Tepat jam 1 tengahari. Saya dan empat rakan (Hjh. Aliyah,
Hjh Jalilah, Shamsiah Puad, Hapisah Dulasang) betul-betul tiba di hadapan
Masjid Sultan Singapura. Hari itu hari Jumaat, bacaan Quran berkumandang dan ramai jemaah lelaki sudah mula memasuki masjid.
Kami terus ke sebuah restoran di situ. Perut betul-betul
berkeroncong, maklum semenjak keluar dari penginapan di Raffles Town Club, tersesat barat kerana tersilap bas untuk ke Makam Habib Noh di Palmer Road, kami benar-benar terasa
keletihannya.
Tanpa peduli pada sekumpulan lelaki yang sedang rancak
berborak, kami lihat ada empat kerusi dikosongkan. “Encik boleh kami duduk di sini?”
tanya kami. “Oh, duduklah, mereka itu hendak pergi merokok saja,” ucap mereka
berbahasa-basi.
Sebaik dapat melabuhkan pinggul dan melepaskan lelah,
telefon Hjh Aliyah berdering. Terdengar dia bercakap-cakap dengan seseorang.
Dan selepas itu dalam nada cemas dia terus segera memberitahu, “Ustaz Rujhan sudah
meninggal dunia. Aina yang telefon memberitahu, katanya Cikgu (Tn Hj Abu
Hassan) sedang bersiap-siap mengumpulkan staf ke Jerantut, Pahang untuk majlis
pengkebumian.”
Agak terkedu kami semua yang mendengar. Ia sungguh
mengejutkan, maklum beberapa bulan lalu kami ada menziarahinya di rumahnya di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang. Masih terbayang wajahnya yang menitiskan air mata tatkala menguak pintu meraikan kedatangan kami.
"Hari ini ada orang-orang hebat dari Galeri Ilmu nak datang," pesannya pada ibunya.
"Hari ini ada orang-orang hebat dari Galeri Ilmu nak datang," pesannya pada ibunya.
Kami dijamunya sungguh-sungguh dengan ikan patin masak
tempoyak. Malah dibekalkan lagi ikan patin yang masih mentah. Masya-Allah begitu
murah hatinya. Dan sekali lagi kala kami menggamit pulang, dia sekali lagi
menitiskan air mata. Siapa sangka rupa-rupanya itulah pertemuan pertama dan terakhir kami di
rumahnya yang terletak berhampiran Kuala Tahan, walaupun banyak kali bertemu di
Kuala Lumpur bila dia ada urusan menyampaikan ceramah.
Apabila kami sampai di rumahnya, kami cukup jauhnya jarak dia berulang-alik ke ibu
kota apabila memenuhi jemputan ceramah. Kata penduduk kampung kalau nampak
kereta masuk lewat malam ke kampung tahulah mereka itulah kereta milik Ustaz Rujhan.
Malah kami diberitahu ibunya, kerana tidak tahan dengan jadual pendakwah ini yang keluar berdakwah awal pagi dan sampai semula waktu dinihari, pernah pemandu keretanya
berhenti kerja.
Seminggu sebelum dia pergi ke rahmatullah, saya sempat menghantar SMS
mengingatkan tentang deadline Majalah Anis setelah dia mula kembali rancak menulis. Sempat dia
membalas dan memberitahu akan keuzurannya. Saya jawab kembali, “Pembaca Anis
sentiasa menanti tulisan ustaz yang sangat bermakna itu.” Dan dia menjawab,
“Insya-Allah.” Jelas kesungguhannya untuk terus berdakwah biarpun kata isterinya dia agak uzur kebelakangan ini. Akalnya cergas namun fizikalnya tidak mampu bertahan lagi. Dan sebelum melafazkan nafas terakhir dia sempat menitipkan kata-kata motivasi buat anggota keluarganya, "Allah tarik sedikit nikmat dunia untuk beri lebih banyak di akhirat."
Sempat mempromosikan Majalah QA. |
Kami berkesempatan bertanya khabar melalui ibunya. Rumah Ust Rujhan dan rumah kedua-dua ibubapanya dan adik-beradik lain berdekatan. |
Menurut ibunya, anaknya ini memang ulat buku dari usia kecil lagi. |
Kami dihidangkan dengan masakan istimewa negeri Pahang - ikan patin asam tempoyak. Berselera kami makan apatah lagi diganding bersama sambal bilis belimbing buluh. |
Kenangan terakahir - foto yang mahu dimasukkan dalam Anis tetapi terlupa hingga ke sudah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham. |
Untuk anda pembaca setia Anis, dapatkan bingkisan sajak khas
yang ditulis Sdra Zuraimi Ismail kepada Ustaz Rujhan yang dianggap mualim dan
juga teman rapatnya. Dapatkannya dalam Anis Mei 2013 ini di mana beliau sempat
menukilkan artikel terakhir dalam ruangan Kata & Makna.
Al-Fatihah untuk insan yang
bersama-sama kami dalam perjuangan Anis selama ini. Mudah-mudahan Allah
melapangkan kuburnya dan rohnya digolongkan bersama orang-orang yang soleh.
Amin.