December 02, 2009

Setulus Doa dari Padang Arafah


Arafah, tempat terbaik untuk berdoa - Petikan gambar dari Blog Ustaz Amin.

Saya baru sahaja terbaca kisah pelik tapi benar iaitu mengenai Keajaiban Di Padang Arafah dari blog Ustaz Amin: Universiti Kehidupan. Ustaz Amin ketika ini masih berada di Makkah.
Kisah ajaib ini mengenai pertemuan Ustaz Amin dengan seorang wanita yang sebelum itu terpaksa dipapah untuk masuk ke Arafah tapi selepas berdoa Allah sembuhkan penyakit yang dihadapi. Wanita itu selepas itu boleh berjalan seperti sediakala.
Saya percaya anda juga sudah tentu biasa mendengar kisah-kisah keajaiban seperti itu daripada penziarah Tanah Suci.
Sememangnya bumi Makkah, bumi yang subur dengan barakah. Bumi suci yang dimuliakan ALLAH sejak ia mula dicipta sehinggalah hari kiamat.
Padang Arafah merupakan tempat pertemuan datuk dan nenek pertama kita iaitu Nabi Adam a.s dan Hawa. Setelah berpisah puluhan tahun, akhirnya keduanya bertemu di sini, dengan izin Allah.
Pada hari wukuf jutaan umat Islam berkumpul di sini - di waktu ini semua manusia sama tinggi dan sama rendah. Di sini tidak dipeduli siapa engkau. Engkau raja atau rakyat, engkau kaya atau miskin semuanya berbalut kain putih. Sama saja di sisi Tuhan. Semuanya tunduk patuh mengharap belas ehsan daripada pemilik kerajaan langit dan bumi. Bumi Arafah bagaikan Padang Mahsyar yang dihuni hati-hati manusia yang benar-benar pasrah saling mengharap redha dan rahmat dari Allah Taala.
Pada hari inilah dikatakan Allah akan turun ke langit dunia lalu mengampuni segala dosa hamba-hamba-Nya. Di sinilah berlakunya kemuncak rasa perhambaan subur di saubari lalu menerbitkan doa yang benar-benar tulus kepada Allah SWT.
Ini juga satu kisah ajaib tapi benar. Saya kongsi dan lampirkan di sini bukan sekadar satu hiburan semata. Mendengar kisah-kisah ajaib ini insya-Allah jika direnungi boleh menambahkan keinsafan menjunam jauh ke hati kita yang keras. Agar lunaklah hati kita dan benar-benar yakin bahawa Allah Maha mendengar apa yang didoakan hamba-hamba-Nya. Dan Dia juga berkuasa untuk mengkabulkan apa jua hajat yang dipinta hamba-hamba-Nya. Cepat atau lambat hanya Dia mengetahui-Nya.
Selepas Idul Adha, saya menelefon seorang sahabat. Saya dan dia, sama-sama merayakan hari raya korban kali tanpa suami di sisi. Bezanya suami saya ke Jordan dan Syria tapi suami sahabat saya ini bertugas sambil menunaikan haji.
Sahabat saya ini menceritakan satu kisah ajaib yang berlaku. Berkat doa dari suami dari Bumi Arafah dia menyaksikan satu keajaiban. Rezekinya di pagi raya begitu melimpah-ruah.
Ketika mana sang suami sama-sama berhimpit dan bersesak-sesak dengan jemaah haji yang lain di Padang Arafah yang dicurah air hujan selebat-lebatnya, si isteri menghantar sms, "Kami di sini putus bekalan wang. Harap dapat membantu," sms dihantar dengan niat supaya suami dapat menghantar sedikit duit ke dalam bank. Tapi memang mustahil dalam keadaan sedemikian rupa. Tiada apa yang mampu dilakukan sang suami hanya sekeping doa dikirim dari kejauhan, "Saya doakan awak dan anak-anak dimurahkan rezeki oleh Allah."
Memang bukan niat suami untuk meninggalkan anak isteri tanpa sedikit bekalan tapi memandangkan ini tugasan pertama beliau selepas menamatkan perkhidmatan di sebuah syarikat, sedikit kepayahan terpaksa diharungi buat permulaan.
Kata si isteri kepada saya, "Bayangkan hanya itu saja jawapannya. Dalam hati ada rasa kecewa,ingatkan bolehlah dimasukkan sedikit wang. Ketika itu saya dan anak-anak semuanya berpuasa, gas di dapur pula habis. Tiba-tiba adik telefon, "kak, suami saya dapat sedikit wang, jomlah kita beli barang-barang dapur. Keesokannya pula rumah saya dihujani dengan aneka juadah raya. Jiran keliling rumah bagi ketupat rendang hingga penuh meja dibuatnya. Menggeleng kepala saya melihatnya walaupun anak saya ramai rezeki depan mata tak habis dimakan semuanya.
Tak cukup dari itu orang bagi daging korban pulak, sampai ada jiran yang nak balik kampung pun serah daging korban ke rumah kami. Banyak sungguh. Penuh sedulang daging-daging korban tu. Subhanallah, barulah saya sedar ini semua berkah doa dari suami. Doanya tulus dari Bumi Arafah.
Sekarang saya benar-benar yakin, Allah takkan membiarkan hamba-hamba-Nya dalam kesusahan. Mungkin suami saya tidak dapat menitip sedikit wang untuk kami tapi Allah cukupkan kami dengan rezeki-Nya cara yang saya tak terfikir...Subhanallah!"
Sahabat saya menutup kisah dengan perasaan cukup terharu. Moga saya dan anda yang membaca juga beroleh manfaat dari selingkar kisah yang berlaku di pagi Idul Adha.

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...