Team Anis dan tenaga produksi bergambar kenangan bersama Aida Gadis Melayu dan Dato Rudy, pemilik Astana Rudinara selesai pengambaran Cover Majalah Anis April 09.
Setiap kali menatap Majalah Anis keluaran April yang masih lagi segar di pasaran, pasti ada senyum simpul terukir di bibir. Kala cerita ini dikisahkan bersama-sama team produksi yang bersama-sama menjayakan pengambaran ini, pasti kami akan tersenyum simpul dan ketawa. Geli hati!
Apa tidaknya, kali pertama berlaku dalam sejarah kami bertawaf Bandar Baru Bangi sebanyak tiga kali. Selama ini bukannya tak pernah ke situ. Kami berpusing-pusing jalan mencari arah ke Sg. Merab. Selepas dua kali tak jumpa simpang masuk, kata jurumekap Anis hari itu biarlah dia yang guide jalan, alih-alih tersesat lagi. Pusing punya pusing akhirnya baru jumpa. Itupun jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari (kalau shooting di ofis pasti sudah siap punye). Hati kami kecut juga bila memikirkan janji dengan empunya tempat yang sudah tersasar dari masa yang sepatutnya.
Sambil menunggu di luar pagar kediaman yang tersorok sepi dalam hutan pokok getah, mata terpandang papan kenyataan, 'Barangsiapa yang menceroboh masuk akan ditembak!' Ya Allah lagi menggeletar lutut semuanya...
Alhamdulillah, tuan rumah akhirnya mengalu-alukan kedatangan kami semua meskipun kami sudah terlewat. Berkejar dengan masa kami bergegas-gegas siapkan peralatan dan sebagainya. Sementara Si Gadis Melayu dimekapkan sempat berkenalan dengan pemilik kediaman yang sungguh unik dan penuh nilai estetik ini.
Memang berbeza sungguh pengambaran Cover Anis kali ini kerana dikelilingi hijau rimba. Dari atas anjung rumah kayu dari cengal terpilih setinggi 12 meter debaran kencang hati kami mula beransur tenang dan lega. Damai hati melihat hijau alam dari lambaian pohon getah dan pohon-pohon herba di sekeliling. Melihat tuannya pasti anda terkejut kerana pemiliknya lebih Melayu dari orang Melayu. Saya sendiri berasa teramat malu pada insan unik ini.
Dato' Prof. Hj Rudy Salinger ini dahulu warga Perancis sudah bermastautin 55 tahun iaitu sebelum zaman merdeka lagi. Pernah bertugas sebagai Pegawai British dan pensyarah. Sangat fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Sejak awal kedatangan kami diraikan sungguh-sungguh. Kudratnya masya-Allah. Setiap kali saya nak mengangkat barangan untuk prop dia berusaha mengangkatnya sendiri ke lokasi. Hatta kipas angin dari anjung biliknya pun diangkat sendiri. Walau termegah-megah dia akan berkata, "Tidak apa, biar saya buat sendiri."
Kecintaannya pada budaya dan adat resam Melayu sangat mengagumkan. Hampir setiap inci banglo kediamannya dihasilkan tukang rumah dari Kelantan. Ukiran cantik tertera di sana-sini memperlihatkan keindahan warisan Melayu yang jarang nak kita orang Melayu pertahankan. "Kerawang ini ukiran tangan Wan Su," katanya pada saya tika kami di tingkat atas. Setiap bahan yang ada di dalam rumahnya ada cerita tersendiri. Kalau nak ditulis boleh buat satu buku agaknya.
Aida si Gadis Melayu pun cukup kagum dengan Dato Rudy ini. "Dato' Aida cukup kagum dengan Dato. Rumah Dato' ni ibarat sebuah muzium yang menyimpan segala khazanah warisan alam Melayu."
Jam tiga petang kami beransur dari kediaman unik ini. Tapi pengambaran belum siap sepenuhnya. Kami beralih sebentar ke Teratak Hijjaz pula yang jaraknya tidak jauh dari situ. Beberapa shot diambil lagi berlatar belakang kehijauan alam pula yang menjadi tema resort ini. Walau perut lapar Si Aida Gadis Melayu tetap bertahan nak habiskan pengambaran.
Sehari suntuk mendapatkan sudut terbaik bagi cover kali ini kami semua beroleh satu kepuasan. Lapar, penat hingga tersesat jalan beberapa kali pun, itu semua jadi ilusi bila berjaya mendapat sudut rakaman terbaik sepertimana yang diiimpikan.
Buat Team produksi yang telah bertungkus-lumus pada hari itu khususnya jurufoto, Along dan Kak Ummu yang telah pertemukan kami dengan Dato' Rudy, juga buat Aida si Gadis Melayu yang cukup sporting dari pagi hingga petang, saya rakamkan ribuan terima kasih.
Tak lupa juga buat teman-teman lain yang banyak membantu proses penerbitan Majalah Anis dari awal hingga akhir khususnya Pojie DTP, artis kami yang sentiasa kreatif mereka bentuk majalah walaupun masanya amat suntuk sekali.
Hanya Allah dan Rasul yang menilai setiap titik usaha kita lakukan bersama. Semoga ia jadi saksi amal untuk kita hadapkan bersama di hadapan Rabbul Jalil di akhirat kelak.
Bergambar beramai-ramai di Teratak Hijjaz
Catatan perjalanan di pentas kehidupan, perkongsian dunia penerbitan dan penulisan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Catatan 17.10.2018
Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...
-
Jerit perih pasangan ini dalam menurunkan berat badan berbaloi malah usaha mereka kini menjadi penawar buat ramai insan lain yang mengalami...
-
Pada 8 hingga 12 Disember lalu, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke Beijing, China. Syukur, alhamdulillah. Sudah lama rasanya mahu menjej...
No comments:
Post a Comment