”Dan segala sesuatu Kami
ciptakan berpasang-pasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan
mentauhidkan Kami).” (Adz-Dzariyat 51:
49)
Fitrah
insan untuk saling punya pasangan memang diciptakan sejak kejadian Adam dan
Hawa. Apabila hati sudah berkenan – maka syariat hadir untuk mengindahkan lagi
perjalanan hidup bakal suami isteri yang akan memakmurkan bumi Allah ini dengan
generasi soleh dan solehah.
Selepas
melamar atau peminangan terjadi antara seorang lelaki kepada seorang wanita,
maka proses seterusnya ialah pertunangan. Perlu kita fahami, pada asalnya
majlis pertunangan bukanlah sesuatu yang dituntut. Ia lebih kepada adat
bertujuan untuk menyatakan bahawa kedua-dua pihak benar-benar serius dan
bersetuju untuk mendirikan rumah tangga pada satu masa yang persetujui bersama. Namun, ia tidak salah diikuti asalkan tidak bercanggah
dengan syariat Islam.
Hari ini kita melihat pelbagai fenomena terjadi dalam
masyarakat moden yang serba canggih dan ’advance’ dalam setiap perkara. Tujuan majlis
pertunangan dan pengisiannya tidak lagi seperti dahulu. Seingat saya, dahulu si
jejaka sama sekali tidak dibenarkan ikut serta.
Hari ini si lelaki dan
perempuan siap disandingkan di atas pelamin walaupun masih bukan mahram. Bagi
yang berkemampuan, mungkin mampu mengadakan majlis pertunangan secara
besar-besaran bak majlis perkahwinan. Malah, ada pula yang mengadakan majlis
pertunangan sejam sebelum majlis pernikahan berlangsung.
Seboleh
mungkin biarlah ia berlangsung dalam suasana sederhana. Tanpa pembaziran, tanpa
menyusahkan mana-mana pihak biarpun kita berkemampuan. Bayangkan berapa banyak
wang dibelanjakan demi sebuah majlis pertunangan? Itu belum lagi majlis
perkahwinan yang sudah pasti memakan belanja yang bukan sedikit. Begitulah yang
terjadi dan akan berterusan selagi mana kita bahagia melayani kehendak selera.
Apa
yang perlu dititikberatkan ialah pengisian kedua-dua belah pihak semasa tempoh pertunangan.
Sebagai orang tua, kitalah yang mengemudi hidup anak; pesan-pesankan agar
menjaga batas pergaulan kerana bertunang bukan ‘tiket’ halal untuk bebas
berdua-duaan. Pasakkan dalam fikiran agar sepanjang tempoh pertunangan,
beriltizamlah untuk mempersiapkan diri ke arah lebih baik sebelum menuju ke
gerbang perkahwinan.
Itulah
keutamaan yang perlu ditanamkan kepada kedua-dua bakal suami isteri agar rumah
tangga dibina kelak sentiasa dalam barakah-Nya. Moga-moga dengan pencerahan
Sumbu ANIS kali ini iaitu Saya Dah
Bertunang...! menjadi bekal bermakna sepanjang perjalanan. Keberkatan dalam
rumah tangga mesti diusahakan dengan menjaga sekecil-kecil perkara kerana insya-Allah,
nikmat ketenangan akan dirasai sepanjang usia perkahwinan.
Kepada pembaca setia ANIS, JANGAN lupa dapatkan naskhah terbaharu ini. Jika ada sebarang komen atau cadangan sila emelkan ke: majalahanis@yahoo.com atau shimahabdulrahman@gmail.com.