian: Apakah hak-hak isteri?
Sepasang suami isteri telah berkahwin selama sepuluh tahun dan dikurniakan lima orang anak. Si suami sepanjang hidup dengan isterinya kerap kali memukul isterinya hingga cedera. Nafkah pula sering diabaikan walaupun suami mempunyai pendapatan yang banyak. Suami sentiasa pulang lewat dan menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Si isteri tidak lagi tahan tinggal bersama suaminya dan sering kali mengalami tekanan mental.
Apa tindakan yang sepatutnya diambil oleh si isteri?

5.      Hai Darling! ms: 30
Gajet: Lelaki VS Wanita
The App Store, syarikat yang menyediakan aplikasi melalui telefon jenama Apple, pernah membuat kajian terhadap 275,000 pengguna, didapati orang lelaki banyak memuat turun aplikasi sukan dan isi kandungan mengenai automotif. Wanita pula lebih berminat kepada aplikasi kalatog beli belah dan yang berkaitan dengannya. Sesungguhnya lelaki dan wanita mempunyai minat yang berlainan dalam menggunakan aplikasi teknologi komunikasi. Malah kanak-kanak juga mempunyai kecenderungannya yang tersediri. Oleh itu, kita perlu tahu bagaimana untuk mengatasi masalah ini. Dapatkan tip yang dikongsikan oleh Pak Utih.
  
6.      Solat Wanita ms: 60
Mengerti akan 8 Maksud Doa Solatmu
Solat ertinya doa. Dalam solat banyak tempat kita berdoa. Seawal solat hingga akhir solat, pelbagai doa dibaca. Namun, sejauh mana kita mengerti akan maksudnya. Atau hanya digerakkan pada bibir tanpa dihayati oleh qalbi?
Doa antara dua sujud, apakah kita faham maksudnya? Adakah kita menghayatinya? Sudahkah kita laksanakan selepasnya? Hayati lapan maksud doa duduk antara dua sujud dalam ruangan Solat Wanita.

7.Tanya Doktor ms: 64
Panadol & Paracetamol: Racun @ Ubat?
Paracetamol adalah ubat demam yang biasa dijual secara meluas di pasaran sama ada boleh dibeli dari farmasi, kedai runcit, toko jamu, atau diberikan oleh doktor di klinik. Panadol, paracetamol dan acetaminophen adalah ubat yang sama, berfungsi untuk menurunkan suhu badan individu yang demam dan mengurangkan rasa kesakitan pada tubuh. Adakah ia berbahaya dan berapakah dos yang dibenarkan? Ketahui ulasannya dalam ruangan Tanya Doktor oleh Dr Zubaidi Ahmad.

8. Q&A Tauhid ms: 66
Hukum Pagar Rumah
“Kami akan berpindah ke rumah baru di sebuah taman perumahan berdekatan dengan tempat tinggal ibu mertua saya tidak lama lagi. Minggu lepas semasa saya menziarahi ibu mertua, beliau mencadangkan agar saya memagar rumah kami dengan menggunakan khidmat seorang bomoh, sebelum berpindah masuk ke rumah tersebut. Alasan beliau ialah untuk menghindarkan dari gangguan jin dan syaitan. Saya agak keliru dengan cadangan tersebut dan ingin memohon penjelasan daripada ustazah bagaimana cara memagar rumah menurut pandangan Islam.” Ketahui jawapannya dalam ruangan Q&A Tauhid.






July 10, 2014

Di Sebalik Tabir Penggambaran Anis Julai 2014

Ikuti di sebalik tabir penggambaran Anis Julai 2014 ini yang memaparkan Ustazah Sharifah Khasif & Siti Nordiana yang dijalankan di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara. Terima kasih kami ucapkan kepada pengurusan masjid ini yang sudi memberikan kerjasama buat kesekian kali.

Demi menghidupkan aura Ramadan, Team Anis sanggup mendaki suasana perbukitan di sekitar masjid ini. Walaupun cuaca panas bahang mulai dirasai akibat fenomena El Nino, tepat jam 9.00 pagi kesemuanya sudah berkumpul di laman masjid. Alhamdulillah, penggambaran berjaya dihabiskan menjelang waktu Zuhur. Terasa damai menyinggah hati mendengar laungan azan, seolah-olah bumi tandus basah disirami air hujan. Ternyata sebaik kami meninggalkan perkarangan masjid ini, hujan benar-benar turun membasahi kawasan persekitaran. Subhanallah!

Semoga aura Ramadan yang masih berbaki memberi kita peluang untuk memecut selaju-lajunya dan semaksimum tenaga bagi meraih keredhaan Ilahi. Ingatlah, inilah satu-satunya masa Allah memberi kita peluang dengan dipasung syaitan agar mudah kita menundukkan nafsu yang liar dan sukar dijinakkan. Bak kata penghias kulit Anis bulan ini iaitu Ustazah Sharifah Khasif. "Kadang-kadang kebaikan itu bersifat memaksa. Oleh itu paksa diri kita untuk membaca al-Quran," ujar Qariah Antarabangsa yang giat melatih anak-anak muda untuk mendalami al-Quran seperti dirinya.

Dapatkan Anis Julai edisi Ramadan yang masih berada di pasaran.

http://www.youtube.com/watch?v=bBVSubnZTp0

July 01, 2014

Ramadan 1435 H – Apa ‘Target’ Kita?



Ramadan datang lagi – bersama jutaan rahmat dan kasih sayang Allah untuk hamba-hamba-Nya. Berbanding amalan-amalan lain berbentuk perintah berbuat seperti solat, zakat dan haji, puasa pula merupakan perintah yang mengkehendaki kita meninggalkan segala apa yang dilarang Allah.
Bermula dari niat puasa kala waktu sahur sehingga waktu berbuka, kita bukan sahaja dilatih menahan diri daripada makan minum, kita juga disuruh meninggalkan segala perbuatan-perbuatan keji yang Allah larang kerana ia akan mengurangkan ‘indeks pahala’ atau kualiti puasa di sisi Allah. Allah Maha Hebat kerana telah mengatur suatu medan ‘training’ yang disusun indah bagi melahirkan hamba-hamba yang bertakwa. 

Namun perlu kita ingat-mengingati, menggapai puasa ‘high class’ di sisi Allah bergantung kepada sejauh mana kefahaman kita dalam menyambut Ramadan. Adakah ia seperti tetamu istimewa yang perlu kita raikan sungguh-sungguh atau umpama tetamu ‘biasa-biasa’ yang hanya dipandang sebelah mata? Oleh itu mari perbaharui azam agar Ramadan kali ini kita sambut dengan sepenuh jiwa. Mana tahu mungkin inikah Ramadan terakhir kita.

Kepada para wanita bergelar ibu, usah bersedih hati andai tugasan hakikimu dalam mengurus rumah tangga dan melayan telatah anak-anak tidak pernah berkesudahan. Walaupun mungkin  ibadahmu tidak sekencang kaum lelaki, namun ingatlah Islam tidak menzalimi. Dalam Islam,  ibadah bukan sahaja dalam betuk ritual seperti solat dan zikir, tetapi apa jua pekerjaan baik yang kita lakukan tetap dikira sebagai ibadah andainya dilakukan dengan penuh ikhlas.  

Firman Allah SWT: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akanmembalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (An-Nahl 16: 97)

Sempena bulan Ramadan ini, ANIS terpanggil untuk menjawab resah hati para wanita sekalian yang tersepit dalam dilema. Segalanya akan terjawab dalam kolum SUMBU ANIS bertajuk Puasa Seorang Wanita: Antara Pahala @ Tanggungjawab? 

Buat para suri rumah dan wanita berkerjaya ada tip-tip khusus dititipkan Ustazah Maznah Daud bagaimana cara menghidupkan amalan puasa. Manakala Bicara Tokoh menemubual Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki iaitu Penasihat Syariah, Brainy Brunch International Montessori dan juga pendakwah yang menyarankan para wanita merancang masa sebaik-baiknya demi mencapai target sebenar puasa terbilang di sisi Allah.   

Untuk menghidupkan roh Ramadan, banyak lagi artikel-artikel menarik yang boleh kita sama-sama hayati. Antaranya titipan kolum Bersamamu Di Firdaus (Prof Muhd Kamil Ibrahim), Warkah Buat ANIS (Roza Roslan), Hasanah (Zakaria Sungib), Solat Wanita (Shahrul Zaman Lukman), Sketsa Rumah Tangga (Haji Badrul Hisham), Kalimat Cinta (Dr. Nik Yusri Musa) dan banyak lagi. Tak lupa juga kami kepilkan tip diet sihat ketika Ramadan sebagai ulang kaji bersama. 

Jangan lupa ajak suami dan anak-anak mencapai target puasa sebenar dalam Poster Adab-adab dalam bulan Ramadan serta Petua Khatam Quran 30 Hari. Mudah-mudahan di akhir Ramadan ini kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertakwa. Amin... .

 
Wajah Anis terbaharu. Jangan lupa dapatkan di pasaran sekarang!




March 06, 2014

Cahayamata Baharu!


Alhamdulillah, dalam kesibukan saya masih dikurniakan kudrat untuk menghasilkan buku comel ini. Himpunan 40 Kisah Ilmuwan Islam saya kutip dari pelbagai sumber rujukan dan diolah sesuai untuk pembacaan kanak-kanak berusia tujuh hingga 15 tahun.

Bak kata peribahasa, 'kecil-kecil cili api' begitulah diibaratkan nawaitu yang menggunung tinggi yang saya terapkan sewaktu menulis buku kecil ini:

1. Mengenalkan kepada pembaca kanak-kanak khususnya siapakah golongan ilmuwan Islam yang telah mengharumkan empayar Islam suatu ketika dahulu. Sudahkah mereka mengenali siapa Ibnu Sina, Ibnu Yunus, Daud al-Antaki, Az-Zahrawi, Al-Biruni, Zakaria al-Qazwini dan Ad-Dumairi, dan tahukan mereka bagaimana ilmuwan Islam ini mencipta kejayaan dengan penemuan (inovation) yang sunggu luar biasa pada zaman kegemilangan mereka.

2. Menjadikan tokoh ini sebagai ikon dan inspirasi dalam menggapai cita-cita tinggi. Tidak ada yang mustahil di dunia ini bagi yang mahu berjaya. Kisah-kisah suka duka dan pahit maung adalah asam garam para ilmuwan dahulu dalam mencari ilmu. Bagaimana dengan kita?

3. Menerapkan nilai-nilai murni yang menghiasi peribadi tokoh ilmuwan Islam seperti menuntut ilmu kerana Allah, menghormati ibu bapa, berbakti kepada sesama insan, murah hati dengan menolong orang, ikhlas menuntut ilmu tanpa mengharapkan ganjaran dan balasan dan banyak lagi.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut kehebatan tujuh tokoh ini layari Facebook Himpunan 40 Kisah Ilmuwan Islam


February 19, 2014

Tip Penulisan: Hubungan Penulis & Pembaca?




Penulis yang baik selalu meletakkan dirinya sebagai pembaca. Jadi berusahalah memahami apa kehendak pembaca. Misalnya, penggunaan bahasa yang mudah dan 'catchy', artikel yang ringkas dihiasi warna-warni dalam reka letak juga memainkan faktor utama pembaca terus melekat pada bahan bacaan tersebut.

Tiba-tiba hari ini ilham datang untuk berkongsi tip penulisan ini lantas saya terus 'post' di status Facebook saya. Saya bukanlah seorang penulis hebat yang layak hendak memberi tip itu dan ini - cuma peluang diberi Allah menekuni bidang penerbitan, sedikit sebanyak pengalaman itu boleh saya kongsika di sini.

Apa kaitan penulis dan pembaca? Seorang penulis sama ada buku, majalah atau mana-mana media sekalipun memerlukan pembaca untuk menghayati apa yang ditulis. Untuk menjadi seorang penulis yang baik, dia perlu letakkan dirinya sebagai seorang pembaca terlebih dahulu. Apa yang anda suka baca pada sesebuah karya atau artikel, maka itulah yang anda perlu terapkan ketika menulis untuk ditatap pembaca lain. Teorinya mudahkan?

Itu saja perkongsian kali ini. Sebenarnya banyak lagi tip-tip penulisan yang ingin saya kongsikan, selalunya ia terbit apabila ditanya oleh rakan-rakan atau sesiapa yang saya temui mengenai bidang penulisan. Doakan saya terus diberi ilham dan dapat mengumpul 101 tip penulisan yang boleh membantu insan-insan lain menulis. Yes, everybody can write!

Jika anda punya persoalan, emelkan kepada saya: shimahabdulrahman@gmail.com

February 03, 2014

Apa Yang Menarik Dalam ANIS Februari 2014?


Pejam celik pejam celik kini sudah masuk bulan Februari 2014. Sekejap sahaja masa berlalu meninggalkan kita. Oleh kerana sudah lama tidak 'up date' blog ini saya copy-paste artikel-artikel menarik dalam ANIS Februari 2014 ini. Isu Januari 2014 bagaimana pula, ops tertinggallah pulak... Apapun selamat membaca dan semoga kita dapat beramal bersama.
Sumbu ANIS: “Aku Mahu Cantik!”
Apabila ditanya kepada kita, “Siapakah wanita yang paling cantik di dunia?” Sering kali yang tergambar di fikiran kita ialah wanita yang berkulit putih mulus, rambut perang dan ikal mayang, pipi pauh dilayang, pinggang ramping bak kerengga, berbaju seksi serta memperlihatkan auratnya yang wajib ditutupi – seperti mana kecantikan yang digembar-gemburkan media berorientasikan Barat. Jika itulah definisi sebenar mengenai kecantikan – ramai wanita pasti dihimpit rasa sedih bercampur malang kerana tidak semua bernasib baik dilahirkan cantik dan jelita. Soalnya, di mana letak kecantikan sebenar dan hakiki bagi seorang wanita? Kecantikan itu sangat relatif, setiap orang berlainan pandangan, maka untuk mengetahui jawapan paling tepat mari kita semak sama ada pandangan kita menepati pandangan Allah dan Rasul-Nya. Ketahui juga sejauh mana had untuk berhias dan apakah larang-larangannya yang dikupas  oleh Ustazah Maznah Daud.
Bicara Tokoh : Suburkan ‘Cantik’ Dalam Rumah Tangga
Manusia merupakan ciptaan Allah yang sempurna dan dijadikan sebagai sebaik-baik kejadian. Seandainya kita dilahirkan kurang sempurna di sudut kecantikan diri, kita tidak sewajarnya putus asa malah sepatutnya kita harus bersyukur.
“Wajah seseorang itu tidak boleh diubah, tetapi ingat kecantikan dalaman iaitu akhlak diri boleh diubah,” tegas Dato’ Ustaz Zawawi Yusoh. 
Mengupas lanjut erti sebenar kecantikan seorang wanita dari perspektif Islam, menurut beliau kecantikan hakiki bagi seorang wanita itu terletak pada kecantikan pada akal, hati dan nafsunya. Ikuti juga kupasan dari Pendakwah dan Perunding Motivasi, Puan Noor Laila Aniza Zakaria berkenaan cantik dalam rumah tangga sempena Forum ANIS ‘Menjengah Kecantikan Hakiki’.
Tinjauan Eksklusif: Cantik Di Mata, Cantik Di Hati
Majalah ANIS Februari juga secara eksklusifnya menghuraikan isu cantik secara mendalam yang dikupas oleh panel-panel Seminar Penuaan Kulit: Terapi Dalaman dan Luaran anjuran Pusat Penyelidikan Rehabilatasi Komuniti dan Penuaan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Panel-panel yang terlibat adalah Ustazah Norhafizah Musa yang menghuraikan apa itu cantik, apakah situasi yang menyebabkan wanita tidak cantik dan apakah penawar untuk cantik. Panel lain ialah Pensyarah di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Arimi Fitri Mat Ludin dan Dr. Noor Zalmy Azizan, Pakar Kulit Hospital Kuala Lumpur yang turut menunjukkan beberapa senaman yang boleh dilakukan oleh golongan wanita khususnya sama ada di tempat kerja atau di rumah dan panduan untuk mendapat kulit yang sihat dan cantik. Dapatkan juga rahsia awet muda yang dikongsikan oleh Dato’ Dr. Sarimah Ahmad.
Personaliti ANIS: Gadis Geologi dan Ratu Di Dapur
Kesibukannya bertugas sebagai pegawai geologi di sebuah syarikat minyak dan gas di ibu kota tidak pernah mematikan minatnya dalam bidang memasak. Malah, beliau sentiasa bersemangat mencuba pelbagai masakan di samping mengasah tajam kemahirannya dalam bidang kulinari ini. Walaupun tidak pernah mengikuti pendidikan formal dalam bidang kulinari, namun kemenangannya sebagai juara MasterChef Malaysia musim kedua seolah-olah memberi petunjuk bahawa kemahiran dan bakatnya dalam masak-memasak ini bukan calang-calang sekali gus menyuntik semangatnya untuk terus beraksi di dapur. Ikuti cerita terkini Izyan Hani Mohd Izham dalam Personaliti ANIS. 
Asy-Syifa’: Harapan Untuk Pesakit Autisma
Buat masa ini, tiada rawatan tunggal yang mampu merawat autisma. Rawatan selalunya memerlukan beberapa jenis rawatan yang diolah mengikut keperluan setiap kanak-kanak autisma. Objektif utama rawatan adalah untuk mengurangkan tekanan dalam keluarga, meningkatkan kualiti hidup pesakit dan melatih pesakit untuk mampu berdikari dalam hampir semua aspek kehidupan. Ketahui ayat-ayat al-Quran yang boleh diamalkan untuk merawat masalah ini dan tip-tip kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisma yang dikongsikan oleh Hj. Lokman Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al-Hidayah. 
Hai Darling!: Suami Tak Perasan Isterinya Cantik
Sebelum pergi ke jemputan majlis perkahwinan, Mariam telah mengenakan tudung baru yang beropol-ropol campuran tiga warna yang amat sepadan dengan kebarungnya. Diserikan lagi dengan kerongsang bujur berwarna-warni sedondon dengan warna utama pakaiannya. Ketika berada dalam kereta, dia berharap suaminya perasan akan tudung baru tersebut lalu memujinya. Malangnya si suami langsung tidak perasan yang Mariam memakai tudung baru apatah lagi memujinya. Kenapa ini terjadi? Bagaimanakah caranya untuk seorang isteri mendapat pujian daripada suaminya? Ketahui jawapannya yang dikongsikan oleh Pak Utih dalam ruangan Hai Darling!
Tackle Remaja: Terima Anak Seadanya
“Saya pernah memasukkan anak-anak saya ke program motivasi yang doktor jalankan. Semuanya berjaya kecuali seorang, iaitu anak yang ketiga. Anak yang pertama, kini sudah menjadi seorang doktor perubatan. Anak kedua dan keempat masing-masing kini sedang menuntut di universiti. Cuma anak lelaki yang ketiga sahaja kurang menjadi. Sebenarnya doktor, dulu saya tidak faham. Sekarang baru saya faham kenapa dia tidak cemerlang dalam pelajarannya. Rupanya, Allah SWT menganugerahkan saya seorang anak khusus untuk bantu saya ketika susah seperti sekarang ini.” Dapatkan panduan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang dikongsikan dalam ruangan Tackle Remaja oleh Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad.
 
Imej Muslimah: Bijaksana Memilih Tudung
Sekarang ini, ada banyak fesyen tudung di jual dalam pasaran. Variasi tudung bermacam warna menarik turut dipelbagaikan pilihan mengikut cara penggayaan, corak serta jenis fabrik yang cantik-cantik. Harga tudung pula tersedia mengikut kesesuaian tahap kemampuan pembeli.
Pada ketika inilah, seorang wanita perlu membuat pilihan dengan bijaksana.  Sama ada setiap helai tudung dibeli itu benar-benar mendatangkan manfaat baik kepada dirinya. Penilaian bukan sahaja pada kesempurnaan menutup aurat dan tidak membazir (bila harga tudung terlalu mahal) tetapi perlu dihalusi maksud imej diri tersirat apabila menggayakannya (bagaimana pandangan orang sekeliling apabila memakai tudung tersebut). Ketahui kategori-kategori tudung yang ada di pasaran dan kupasannya oleh Suraya Daud, Perunding Imej, SD Image. 
Sirih Junjung: Berhiaslah, Ia Menarik Jodoh
Anjuran berhias di dalam sunnah berbentuk umum, untuk lelaki dan wanita juga. Daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW, “Sesungguhnya seseorang menyukai pakaiannya bagus dan sandalnya bagus.” Baginda menambah, “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah yang menyukai keindahan.” (Riwayat Muslim). Apakah contoh perhiasan Wanita Generasi Terbaik? Dapatkan ulasannya oleh Fatimah Syarha Mohd Nordin.

December 23, 2013

Bengkel Filem Pendek

Pada 14 Disember lalu, saya mengikuti Bengkel Pengarahan & Editing Filem Pendek bersama Tn. Zabidi Mohamed, penulis skrip yang prolifik. Bengkel sehari anjuran Galeri Ilmu Media Group ini dihadiri lebih kurang 30 orang peserta dari seluruh tanah air. Bengkel ini dibahagikan kepada tiga segmen - Pengenalan, Pengarahan Filem dan akhir sekali Penyuntingan.
Antara perkara menarik yang ingin kongsikan di sini apabila Tn Zabidi Mohamed mengajukan soalan, "How short is a short film?" atau sependek mana sesebuah filem pendek itu. Katanya semakin pendek sesebuah filem pendek ia semakin menarik dan dapat menarik perhatian audien yang menontonnya.
Penonton lazimnya tidak mampu menonton dengan lebih lama, bagaimana pun ia bergantung kepada keadaan. Sesetengah peraduan mensyaratkan filem pendek dengan kadar masa yang ditetapkan.
Pada bengkel kali ini, Tn Zabidi turut memperkenalkan dua orang pengarah iaitu Fairuz (Pengarah filem DOMPET) dan Latif Eidrusi (dari Singapura).
Kedua-dua pengarah muda ini turut berkongsi pengalamannya suka duka dalam menghasilkan skrip sehingga terhasilnya filem pendek mereka. Manakala Saudara Iwan Ghazali, novelis GIMG berkongsi tip-tip dalam menyunting karya yang telah dihasilkan.
Walaupun bengkel ini dijalankan sehari suntuk, ia memberi impak maksimum ke atas diri saya dan para peserta yang lain. Semoga selepas ini saya berhasil menghasilkan sebuah filem pendek yang patuh syariah.
Wajah-wajah keriangan para peserta Bengkel Filem Pendek yang diadakan di Masjid al-Ghufran, Pinggir TTDI.

November 02, 2013

Wajah Baharu Anis

23 Oktober 2013:


Dua hari yang lalu, saya berkesempatan menghadiri majlis sidang media Karnival Jom Pindah yang diadakan di Restoran Lengkuas, Mutiara Damansara. Majlisnya bermula jam 10 pagi. Oleh kerana lokasinya berdekatan dengan ofis Galeri Ilmu Media Group di Seksyen 8, Kota Damansara, saya dan jurufoto antara yang awal hadir di situ.

Mendengar penerangan yang diberikan, saya dapati Program Karnival Jom Pindah anjuran Masjid Tabung Haji Kelana Jaya dan Majalah I, Karangkraf ini yang bakal diadakan pada 3-5 November amat menarik. Pelbagai program disusun atur bagi menggalak masyarakat mendekati masjid sekali gus memberi pengisian ilmu berkaitan Maal Hijrah 1435H yang bakal disambut tidak lama lagi.

Sayang ... tiada wartawan lain yang hadir - hanya dari pihak Majalah I sendiri, Majalah Jom dan saya mewakili Majalah Anis. Apakah kerana ia sebuah program keagamaan, maka wartawan-wartawan lain tidak tertarik untuk hadir ke sidang medianya. Kalau sidang media pelancaran produk baharu atau hadir di situ pelakon atau selebriti yang sedang dilanda gosip panas, saya pasti ramai wartawan yang akan membanjirinya.

Maaf ... itulah realitinya. Dan kalau pun ada ulasan mengenai program tersebut pasti tidak segah atau sebanyak mana lembaran yang diperuntukkan. Mungkin sesuatu yang bersifat 'agama' tidak bersifat komersial. Insya-Allah bagi pihak kami, akan cuba memperuntukkan diri untuk hadir dan membuat liputan demi menyambungkan wacana ilmu ke ke khalayak masyarakat.

Baiklah saya tinggalkan topik ini dahulu. Pada akhir majlis tersebut saya berkesempatan berbual-bual dengan Editor I yang baharu iaitu Sarina Md Som. Banyak juga topik yang diperbincangkan apabila bertemu secara bertentang mata begini. Seringkali saya dapati majlis-majlis sebeginilah memberi peluang sesama kami pengamal media untuk bertemu dan bertanya khabar antara satu sama lain. Syukur zaman sekarang ini kita dilimpahi nikmat kemudahan teknologi - FB, Twitter, Wastup dan sebagainya lagi yang menjadikan kita terus dapat 'keep in touch' dengan rakan-rakan dan sanak saudara, biarpun jaraknya beribu-ribu batu.

Ketika sedang makan-makan, Puan Sarina sempat memberi komennya mengenai Majalah Anis, "Anis sekarang semakin cantik... ." "Alhamdulillah, Majalah I pun apa kurangnya," ucap saya kembali. Sekurang-kurangnya perubahan yang dilaksanakan Team Editorial Majalah Anis terkesan kepada masyarakat. Tapi jauh di sudut hati saya berharap semoga dengan perubahan ini Anis akan lebih terus sukses dan dapat terus menembus pasaran tanah air.

Semoga ia terus menjadi majalah kesayangan kaum wanita dan dapat menarik golongan muda-mudi, khususnya remaja yang bakal mendirikan rumah tangga. Semoga Anis terus menjadi teman akrab buat anda semua dan seisi keluarga. Dan yang lebih penting daripada itu semua - semoga ia menjadi amal jariah dan saham berpanjangan buat kami warga yang berada di belakang tabir penerbitannya. Amin.

Sebelum mengundurkan diri, saya pamerkan cover wajah baharu Anis yang bermula isu Ogos lalu. Apa pula komen anda, jika anda sudi berkongsi sila emelkan kepada saya: shimahabdulrahman@gmail.com

Anis isu Ogos 2013

Anis isu September 2013

Anis isu Oktober 2013

Anis isu November 2013





September 12, 2013

Siapakah Pemenang Peraduan JAWAB & CIPTA ANIS MASholidays?

Minggu ini Team Anis mulai dilanda kesibukan. Bukan sahaja kerana deadline majalah baharu yang bakal tiba tetapi untuk membuat persediaan bagi satu majlis penyampaian hadiah bagi peraduan yang dianjurkan oleh Majalah Anis sepanjang tahun 2012 dan 2013 iaitu:
1. Sayembara Cerpen Anis Jun 2012/Mei 2013
2. Peraduan JAWAB & CIPTA ANIS MASholidays yang berlangsung mulai Februari hingga Mei 2013. 

Peraduan yang kedua ini mencatatkan hadiah yang agak lumayan khususnya daripada MASholidays iaitu 2 tiket ke Beijing (Johan), 2 tiket ke Kemboja (Naib Johan) dan 2 tiket ke Bangkok (Ketiga). Begitu juga tempat seterusnya yang secara keseluruhan berjumlah RM20,000.00.

Alhamdulillah, penyertaan yang pihak kami terima amat memberangsangkan. Malah paling tidak disangka ramai peserta yang menghantar borang penyertaan dengan hiasan kreativiti yang unik. Masya-Allah, tidak terfikir oleh kami untuk mendapat sambutan sebegini rupa. 

Setelah berbulan-bulan berlalu, akhirnya pihak Team Anis dapat menemukan satu tarikh yang sesuai yang mana dapat dihadiri bersama wakil daripada MASholidays untuk sama-sama mencari dan memilih siapakah pemenang yang bertuah itu. 

22 Ogos lalu jawapan yang pasti itu sudah ditemui. Dan mulai minggu ini Team Anis sudah mula menelefon dan menghantar surat jemputan kepara para pemenang yang terpilih. Insya-Allah satu majlis Forum Menjengah Kecantikan Hakiki bersempena penyampaian hadiah Sayembara Anis/Asuh dan Peraduan Jawab & Cipta ANIS MASholidays akan diadakan pada 5 Oktober 2013 ini bertempat di Akademi Malaysia Airlines, Kelana Jaya.

Kepada anda semua, terima kasih kerana menyertai peraduan ini dan sekiranya terpilih sebagai pemenang tahniah kami ucapkan. Namun yang tidak berjaya jangan berputus asa, insya-Allah kami akan berusaha untuk mengadakan pelbagai lagi peraduan menarik sebagai menghargai sokongan anda yang tidak berbelah bahagi kepada penerbitan Majalah Anis selama ini. Jika anda ada sebarang cadangan mengenai bentuk peraduan yang menarik silalah emelkan kepada saya: shimahabdulrahman@gmail.com atau ke: majalahanis@yahoo.com.

Saringan pusingan pertama, Team Anis menyemak kesemua jawapan para peserta.
22 Ogos lalu Team Anis dan MASholidays bersama-sama memilih para pemenang. 

Slogan yang terbaik dikenal pasti dan ditulis di whiteboard.

Kreatif - mungkin itu yang diperkatakan Tn. Hj Wan Azmin Wan Dollah, Pengarah Jab. Penerbitan Majalah. 

Penyertaan yang terpanjang! Sayang tiada kategori untuk ini. 

Antara AJK yang terlibat dalam pemilihan para pemenang Peraduan JAWAB & CIPTA ANIS MASholidays.

Antara kreativiti para peserta. 




September 06, 2013

"Orang Bahagia Akan Menarik Orang Bahagia Kepadanya" - Sesi Fotografi Bersama Prof. Dr. Muhaya Mohamad

Ramadan lalu sekali lagi ANIS menjejak langkah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010 ini. Sepetang dihabiskan untuk sesi fotografi, kami dijemput berbuka puasa pula. Lebih istimewa kami dijamu dengan nasi beriani ayam resipi Prof Muhaya sendiri. Kala ditanya pandangannya mengenai ‘Supermom’, Prof Muhaya ada tafsirannya tersendiri.
“Jadilah ibu yang bermanfaat yang hidupnya sentiasa ingin memberi,” tegasnya lagi mengenai penggunaan kalimah ibu mithali yang sebenar. Katanya lagi, seorang ibu juga perlu mantapkan akidah, kuatkan keimanan, ilmu fardu ain, akhlak dan ibadah sebagai tunjang untuk mengemudi rumah tangga. Hati juga perlu dibersihkan daripada hasad dengki dan bermacam-macam sifat buruk yang lain.
“Banyak orang buat silap dengan berkata kahwin saja terus dapat bahagia pada hal perkahwinan ialah untuk memberi kebahagiaan, bukan mendapat kebahagiaan. Bila kita bahagia insya-Allah kita akan menarik orang bahagia kepada kita,” ujarnya. 
Kepada ibu-ibu, pesanlah pada anak-anak agar mencari ‘bahagia’ dahulu sebelum kahwin. Orang bahagia itu ialah orang yang punya matlamat dan tujuan hidup yang jelas termasuk misi hidup menjadi ibu yang mithali kepada anak-anak. Ikuti temubual lengkap bersama Prof Muhaya di ms. 32 di ruangan PERSONALITI ANIS.
SUMBU ANIS bulan ini berjudul IBU MITHALI = ANAK PENYEJUK HATI bakal memberi pencerahan  kepada kita semua. Insya-Allah jika baik cara didikan seorang ibu akan melahirkan anak-anak hebat yang menjadi penyejuk jiwa. Ini kerana pujangga Arab ada mengatakan, “Andainya diberi peluang seorang ibu mampu melahirkan umat yang baik.”

Selamat membaca. 

Gambar-gambar suasana ketika sesi fotografi bersama Prof. Dr. Muhaya Mohamad Ramadan lalu. 

Bersama Prof. Muhaya Mohamad dan kakitangan Butik Modest Culture, Taman Putra, Kajang, Selangor.

Dr. Azmi Jamion - suami pendamping Prof. Muhaya turut ditemubual.

Keakraban Prof. Muhaya dan anaknya, Dr. Noor Atiyah di hadapan kamera.


"Orang bahagia akan menarik orang bahagia kepadanya." - Prof. Muhaya.



September 03, 2013

Tip Kewartawanan - Kewartawanan Islam?


Seorang wartawan pulang ke pejabat dengan nada ceria. Walaupun wajahnya tampak lelah namun keceriaan lebih menyerlah. Ini kerana wartawan tersebut pulang bagaikan seorang perwira yang pastinya membawa bekalan yang sarat. Bekalan itulah bahan berita yang akan ditulis, digarap dan seterusnya dikongsi sebagai berita atau rencana buat tatapan pembaca di seluruh tanah air.

Itulah keistimewaan insan-insan yang memilih kerjaya sebagai wartawan. Wartawan merupakan ‘first person’ yang menerima suatu perkhabaran atau berita. Hari ini dunia tidak lengkap tanpa ‘berita’. Apa perasaan anda andainya dunia sepi tanpa berita. Buka TV tiada berita, cari suratkhabar tidak dijual. Bayangkan seandainya suatu hari kita tidak dapat meng’akses’ atau menerima sebarang berita, pasti kita berasa hidup di sebuah pulau tanpa manusia.

Justeru sedarlah, di sebalik suatu berita yang kita baca, tatap dan komen, wujudnya insan-insan yang bergelar wartawan yang telah bersusah payah mendapatkan sesuatu bahan berita. Wartawan yang amanah menyedari tanggungjawabnya ini akan menggalas tugas ini dengan penuh komited, tanpa jemu, penat dan lelah. Mereka akan berterusan mencari berita selagi terdaya dan kudrat dikandung badan.

Menyedari hal ini, seorang wartawan perlu berjiwa kental menghadapi apa jua cabaran dan rintangan. Wartawan berjiwa pejuang tidak kisah dirinya diteguri atau dimarahi kerana ia merupakan asam garam dalam dunia kewartawan yang perlu bergerak pantas dalam serba-serbi.

Berbanggalah dan bersyukurlah andainya anda diberikan amanah ini kerana anda adalah pengubah dan pencorak dunia. Ya, hanya dengan menggerakkan tulisan di hujung jari!

Seorang wartawan yang bergerak dalam landasan media Islam, mempunyai tanggungjawab yang lebih jauh daripada itu. Peranan anda bukan sekadar melaporkan sesuatu berita tetapi mencari sudut-sudut hikmah tersirat di sebalik sesuatu peristiwa. Pembaca seterusnya diajak untuk sama-sama berfikir lalu menghayati kebesaran dan keagungan Ilahi menerusi setiap inci tulisannya.

Dalam lain kalimah, anda bukan sahaja seorang wartawan tetapi anda juga daie yang akan menyentuh hati-hati insan agar subur dan kembali kepada fitrah yang murni. Apakah fitrah yang murni itu? Fitrah murni iaitu perasaan kehambaan (ubudiyyah) seorang hamba terhadap Allah al-Khaliq yang Maha Pencipta segala kejadian. 

August 16, 2013

Bicara Buku Ilmu Kehidupan di SACC Mall

Dapatkan di kedai berhampiran
Bicara Buku Ilmu Kehidupan: Ringkas tapi Signifikan

Tarikh: 18 Ogos 2013 Ahad
Masa: 2pm - 4pm
Tempat: SACC Mall

Bersama barisan penulis :
1. Prof. Muhd Kamil Ibrahim
2. Pn. Roza Roslan
3. Tn. Mohd Zaini Ariff
4. Tn. Sabtu M Ali
5. Pn. Noor Azma Mohamad Khassim

"ILMU KEHIDUPAN: Ringkas tapi Signifikan"

E-book 7 Rahsia Karya Diterima Editor Mula Dijual

Masa untuk mengetahui rahsia-rahsia editor bermula.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Mulakan membaca e-book '7 Rahsia Karya Diterima Editor' bagi perancangan penulisan buku-buku anda diterima oleh editor.

Sebelum menghantar karya anda kepada editor atau penerbit, anda seharusnya memahami 7 aspek utama dalam penghasilan sesuatu buku mengikut kaca mata editor:

1. Bahan yang diterima editor
2. Ciri-ciri karya yang dimahukan penerbit
3. Jenis karya yang diterima penerbit
4. Ciri-ciri karya yang disukai editor
5. Perkara yang disukai editor (ini mempengaruhi karya yang diluluskan penerbit)
6. Ciri-ciri penulis yang disukai editor
7. Cara terbaik untuk karya diluluskan editor / penerbit

Kepada bakal penulis, ketahuilah 7 aspek penting di atas.

Dapatkan segera

Kepada para penulis, tingkatkanlah skil anda berkarya.
Ya ... bertindak segera!
Masa tidak menunggu kita.
Buat editor jatuh cinta pandang pertama membaca karya anda sekarang!

Selamat bertindak.
Dapatkan e-book '7 Rahsia Karya Diterima Editor'  pada harga RM20.00 dengan membuat pesanan melalui e-mel hamzah125@gmail.com atau KLIK DI SINI untuk tempahan.

Bonus: E-book ini juga memberi contoh format dan lampiran yang sangat membantu untuk anda menghantar karya.

Terima kasih.

August 10, 2013

Tip Penulisan: Penulis & Blog?

Saya sering menerima emel mahupun panggilan daripada ramai insan menyatakan hasrat hati mereka untuk menjadi kolumnis Majalah Anis. Apabila saya bertanya, "Tuan/Puan ada blog?" Dia menjawab, "Tidak ada!" Malah ada juga menjawab dengan nada yang agak sinis, "Puan, zaman sekarang orang dah tak baca blog. Orang dah beralih kepada Facebook dan lain-lain... ."

Ya, saya akui kebenarannya. Namun blog atau homepage anda ibarat tapak premis perniagaan di mana orang-orang yang mahu membeli akan berkunjung ke situ. Jika anda menjual pakaian misalnya, mereka akan membelek-belek dahulu pakaian yang anda peragakan. Bukan sekadar itu sahaja, bagi pelanggan yang agak teliti dan cerewet mereka akan menilai kualiti kain, harganya dan sebagainya. Apabila sudah berpuas hati baharulah mereka akan bersetuju membeli. Kemungkinan mereka akan menjadi pembeli tetap produk kita itu.

Dalam konteks dunia penulisan, penulisan di blog ia amat penting sekali. Walaupun blog seperti ketinggalan zaman ia tetap ada fungsinya tersendiri. Malah sudah terbukti ramai penulis buku 'bestseller' mencipta nama daripada penulisan mereka di blog.

Antaranya, blog Saifulislam.com oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil yang mencetuskan fenomena apabila buku 'Aku Terima Nikahnya' menjadi buku bestseller. Blog Prof Muhd Kamil Ibrahim iaitu www.muhdkamil.org juga elok dijadikan rujukan kerana beliau mempunyai puluhan ribu pembaca setiap bulan. Terkini beliau sudah menubuhkan universiti maya iaitu UMKI yang memiliki 6000 penuntut. Ternyata penulisan di blog mempunyai signifikan dengan penulisan buku beliau Anekdot Madinah dan Ilmu Kehidupan (bersama 4 penulis lain).  

Bagi penulis-penulis baharu, penulisan di blog menjadi tapak untuk anda menajamkan skil penulisan. Bagi kami para editor (sama ada editor majalah atau suratkhabar) ia jadi jambatan untuk kami menilai gaya penulisan seseorang penulis itu sama ada sesuai dimuatkan dalam majalah atau tidak.

Mana tahu selepas mempunyai himpunan artikel-artikel yang menarik, anda berpeluang diundang untuk menulis di mana-mana ruang.

Kuasai sedikit demi sedikit teknik penulisan ini dan mula berlatih menulis dari sekarang. Jika boleh tambahkan ilmu dengan mengikuti mana-mana kursus penulisan. Jadikan blog anda sebagai jambatan untuk kita berkongsi ilmu dan pengalaman bersama masyarakat. Semoga ia menjadi nilaian di sisi-Nya yang akan menjadi saham kita di dunia dan di akhirat.


 

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...