Tanpa disedari kerana asyik memburu 'deadline' saya sudah melepasi bulan Rejab dan kini Syaaban, dan sedikit masa lagi bulan Ramadan kian dekat. Masya-Allah, demikian nikmat masa yang Allah beri... terasa begitu cepat ia berlalu. Masih terasa haruman Ramadan lalu, kini harumannya kembali lagi. Adakah sepanjang setahun itu (dari Ramadan ke Ramadan tahun ini) kita sudah menggunakannya untuk mencapai redha-Nya. Ya Allah .... ingatan untuk diri saya juga.
Justeru, sempena ketibaan bulan Ramadan yang mulia ini, saya mengajak diri saya dan anda semua sama-sama memperhalusi niat dan amal sepanjang bulan puasa nanti. Saban tahun tanamkan satu azam untuk kita praktikkan pada diri, umpamanya amalan bersedekah.
Untuk mengetahui lebih lanjut kelebihan dan keistimewaan amalan sedekah, tatapi catatan Editor saya untuk isu bulan Julai 2013: Lagi Sedekah Lagi Kaya!
Janji Allah Pada
Orang Yang Suka Bersedekah
Dalam
satu kisah yang popular, diceritakan Sayidina Ali bin Abi Thalib membeli sebiji
buah delima buat penawar isterinya yang tercinta, Sayidatina Fatimah yang jatuh
sakit dan sangat ingin memakan buah delima. Dalam perjalanan pulang, beliau
bertemu seorang tua yang sedang sakit yang juga sangat ingin memakan buah
delima.
Mengingatkan
pesan Nabi agar tidak menolak permintaan orang yang memerlukan, akhirnya Sayidina
Ali memberikan buah delima tersebut kepada lelaki tua itu.
Sampai
di rumah, Sayidina Ali menceritakan segala peristiwa yang berlalu. Di hatinya
berharap isterinya memahami. Kata Fatimah, “Wahai suamiku, mengapa engkau
bersedih, demi Allah ketika engkau memberikan buah delima itu, aku berasa puas
dan lenyap keinginanku kepada buah delima.”
Tiba-tiba
terdengar ketukan di pintu. Rupa-rupanya Salman al-Farisi datang membawa sebuah
bekas tertutup seraya berkata, “Aku menghantarnya untukmu dari Allah melalui perantaraan
Rasulullah SAW.”
Sayidina
Ali membuka penutupnya dan melihat di dalamnya ada sembilan biji delima. Beliau
segera bertanya, “Wahai Salman, jika ini memang daripada Allah untukku, pasti
jumlahnya sepuluh,” seraya membacakan firman Allah; “Barangsiapa membuat amal yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali
ganda amalnya.” (Al-An’am 6: 160)
Salman
terus tertawa, sambil mengembalikan sebiji buah delima yang ada di tangannya
lalu berkata, “Wahai Ali, demi Allah aku hanya sekadar menguji sejauh mana
keyakinanmu terhadap firman Allah yang engkau bacakan sebentar tadi.”
Begitu
juga kisah Sayidatina Aisyah yang akan memperelokkan harta atau wang yang akan
disedekahkan kepada fakir miskin dengan wangi-wangian, semata-mata untuk
mencari keredhaan Allah SWT.
Beginilah
antara suri teladan terbaik daripada insan pilihan Allah yang misi hidup mereka
sentiasa ingin memberikan yang terbaik sama ada kepada Allah atau sesama
manusia!
Lagi Sedekah
Lagi Kaya!
– Fokus Utama Anis kali ini dipilih sempena ketibaan bulan Ramadan; iaitu penghulu
segala bulan.Bulan yang Allah lipatgandakan segala amal.
Bulan mulia yang diriwayatkan Baginda SAW begitu hebat dalam bersedekah dan diumpamakan seperti angin yang berhembus.
Semoga
ketibaan bulan mulia ini kita dapat mempraktikkan salah satu sunnah Baginda SAW
ini. Ketahui 12 sebab ‘magic’nya amalan sedekah yang dapat memadam api neraka,
menghapuskan dosa-dosa dan menjadi penyebab kita beroleh husnul khatimah. Malah
ada pelbagai lagi manfaatnya untuk kita di dunia dan akhirat.
Insya-Allah
perkongsian ilmu bersama tiga orang tokoh iaitu Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Liew,
En. Abu Bakar Yang dan Prof Dr. Muhd Kamil Ibrahim akan terus memandu kita
lebih menghayati ibadah yang dipanggil as-Sadaqah. Ayuh!