July 01, 2014

Ramadan 1435 H – Apa ‘Target’ Kita?



Ramadan datang lagi – bersama jutaan rahmat dan kasih sayang Allah untuk hamba-hamba-Nya. Berbanding amalan-amalan lain berbentuk perintah berbuat seperti solat, zakat dan haji, puasa pula merupakan perintah yang mengkehendaki kita meninggalkan segala apa yang dilarang Allah.
Bermula dari niat puasa kala waktu sahur sehingga waktu berbuka, kita bukan sahaja dilatih menahan diri daripada makan minum, kita juga disuruh meninggalkan segala perbuatan-perbuatan keji yang Allah larang kerana ia akan mengurangkan ‘indeks pahala’ atau kualiti puasa di sisi Allah. Allah Maha Hebat kerana telah mengatur suatu medan ‘training’ yang disusun indah bagi melahirkan hamba-hamba yang bertakwa. 

Namun perlu kita ingat-mengingati, menggapai puasa ‘high class’ di sisi Allah bergantung kepada sejauh mana kefahaman kita dalam menyambut Ramadan. Adakah ia seperti tetamu istimewa yang perlu kita raikan sungguh-sungguh atau umpama tetamu ‘biasa-biasa’ yang hanya dipandang sebelah mata? Oleh itu mari perbaharui azam agar Ramadan kali ini kita sambut dengan sepenuh jiwa. Mana tahu mungkin inikah Ramadan terakhir kita.

Kepada para wanita bergelar ibu, usah bersedih hati andai tugasan hakikimu dalam mengurus rumah tangga dan melayan telatah anak-anak tidak pernah berkesudahan. Walaupun mungkin  ibadahmu tidak sekencang kaum lelaki, namun ingatlah Islam tidak menzalimi. Dalam Islam,  ibadah bukan sahaja dalam betuk ritual seperti solat dan zikir, tetapi apa jua pekerjaan baik yang kita lakukan tetap dikira sebagai ibadah andainya dilakukan dengan penuh ikhlas.  

Firman Allah SWT: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akanmembalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (An-Nahl 16: 97)

Sempena bulan Ramadan ini, ANIS terpanggil untuk menjawab resah hati para wanita sekalian yang tersepit dalam dilema. Segalanya akan terjawab dalam kolum SUMBU ANIS bertajuk Puasa Seorang Wanita: Antara Pahala @ Tanggungjawab? 

Buat para suri rumah dan wanita berkerjaya ada tip-tip khusus dititipkan Ustazah Maznah Daud bagaimana cara menghidupkan amalan puasa. Manakala Bicara Tokoh menemubual Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki iaitu Penasihat Syariah, Brainy Brunch International Montessori dan juga pendakwah yang menyarankan para wanita merancang masa sebaik-baiknya demi mencapai target sebenar puasa terbilang di sisi Allah.   

Untuk menghidupkan roh Ramadan, banyak lagi artikel-artikel menarik yang boleh kita sama-sama hayati. Antaranya titipan kolum Bersamamu Di Firdaus (Prof Muhd Kamil Ibrahim), Warkah Buat ANIS (Roza Roslan), Hasanah (Zakaria Sungib), Solat Wanita (Shahrul Zaman Lukman), Sketsa Rumah Tangga (Haji Badrul Hisham), Kalimat Cinta (Dr. Nik Yusri Musa) dan banyak lagi. Tak lupa juga kami kepilkan tip diet sihat ketika Ramadan sebagai ulang kaji bersama. 

Jangan lupa ajak suami dan anak-anak mencapai target puasa sebenar dalam Poster Adab-adab dalam bulan Ramadan serta Petua Khatam Quran 30 Hari. Mudah-mudahan di akhir Ramadan ini kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertakwa. Amin... .

 
Wajah Anis terbaharu. Jangan lupa dapatkan di pasaran sekarang!




No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...