December 18, 2018

Travelog: Di Manakah Penawarku? (Catatan 1)

Pagi Jumaat itu, hati masih mahu bersedap-sedap dibalut selimut putih yang tebal. Mata merenung ke tepi jendela kaca yang terbuka luas. Jauh ke seberang melangkau katil yang dihuni Aci Perumal (bukan nama sebenar) di sebelah. Keempat-empat penghuni katil masing-masing masih terpaku di atas katil besi masing-masing.
.
Kelihatan kabus begitu tebal menyelimuti bukit-bukau yang menghijau di sekitar Hospital Selayang ini. Hati juga tiba-tiba berubah menjadi mendung.
.
Sungguh... mata ini masih mengantuk lagi. Seboleh mungkin saya mahu terus menarik selimut lagi untuk menyambung tidur. Namun, apakan daya ini bukan rumah sendiri. Tepat jam 7.30 pagi nanti akan ada misi meronda dari bilik ke bilik dan mengemas serta menukar cadar setiap pesakit.
.
Ternyata dua malam menghuni di wad 3B no katil 4, saya sudah menghafal jadual tugasan mereka di sini. Sekali gus rasa kagum menerpa memikirkan betapa mereka menjaga kami dengan penuh rasa prihatin sehingga sanggup mengenepikan keselesaan peribadi. 
Di kala mata saya sekejap terjaga sekejap terlelap, ada waktunya ia terus cergas membutang. Dalam masa yang sama terkebil-kebil dek terkejut dengan suara sang misi yang mengejutkan mahu mengambil sampel darah dan memberi ubat. Waktunya pula ketika hati sedang sedap dilamun mimpi sekitar 4.00 - 5.00 pagi. Dan tiba-tiba saja terasa cucukan picagari menembusi kulit. Allahu... sakitnya lalu kedua-dua anak mata pun terpisat-pisat dibuatnya!

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...