November 13, 2009

Sms dari Jabal Uhud


Jabal Uhud, bukit kecintaan Nabi Muhammad SAW kini sentiasa dikunjungi penziarah umrah dan haji untuk diambil ibrah dan pengajarannya.
Suasana Maqam Syuhada Uhud yang menempatkan makam 70 orang sahabat Nabi yang gugur termasuk Saidina Hamzah, bapa saudara Nabi SAW.

10 November 2008:
Saya masih ingat satu kejadian menarik yang berlaku pada pagi 10 November 2008. Ketika itu saya sedang menerima seorang tetamu di pejabat GISB, penerbit Majalah ANIS dan ASUH. Tetamu itu ialah Farah Adeeba Mohd Ashraf, pengacara TV3 dan TV9 yang diundang sebagai Penghias Kulit Majalah ANIS Januari 2009.
Sedang sibuk membuat persiapan yang sepatutnya, saya menerima satu sms. Saya buka kotak simpanan dan mula membacanya:
"Sebelah tangan ku hulur ke dalam Maqam Syuhada Uhud, udaranya sejuk nyaman. Sebelah lagi tanganku berada di luar, udaranya panas. Air mataku berlinang. Semangat syuhada Uhud masih hidup..."
Berderau hati membacanya. Bulu roma terus meremang. Lalu saya unjukkan sms itu kepada Farah Adeeba dan Awin, jurusolek bertugas hari itu.
"Masya-Allah!" Kami beberapa kali bertasbih memuji kebesaran Ilahi yang ditujukan buat Hajah Jalilah Abdullah yang ketika itu berada di Tanah Suci.
Sms itu cukup bermakna bagi saya kerana ia memberi kekuatan buat diri saya. Baik yang pergi haji atau yang tinggal di tanahair tetap diberi ujian oleh-Nya. Kerana ia begitu bermakna sms itu saya simpan dan baca semula di musim haji tahun ini. Moga-moga kita terus diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan dengan mata pena hingga ke akhir hayat.

Cerita lengkap mengenai sms ini ditulis oleh Hajah Jalilah Abdullah dalam ruangan Corat-coret Majalah ANIS November 2009 ini:
"Cuaca pada pagi itu agak panas, tatkala para jemaah sibuk membeli-belah pelbagai jenis herba di sekitar kawasan Bukit Uhud itu, saya mengambil peluang untuk berdoa bersendirian di hadapan maqam syuhada.
"Jalilah, cuba rasa udara dalam ni sejuklah." Jemaah bernama Noraziah Alias menghulur kedua-dua belah tangan ke dalam kawasan maqam syuhada. Dia adalah kenalan saya sejak di bangku persekolahan menengah. Tak sangka kami bertemu kembali dalam penerbangan yang sama.
"Betul Jalilah, cepat cuba rasa, udara dalam maqam ni sejuk, di luar ni panas," sampuk Hajah Zubaidah, sahabat baik Noraziah.
Saya segera memasukkan dua tangan ke celah-celah lubang jaring maqam. Memang terasa udara di dalam kawasan maqam tanpa berbumbung itu cukup sejuk dan berangin. Saya keluarkan tangan kanan untuk merasakan perbezaan angin tempat kami berdiri. Memang angin yang berbuai di luar terasa panas sedang tangan kiri saya sejuk dibuai angin bumi pemakaman para Syuhada yang diketuai oleh Sayidina Hamzah, bapa saudara Rasulullah SAW.
Saya terus berdoa dalam rembas air mata yang cukup deras. Saya berdoa semahu-mahunya, "Ya Allah dengan berkat Bukit Uhud yang menjadi saksi kehadiranku di sini, ampun hamba-Mu ini, ahli keluarga dan sahabt-handai serta seluruh jemaah haji yang datang menziarah bukit yang dijanjikan syurga ini. Bukit kecintaan Rasul kesayangan-Mu. Ya Allah, terima kasih kerana menjemput kami menjadi tetamu di rumah-Mu dan rumah Nabi-Mu. Kurniakan kami haji mabrur. Ya Allah, bersaksikan Jabal Uhud dan maqam para syuhada, hamba-Mu merayu sesungguh-sungguhnya. Engkau tiupkanlah semangat roh para syuhada, semangat Sayidina Hamzah ke dalam diriku agar berjuang bersungguh-sungguh menegakkan agamamu. Jadikanlah hati ini sentiasa berzikir dan berselawat setiap kali merakamkan gambar. Bantulah hamba-Mu ini agar dapat merakam gambar yang elok-elok, yang dapat mendidik jiwa manusia yang menatapnya. Hamba-Mu ini tak kuat ya Allah. Ya Allah, berilah hamba-Mu kesihatan yang baik setegap Sayidina Hamzah agr dapat ,menyempurnakan ibadah dan tugas dengan baik. Hamba-Mu insan yang daif yang tak punya apa-apa. Wahai kamera, wahai komputer, kita bekerja kerana Allah dan Rasul, engkau jangan meragam ya."
Saya memeluk erat kamera dan beg galas yang berisi komputer riba. Selepas berdoa saya dna teman-teman terus melangkah ke bas. Saya terasa seperti diberi satu kekuatan baru dan berjanji tidak akan mengalah dengan setiap cabaran yang dihadapi kerana yakin Allah memberi petunjuk..."

November 10, 2009

Di Sebalik Eksklusif Haji Majalah ANIS


Sekian lama menyepi, saya ingin menulis lagi. Mencatat satu persatu peristiwa yang saya alami sepanjang berkhidmat dengan Majalah ANIS - majalah kesayangan saya dan anda semua.
Saya rasa anda sudahpun membeli Majalah ANIS Keluaran November 2009. Sudah pasti anda sudah tahu siapakah Penghias Wajah Kulitnya iaitu Qariah Dunia Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa. Tepat pula dengan FOKUS Majalah ANIS iaitu HAJI MUDA: CABARAN DAN HARAPAN YANG DITINGGALKAN, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman al-Yahya juga bakal menyahut panggilah Baitullah bersama ibu, abang dan sepupunya tidak lama lagi.
Saya yakin anda mungkin sudah menghadam satu persatu maklumat dalam ruangan Eksklusif Haji yang kami ketengahkan bulan ini. Bagi saya yang belumpun diizinkan Allah untuk menjadi tetamu-Nya cukuplah saya katakan rasa syukur yang tidak terhingga kerana sepanjang terlibat mendapatkan kajian dengan menginterbiu responden tentang isu Haji, begitu banyak ilmu yang saya kecapi.
Untuk pengetahuan anda semua, Majalah ANIS mula mengetengahkan isu Haji bermula isu Disember, 2008. Atas kerjasama erat yang terjalin dengan Lembaga Tabung Haji ketika itu banyak panduan dan pedoman kami perolehi buat tatapan para jemaah haji sekalian.
Namun usaha itu bukanlah semudah yang anda sangka. Bayangkan hanya dalam masa seminggu kami ditugaskan menginterbiu kesemua responden. Ia memang cukup melelahkan apalagi untuk diterjemahkan dalam bentuk tulisan yang mudah dibaca dan difahami khususnya jemaah haji yang bakal berangkat ke Tanah Suci.
Sesi fotografi untuk Penghias Kulit Dalam yang terdiri daripada tiga kakitangan Tabung Haji juga begitu mengujakan. Manakan tidak, jam 8 pagi kami sudah terpacak di bangunan Tabung Haji. Proses persiapan touch-up muka sahaja dibuat dalam masa setengah jam sahaja. Proses shooting juga selama setengah jam dan di celah-celah itulah saya menginterbiu mereka seorang demi seorang. Apabila difikir-fikirkan betul-betul 'unsangkarable'. Jam 10 pagi siap selesai semuanya dan kami kendong bersama-sama peralatan shooting yang dibawa.
Tapi kami yakin semua kerja-kerja ini adalah satu jihad. Di sebalik kepayahan yang timb atas ul saya mengerti akan kepayahan dan pengorbanan petugas-petugas Tabung Haji dalam memastikan jemaah haji selamat pergi dan selamat pulang semula ke tanahair. Saya hargai pengalaman ini kerana di sebalik kelelahan kami tidak sebanding dengan kerja-kerja belakang tabir petugas-petugas Tabung Haji yang sanggup berkorban masa dan tenaga, bekerja siang malam khususnya di Tanah Suci demi keselesaan seluruh jemaah haji. Bagi saya, para jemaah haji sekalian harus merafak rasa syukur kerana kita memiliki satu institusi haji yang terunggul malah dipuji oleh seluruh dunia.
Tahun itu juga mencatat sejarah buat Majalah Anis dan syarikat Galeri Ilmu Sdn Bhd apabila tujuh orang staf dipilih untuk menjadi petugas Tabung Haji dengan tugasan merakam perjalanan jemaah haji sepanjang berada di Tanah Suci. Yang lebih menarik lagi, Editor Anis iaitu Hajah Jalilah Abdullah dilantik sebagai jurufoto untuk Tabung Haji Travel & Tours. Satu rekod sejarah bagi saya kerana sebelum ini tidak pernah ada jurufoto wanita bertugas di sana, apalagi di musim haji yang mana jutaan umat berkumpul dalam satu masa. Ini juga satu pengalaman yang cukup mahal kerana kita berjaya merakam gambar-gambar eksklusif di musim haji.
Hasil pengalaman kakitangan yang menjejak kaki ke Tanah Suci, mereka lihat tip dan pedoman yang dipaparkan dalam Majalah ANIS isu ditampal di dinding-dinding hotel kediaman para jemaah haji. Syukur Alhamdulillah...


ANIS November 2009:
Musim Haji 1430 Hijrah - Sekali lagi ANIS mengetengahkan isu Haji kerana hasil pengalaman dan pengamatan kakitangan yang telah pergi menunaikan haji, masih banyak isu-isu mengenai ibadah Haji yang perlu didedahkan. Antara isu yang sering dipinggirkan para jemaah haji ialah soal solat. Jangan terkejut andainya kami paparkan antara kesilapan para jemaah haji ialah meninggalkan solat dalam perjalanan pulang dari Tanah Suci walhal baru saja mendapat 'title' haji. Ramai yang tidak tahu ia boleh diganti dengan solat hormat waktu.
Namun ada satu kejadian menarik yang berlaku tahun ini. Semasa proses awal iaitu di peringkat 'brainstorming', seorang pemanggil wanita menelefon Majalah ANIS. "Puan, apa kata Majalah ANIS beri panduan untuk orang-orang yang ditinggalkan pula. Selalu dalam mana-mana buku atau kursus panduan hanya diberi untuk jemaah haji sahaja, bukan pada orang-orang yang bakal ditinggalkan," suara seorang ibu kedengaran di hujung di talian.
Rupa-rupanya wanita ini menempuh satu dugaan yang begitu hebat selepas pulang dari Haji. Hasilnya rintihan dan harapannya itu kami garap dalam Fokus Utama iaitu HAJI MUDA: CABARAN & HARAPAN YANG DITINGGALKAN. Ia bagaikan menjawab persoalan ibu muda ini yang diuji apabila anaknya diperkosa oleh datuk sendiri. Akibat kes ini, rumah tangganya pula berantakan dan runtuh kerana suami tidak percaya dengan dakwaannya itu. Namun selepas berpisah ibu muda ini terus diasak dengan ujian apabila disahkan mengidap barah. Berkat tidak berputus asa dan yakin dengan kebesaran Allah, dia menemui penawar dengan hanya memakan buah pecah beling. Rinitihan kisahnya hanya didengari dari corong telefon dan kami masih belum berkesempatan menemui ibu muda ini.
"Saya kini menjadi insan yang sentiasa reda dan pasrah dengan Allah Taala," ulasnya tenang kerana yakin Allah mahu menguji keimanan dan ketakwaannya.
Alhamdulillah, di celah-celah kesibukan selepas menyiapkan EKSKLUSIF HAJI kali ini, saya sempat lagi memenuhi undangan teman-teman yang bakal berangkat ke Tanah Suci. Gembira rasa hati apabila ramai teman-teman seangkatan usia saya sudah pun menempah tiket menjadi 'tetamu Allah' di musim Haji ini.
Namun dalam ramai-ramai teman itu, saya mendapat respon positif tentang isu Haji yang kami paparkan bulan ini. Puan Siti Hajar Mohd Jamil mesra dipanggil dengan panggilan Siti Salon memberitahu saya, "Terimakasih kepada ANIS kerana isu bulan ini begitu padat dan banyak tip serta panduan untuk jemaah Haji yang pertama kali akan berangkat ke Tanah Suci seperti saya. Saya dah pun buat kenduri dan buat wasiat bertulis kepada keluarga dan sahabat handai sepertimana disaran oleh Dato' Ustaz Daud Che Ngah itu. Apa yang merisaukan saya bukan saja keselamatan anak-anak saya tapi saya juga keselamatan 150 orang anak-anak jagaan saya (pelajar-pelajar MLVK Akademi Siti Salon di Manjung,Perak)."
"Insya-Allah, saya rasa nak beli banyak sebab nak bagi hadiah untuk kawan-kawan lain yang pi Haji,' ujarnya di hujung talian. Ketika itu dia dalam perjalanan ke rumah dari Ipoh.
"Alhamdulillah, kak. Apa yang kami paparkan itu adalah hasil pengalaman kawan-kawan yang sudah pergi haji. Semoga yang baik dapat diambil manfaatnya," celah saya pula. Ketika menutup talian telefon, saya termenung seketika. Rasa terharu sekali. Tidak tahu hendak diungkap bagaimana. Tapi cukuplah saya memetik kata-kata insan tentang erti kepuasan dalam hidup ini: "Hidup ini akan menjadi lebih bermakna apabila kita dapat memberi makna pada kehidupan orang lain."

SAYA DOAKAN SEMOGA PARA JEMAAH HAJI SEKALIAN BAKAL BEROLEH HAJI YANG MABRUR. AMIN...

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...