Catatan perjalanan di pentas kehidupan, perkongsian dunia penerbitan dan penulisan.
December 03, 2009
Keajaiban Kuasa Ilahi 1: Masjid An Nazar Masih Tersergam Gagah
Pemandangan bumi Aceh dari udara. Masjid-masjidnya yang tersergam megah membelah angkasa.
Dahulu saya hanya melihat gambar-gambar masjid yang tidak dimusnah dan diranap ombak tsunami dari paparan media massa. Tapi kini saya saksikan sendiri. Mata dan hati terpana seketika melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran dan keagungan-Nya yang masih mekar di bumi Aceh. Semoga catatan kembara Aceh pasca Tsunami ini memberi kita iktibar dan pengajarannya...
Pemandangan sawah padi di Tangse, pekan terakhir kami temui sebelum menempuh hutan belantara semasa perjalanan dari Banda Aceh ke Meulaboh.
Nanggroe Aceh yang subur.
“Selamat Jalan. Jangan lupa saksikan panorama cantik sepanjang jalan,” pesan Kak Marihah Hussin pada saya pagi itu. Kami bersalaman kerana akan berpisah dan bakal bertemu semula tiga hari kemudian. Dia mengikuti kumpulan 1 yang membuat liputan media sekitar Banda Aceh sementara saya mengiringi Team rancangan Secangkir Kasih Radio Ikim.fm dan Islamic Relief Malaysia ke Meulaboh dan Calang.
Perasaan saya tidak sabar-sabar untuk segera sampai ke Meulaboh, iaitu ibukota bagi Kabupaten Aceh Barat. Menyaksikan sendiri kota yang musnah teruk akibat Tsunami kerana kedudukannya hanya 150 km dari pusat gempa bumi. Sewaktu Tsunami kami dimaklumkan jalanraya rosak teruk dan satu-satunya cara untuk sampai ke sana hanya melalui jalan laut.
Namun, saya didedahkan satu fakta menarik.Panorama cantik! Sukar saya bayangkan andai apa yang dinyatakan tidak berada di depan mata. Tetapi saya akui kebenaran kata-katanya. Kembara ke Meulaboh sejauh 330 km menyajikan kami pemandangan yang sungguh menarik dan sukar dinikmati di tanahair sendiri.
Sepanjang 8 jam perjalanan, Pak Supir kami iaitu Pak Azwar tenang memandu sambil kami terus menghayati keindahan Nanggroe Aceh Darussalam ini yang terletak di utara Pulau Sumatera ini. Sawah padi yang menghijau sepanjang jalan, juga tanaman buah-buahan segar hasil perut bumi Aceh yang subur dan makmur. Mata tak puas menatap lembah dan ngarai dihiasi alunan sungai-sungai kecil menuruni lurah. Kami mengharungi tiga buah gunung iaitu Gunung Selawah Agam, Selawah Inong dan Tangse. Adakalanya badan terhenjut-henjut akibat jalan yang belum diturap sepenuhnya. Sepanjang jalan mata tidak boleh lena kerana risau mengingatkan liku-liku tajam yang kami lalui. Getirnya kembara ini mengingatkan saya pada selekoh tajam di Bukit Putus di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Tapi bayangkan laluan seperti ini menjadi teman di perjalanan kami dari Banda Aceh ke Meulaboh.
Tol untuk pembinaan masjid
Apabila memasuki kawasan kampung, hati terhibur seketika kerana jalannya agak tenang. Satu pengalaman baru bagi saya apabila tiba-tiba kenderaan kami ditahan penduduk kampung. Rasa cemas seketika tapi setelah cermin dibuka, mereka datang sambil menghulur kotak. Oh! Rupa-rupanya itu mereka meminta sumbangan derma buat membina masjid yang sedang dalam pembinaan. Ingatan saya terus teringatkan Tol di tanahair.
Sepanjang jalan ke Meulaboh, masjid-masjid baru tumbuh bak cendawan lepas hujan. Sama rancak dengan pembinaan rumah-rumah dan gedung-gedung perniagaan. Menariknya saya lihat rata-rata masjidnya berwarna putih dengan dihiasi satu menara besar berwarna hitam. Apa sebabnya penduduk Aceh gemar dengan rupa masjid begitu, saya tidak pasti.
“Bagi warga Aceh masjid itu satu kebanggaan,” jawab Herawati Mohd Daud, petugas Islamic Relief Indonesia yang mengiringi perjalanan kami. Bagaikan tahu persoalan yang bermain di hati.
Kami mendapat tahu di sebalik pembangunan masjid-masjid baru ini, masjid-masjid yang lama masih tersergam megah dan gagah. Pelik dan ajaib bila difikirkan. Ketika mana ombak ganas Tsunami datang bersama ledakan tanah hitam dan sampah sarap, meranap dan meratah rumah-rumah dan bangunan bertukar menjadi puing-puing yang berselerakan, kebanyakan rumah-rumah Allah ini masih kukuh dan utuh.
Secara logiknya mana mungkin ia tidak binasa kerana lokasi masjid itu betul-betul terletak di pinggir pantai? Namun inilah yang dikatakan keajaiban kuasa Ilahi. Alhamdulillah, pengalaman berada di Aceh membuktikan lagi kehebatan dan kekuasaan-Nya yang tiada tandingan.
Kembara ini memberi peluang kami menatap masjid-masjid yang masih tersergam megah membelah angkasa. Lebih dari itu mendengar kisah dari penduduk Aceh yang terselamat selepas berlari dan berlindung di rumah Allah ini.
Masjid An Nazar, Suak Pandan, Meulaboh
Di Suak Pandan, Meulaboh satu-satunya bangunan tunggal yang utuh berdiri ketika tsunami ialah Masjid An Nazar. Tapi menghairankan kerana dalam masa yang sama rumah-rumah dan bangunan di sekeliling dilibas ombak ganas tsunami lalu bertukar seperti padang jarak padang tekukur.
Ketika ombak tsunami datang menerjah, tiada lagi yang mampu difikirkan penduduk kampung di pinggir pantai ini selain berlari menyelamatkan diri. Seorang penduduk kampung yang terselamat sempat menceritakan detik-detik cemas apabila kampung mereka dilanda Tsunami.
"Apabila mendengar bunyi gemurah kami yakin air laut semakin hampir. Kami semua lari ke rumah Allah. Di situ ada tangga kayu yang baru dipasang Pak Keuchik (Ketua Kampung)dan Pak Imam. Kami naik atas tangga pertama tapi rasa takut ditenggelami air. Kami naik terus ke lantai kedua terletaknya menara masjid," ujar Teuku Burhan Nyak Husin, 48 tahun.
Teuku Burhan berdiri di hadapan Masjid An-Nazar yang telah menyelamatkan dirinya dan 200 orang penduduk Suak Pandan.
Menurutnya, satu keajaiban berlaku di hadapan matanya dan 200 orang penduduk kampung yang berada di atas menara masjid itu. Dengan pertolongan Allah, di depan masjid dua batang pokok kelapa melentuk lalu menahan segala sampah sarap dan pokok-pokok kayu daripada menerjah bangunan masjid.
Sepanjang tsunami mereka dilanda 20 gelombang besar tapi syukurlah dengan adanya pokok kelapa itu mereka mampu menahan biarpun terpaksa menahan lapar dahaga sepanjang jam 8.30 pagi (waktu kejadian tsunami) hingga 7 pagi esoknya. Apabila air sudah reda Teuku Burhan dan penduduk kampung yang lain turun dari masjid dan berjalan kaki menuju ke kampung berhampiran. Dalam keadaan sehelai sepinggang mereka tiba di Kg. Cot Selamat pada pukul 3 petang, itupun setelah mengharungi jalan hutan dipenuhi air. Penduduk di situ memberi mereka makan-minum dan pakaian.
Imam Masjid An-Nazar iaitu Abdul Aziz Hamzah, 47 tahun sempat menceritakan pada kami walaupun ketika kejadian itu dia tidak berada di atas masjid tapi dia mendengar cerita penduduk kampung yang terdengar suara orang memberi salam beberapa kali sebelum ombak mula memasuki masjid. Suara siapakah yang memberi salam itu namun sehingga kini tiada siapa mampu memberikan jawapannya. Apapun sehingga saat ini Masjid An-Nazar masih tersergam megah dan dikelilingi rumah gratis (percuma) sumbangan badan-badan NGO termasuklah Islamic Relief. Hanya lantai dan sebahagian depan masjid yang rosak dan kini dalam usaha pembaikan. Yang cukup menarik perhatian saya dan teman-teman media, apabila melihat tangga kayu di atas menara masjid itu. Sengaja ia dibiarkan di situ, setidak-tidaknya itulah satu-satunya monumen bagi penduduk Suak Pandan mengingati tragedi Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 yang lalu.
Sesungguhnya Dialah Allah Al-Aziz, sebaik-sebaik pemelihara dan sebaik-baik tempat kita memohon perlindungan...
Lima tahun sudah berlalu namun tangga kayu ini masih tetap di situ menjadi salah satu saksi bisu tragedi Tsunami di Aceh.
Petikan Kembara Aceh Pasca Tsunami Siri 2 dalam Majalah ANIS bulan Oktober 2009
Akan bersambung lagi...
December 02, 2009
Setulus Doa dari Padang Arafah
Arafah, tempat terbaik untuk berdoa - Petikan gambar dari Blog Ustaz Amin.
Saya baru sahaja terbaca kisah pelik tapi benar iaitu mengenai Keajaiban Di Padang Arafah dari blog Ustaz Amin: Universiti Kehidupan. Ustaz Amin ketika ini masih berada di Makkah.
Kisah ajaib ini mengenai pertemuan Ustaz Amin dengan seorang wanita yang sebelum itu terpaksa dipapah untuk masuk ke Arafah tapi selepas berdoa Allah sembuhkan penyakit yang dihadapi. Wanita itu selepas itu boleh berjalan seperti sediakala.
Saya percaya anda juga sudah tentu biasa mendengar kisah-kisah keajaiban seperti itu daripada penziarah Tanah Suci.
Sememangnya bumi Makkah, bumi yang subur dengan barakah. Bumi suci yang dimuliakan ALLAH sejak ia mula dicipta sehinggalah hari kiamat.
Padang Arafah merupakan tempat pertemuan datuk dan nenek pertama kita iaitu Nabi Adam a.s dan Hawa. Setelah berpisah puluhan tahun, akhirnya keduanya bertemu di sini, dengan izin Allah.
Pada hari wukuf jutaan umat Islam berkumpul di sini - di waktu ini semua manusia sama tinggi dan sama rendah. Di sini tidak dipeduli siapa engkau. Engkau raja atau rakyat, engkau kaya atau miskin semuanya berbalut kain putih. Sama saja di sisi Tuhan. Semuanya tunduk patuh mengharap belas ehsan daripada pemilik kerajaan langit dan bumi. Bumi Arafah bagaikan Padang Mahsyar yang dihuni hati-hati manusia yang benar-benar pasrah saling mengharap redha dan rahmat dari Allah Taala.
Pada hari inilah dikatakan Allah akan turun ke langit dunia lalu mengampuni segala dosa hamba-hamba-Nya. Di sinilah berlakunya kemuncak rasa perhambaan subur di saubari lalu menerbitkan doa yang benar-benar tulus kepada Allah SWT.
Ini juga satu kisah ajaib tapi benar. Saya kongsi dan lampirkan di sini bukan sekadar satu hiburan semata. Mendengar kisah-kisah ajaib ini insya-Allah jika direnungi boleh menambahkan keinsafan menjunam jauh ke hati kita yang keras. Agar lunaklah hati kita dan benar-benar yakin bahawa Allah Maha mendengar apa yang didoakan hamba-hamba-Nya. Dan Dia juga berkuasa untuk mengkabulkan apa jua hajat yang dipinta hamba-hamba-Nya. Cepat atau lambat hanya Dia mengetahui-Nya.
Selepas Idul Adha, saya menelefon seorang sahabat. Saya dan dia, sama-sama merayakan hari raya korban kali tanpa suami di sisi. Bezanya suami saya ke Jordan dan Syria tapi suami sahabat saya ini bertugas sambil menunaikan haji.
Sahabat saya ini menceritakan satu kisah ajaib yang berlaku. Berkat doa dari suami dari Bumi Arafah dia menyaksikan satu keajaiban. Rezekinya di pagi raya begitu melimpah-ruah.
Ketika mana sang suami sama-sama berhimpit dan bersesak-sesak dengan jemaah haji yang lain di Padang Arafah yang dicurah air hujan selebat-lebatnya, si isteri menghantar sms, "Kami di sini putus bekalan wang. Harap dapat membantu," sms dihantar dengan niat supaya suami dapat menghantar sedikit duit ke dalam bank. Tapi memang mustahil dalam keadaan sedemikian rupa. Tiada apa yang mampu dilakukan sang suami hanya sekeping doa dikirim dari kejauhan, "Saya doakan awak dan anak-anak dimurahkan rezeki oleh Allah."
Memang bukan niat suami untuk meninggalkan anak isteri tanpa sedikit bekalan tapi memandangkan ini tugasan pertama beliau selepas menamatkan perkhidmatan di sebuah syarikat, sedikit kepayahan terpaksa diharungi buat permulaan.
Kata si isteri kepada saya, "Bayangkan hanya itu saja jawapannya. Dalam hati ada rasa kecewa,ingatkan bolehlah dimasukkan sedikit wang. Ketika itu saya dan anak-anak semuanya berpuasa, gas di dapur pula habis. Tiba-tiba adik telefon, "kak, suami saya dapat sedikit wang, jomlah kita beli barang-barang dapur. Keesokannya pula rumah saya dihujani dengan aneka juadah raya. Jiran keliling rumah bagi ketupat rendang hingga penuh meja dibuatnya. Menggeleng kepala saya melihatnya walaupun anak saya ramai rezeki depan mata tak habis dimakan semuanya.
Tak cukup dari itu orang bagi daging korban pulak, sampai ada jiran yang nak balik kampung pun serah daging korban ke rumah kami. Banyak sungguh. Penuh sedulang daging-daging korban tu. Subhanallah, barulah saya sedar ini semua berkah doa dari suami. Doanya tulus dari Bumi Arafah.
Sekarang saya benar-benar yakin, Allah takkan membiarkan hamba-hamba-Nya dalam kesusahan. Mungkin suami saya tidak dapat menitip sedikit wang untuk kami tapi Allah cukupkan kami dengan rezeki-Nya cara yang saya tak terfikir...Subhanallah!"
Sahabat saya menutup kisah dengan perasaan cukup terharu. Moga saya dan anda yang membaca juga beroleh manfaat dari selingkar kisah yang berlaku di pagi Idul Adha.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Catatan 17.10.2018
Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...
-
Jerit perih pasangan ini dalam menurunkan berat badan berbaloi malah usaha mereka kini menjadi penawar buat ramai insan lain yang mengalami...
-
Pada 8 hingga 12 Disember lalu, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke Beijing, China. Syukur, alhamdulillah. Sudah lama rasanya mahu menjej...