March 29, 2009

Payung Siapa Paling Cun?




Gaya para peserta mewarnakan payung masing-masing

Saban tahun saya akan ke Kompleks Kraftangan, di Jalan Conlay. Sudah jadi rutin saya ke sini. Sama ada untuk acara perasmian atau mengambil gambar dekorasi berteras kraf tempatan. Tahun ini tidak sempat pula saya. Hajah Jalilah meminta jurufoto baru kami bernama Anis ke sana seorang diri.
Sabtu minggu lalu sebelum Hari Kraf berakhir saya ajak anak-anak saya berkunjung ke acara Hari Kraf Kebangsaan 2009 yang bermula 18 Mac lalu. Mula-mula mereka semua tak nak maklumlah anak-anak remaja zaman ini. Tapi akhirnya dalam paksa rela semuanya berangkat pergi. Bukan apa nak sama ajak mereka hayati keindahan kraftangan negara. Tak perlulah nak berbangga dengan produk luar negeri tu. Produk tempatan tak kurang hebatnya. Juga nak educate anak-anak how to be creative, bagi kain jadi batik, bagi kayu atau batu jadi kerawang, bagi daun mengkuang jadi tikar, bagi apa saja semuanya jadi benda kreatif. Semuanya boleh buat duit, pokok pangkal tanya diri.
Beberapa kali tawaf akhirnya kami pun dah nak balik, guruh di langit pun dah berdentum-dentum tanda hari nak hujan. Tapi anak lelaki bongsu kami, Ali Adli merengek-rengek nak menyertai pertandingan mewarna ukiran. Jadi kami pun berpatah semula ke tapak khemah. Rupa-rupanya di situ sedang berlangsung pertandingan mewarna payung. Tak tahu macam mana kami pun terjoin sama. "Masuk kak, menang ke tidak semua dapat hadiah. Payung pulak boleh bawa balik," kata petugas di situ. Kami pun ambil warna dan mula melukis...Emm nak lukis apa ye? Maklumlah selama ni asyik pegang pen dan buku nota, juga keyboard komputer tiba-tiba dapat berus dan warna. Seingat saya kali terakhir pegang berus lukisan masa zaman sekolah dulu.
Anak beranak siapkan mewarna. Masa diberi satu jam saje...
Selesai melukis, payung tu diserahkan pada para petugas untuk diadili para juri yang arif lagi bijaksana. Berdebar-debar juga rasa hati sebab semua payung cantik-cantik belaka. Tak sangka payung kami tu jadi 'Top Five' pula. Kira-kiranya kami ni berbakat jugaklah jadi artis ye. Lepas ni boleh lah pencen jadi wartawan...

Hasilnya inilah keputusan yang diambil para juri yang bijaksana.
Payung Keluarga Ismail dapat no. 5
Pemenang no 4,3 dan 2.

Pemenang pertama Payung paling cun. Memang cantik, temanya gula-gula dan candi.
Maaflah Amoi akak tak sempat nak interbiu korang semua sebab lepas tu hujan turun berderu-deru. Semua peserta cabut lari bersama payung masing-masing termasuklah kami. Tahun depan kita jumpa lagi...

March 20, 2009

Yang datang dan yang pergi

Yang Datang:
Lama tidak pulang ke kampung halaman, saya cuba mencuri masa di celah-celah deadline baru majalah yang bakal tiba. Atas satu niat; menunaikan hajat ayah bonda, menunaikan hajat anak-anak yang kerinduan kasih sayang opah dan atuk dan juga menunaikan hajat diri sendiri yang sekian lama dipendam. Jika difikir-fikirkan kerja ofis sampai bila-bila pun takkan habis...
Kali ini rumah ayah dan bonda kembali berseri bukan saja dengan kehadiran cucu-cucu (anak-anak saya) tapi ada cucu baru yang baru menjengah dunia. Seronoknya dapat mencium wajah ahli syurga; Nur Izzati, yang lahir 20 Februari lalu dan kini tersenarai sebagai cucu termuda bagi Hajah Zamimy Hj Mohd Noor dan Hj Abdul Rahman Kulop Karim. Apa lagi saya bertambah kasihan melihat jadual emak yang lebih sibuk dari biasa. Selama ini puas Opahnya bersilat menangani kerenah Nur Izzah, kakak Nur Izzati yang teruja benar kerana mendapat saingan baru dalam merebut kasih sayang ayah ibunya.

Yang bakal datang:
Dalam sibuk menghabiskan cuti (untuk mendapat kesegaran baru) saya dan famili sempat juga bertandang ke majlis kenduri di Kg. Jalong, Sg. Siput. Rumah bisan emak yang lama sudah tidak dikunjungi meriah kembali setelah sekian lama tidak ada majlis perkahwinan. Sambil duduk bersembang bersama saudara-mara yang lama tak bersua muka, kami nikmati nasi minyak seterusnya makan pencuci mulut; bubur kacang dan ais krim. Alhamdulillah pulang bercuti dapatlah saya menghadiri kenduri kahwin di kampung, meskipun ada banyak lagi undangan kenduri kahwin yang diterima di ibukota. Biasalah musim cuti-cuti begini, banyak majlis kenduri kahwin diadakan di sana-sini. Agama mewajibkan kita memenuhi undangan perkahwinan sebagai lambang kita meraikan bersatunya sebuah ikatan suci antara dua hati. Perkahwinan yang menjadi pencetus kelahiran insan-insan baru bakal memeriahkan dunia ini...

Yang Pergi:
Baru dua hari memulakan kerja, saya kembali bergelut menyiapkan artikel yang perlu disiapkan. Petang Khamis saya mendapat sms dari teman berbunyi, "Salamah isteri Azam, teman lama kita sudah meninggal dunia petang tadi. Esok akan dikebumikan di Tasik, Ipoh." Tersentak hati membacanya, maklum saya dahulu pernah tinggal serumah dengannya. Masih terbayang sifat baik dan kelakarnya seorang teman yang kini sudah dipanggil Ilahi. Walaupun asal satu negeri, saya sudah lama terputus hubungan apalagi masing-masing sibuk dengan dunia kerjaya masing-masing. Hanya al-Fatihah mampu dihulurkan sebagai ingatan untuk mereka yang telah pergi...

Dunia ibarat sebuah terminal. Tempat di mana kenderaan datang dan pergi silih berganti. Begitulah juga dengan diri kita sebagai insan ciptaan-Nya. Datang dan pergi kita bagai sudah tersurat dan dijanjikan. Yang bakal dan sudah datang tetapkan tiba pada masa yang dijanjikan. Yang pergi sudahpun menunaikan janji-nya, tinggal kita yang masih diberi ruang masa untuk terus menunaikan janji sepertimana dimeterai dari alam ruh lagi, "Kami bersaksi bahawa Engkau adalah Tuhan kami."

March 19, 2009

Signal dari Siapa?

Malam itu usai mengaminkan doa, hati terasa sungguh sayu. Aura Malam Sinar Maulidurrasul 1430H yang saya hadiri bersama teman-teman Team Anis (yang bertugas membuat liputan) masih berbekas di hati. Ya, baru tersedar tinggi rendah iman yang bagaikan bermusim.

Baru tersedar di hati ini terlalu sedikit ruang yang diperuntukkan untuk menyemai sebuah cinta hakiki. Masih banyak karat dosa-dosa hingga menutup kalbu untuk selalu mengingati dan menyebut-nyebut namamu Ya Rasulullah.

Malam itu juga ketika hati dalam gelombang alfa, janji diri bersaksikan Kaabah dan Maqam Nabi,untuk sering mengingati dan mencintaimu Nabi terkenang kembali dalam sanubari. Peliknya mengapa hati yang subur dengan cinta ketika itu suram apabila kembali semula ke tanah realiti?

Tiba-tiba saya teringat kembali lembaran selawat yang dihadiahkan Haji Ridwan Amirulsalleh, mutawif saya dan rombongan sewaktu umrah pada Mac 2007. Lembaran selawat karangan tuan gurunya dari Banjamasin, Indonesia dan dikepil pada kami semua untuk jadi amalan apabila pulang kelak ke tanahair. Hadiah untuk kami agar sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW.

Masih saya ingat, selawat itu agak unik kerana ia menceritakan keistimewaan peribadi Rasulullah SAW yang tidak pernah saya dengar dan baca selama ini. Maka saya pun mencari-cari di mana saya letakkan lembaran selawat itu. Tapi malangnya tidak jumpa hingga kesudah. Saya termenung jauh. Dengan berselawat dan memohon doa dengan keberkatan baginda SAW, saya berharap moga-moga saya dapat berjumpa semula dengan lebaran selawat istimewa itu.

Keesokannya, petang Khamis Ustaz Ahmad Lutfi datang ke pejabat kami. Sebelum memulakan kuliah dihadiahkan kami seorang satu kitab kecil berjudul 'Selawat Pilihan'. Termenung seketika saya menatap kitab kecil ini, sambil mengimbas semula doa dan rintihan malam sebelumnya.

Masya-Allah, begitu cepat permintaan diri ini didengari dan dikabulkan. Satu persatu rahsia dan kelebihan selawat yang terdapat di dalam kitab kecil itu diperjelaskan. Menurut tuan guru muda ini, terdapat bermacam selawat. Selawat pertama elok diamalkan ialah Selawat Ibrahimiah yang sering kita baca dalam Tasyahud Akhir.

Kata beliau lagi, selawat ini Rasulullah SAW sebutkan dalam solat sebagai tanda baginda Nabi tidak lupa pada nenek moyang baginda iaitu Nabi Ibrahim a.s.

Khamis seterusnya, Ustaz Ahmad Lutfi datang lagi. Tapi kali ini beliau menceritakan tentang mukjizat dan keistimewaan Rasulullah SAW. Menurut beliau, terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan Rasulullah SAW yang jarang dirungkai dan disingkap oleh umat Islam hingga menjadikan diri kita terlalu jauh dengan baginda. Kisah-kisah seumpama ini jarang pula kita kongsikan bersama anak-anak. Maka tidak hairanlah kalau mereka juga tidak kasih dan rindu pada Rasulullah SAW. Sedangkan diri baginda punya 1001 keistimewaan melebihi keistimewaan 'Superman' yang anak-anak kita agung-agungkan itu.

Kitab 'Selawat Pilihan' mengandungi 30 selawat yang dikumpulkan oleh Al Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad Ibn Alawi Al Maliki Al Hasani ini bukan saja sebagai hadiah istimewa di bulan Rabiulawal ini tapi juga satu 'signal' untuk diri ini untuk terus mengingati dan memuji-muji (berselawat) baginda Rasulullah, Sayidina Muhammad Sallahualaihi wassallam.

p/s: Insya-Allah, Kelebihan dan keistimewan Rasulullah SAW ini akan saya kongsikan bersama untuk manfaat kita bersama apabila ia lengkap dikuliahkan kelak...

March 13, 2009

Maulid Nabi Era Baru


Suasana di Malam Sinar Maulidurrasul 1430 H di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini.

Jam menunjukkan pukul 12 malam, mata saya sudah tidak dapat dibuka lagi, tapi ditahan-tahan sebab ada tanggungjawab rasmi belum ditunai lagi.
Malam itu saya sudah terbayang-bayang bantal empuk di rumah. Penatnya usah dikata.
Oh bayangkanlah dari jam 9 pagi lagi, saya dan teman-teman Team Anis sudah terpacak awal di pagi Sabtu untuk membantu mengendali Bengkel Sihat Anggun Dari Wanita Untuk Wanita. Bengkel anjuran Majalah Anis ini menjemput tokoh perubatan tradisional Melayu iaitu Datin Sharifah Anisah Syed Agil Barakbah, Pengerusi Kumpulan Nona Roguy. Belum puas menimba ilmu dari nenek anggun ini saya dan teman terus mengikut jurufoto ke Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.
Waktu itu rasa letih usah dikata tapi memikirkan misi kami ke sini lebih besar iaitu untuk merakam suasana Malam Sinar Maulidurrasul 1430 H, saya tabahkan hati.
Malam sebelumnya tatkala melihat suasana sekitar rehearsal, kami sempat bertanya Ketua Kumpulan Rabbani, Ust Asri Ibrahim. Katanya dia dan teman-teman sudah berkampung sejak beberapa hari lagi menjelang MSM. Bagi kami yang bergerak dalam media berasaskan dakwah program seperti ini sewajarnya mendapat liputan di ruang halaman Majalah Anis.
Bekerja di belakang tabir, tidak terasa masa berlalu begitu pantas. Bersama teman-teman media yang lain, kami dapat juga menyelitkan diri untuk mengadakan sesi temubual bersama artis-artis yang menjayakan program yang gilang-gemilang ini. Siapa yang tidak kenal dengan artis no. 1 negara iaitu Datuk Hajah Siti Nurhaliza, Mawi, Amy Search dan Akhil Hayy yang punya nama dalam genre muzik masing-masing tapi malam itu mereka semua bersatu demi membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW. Satu gandingan nama yang hebat dan mantap bersatu di atas pentas menjadi petanda bermulanya revolusi baru dalam acara maulid Nabi yang sebelum ini dilakukan secara tradisi di surau-surau dan di masjid-masjid.
Pujian juga harus diberikan kepada Dato' Ustazah Siti Nor Bahyah Mahmood. Kepetahan beliau menghidupkan suasana. Kisah sirah junjungan Nabi yang disampaikan begitu menghayat hati para hadirin hingga ramai yang menitiskan air mata ketika dikisahkan detik-detik kewafatan Rasulullah SAW.
Tahniah diucapkan buat Kumpulan Rabbani yang telah mula mengorak langkah pertama di tahun 2006. Semoga penganjuran kali kedua ini dapat dilakar kembali untuk tahun-tahun seterusnya.

p/s: Majalah Anis turut merakam suasana Maulid Nabi di sekitar tanahair dan di luar negara. Jangan lupa dapatkan Anis keluaran Mei 2009 nanti...

March 11, 2009

Salam Maulidurrasul 1430 H

Suatu ketika dalam perjalanan pulang dari Sabak Bernam, Selangor saya dan famili berhenti untuk solat Isyak. Jam 9.30 malam, masjid sudah lengang. Usai mengaminkan doa, sayup-sayup terdengar di cuping telinga suara-suara indah mengalunkan maulid barzanji. "Tentu persiapan untuk acara maulid tidak lama lagi," cetus hati ketika itu.

Syukur, tradisi membaca maulid yang diperturunkan oleh generasi ke generasi masih bertahan demi niat memuliakan kekasih Allah, Muhammad SAW. Meskipun ada suara-suara sumbang menuduh amalan maulid ini satu perkara bidaah, namun masih ada generasi yang teguh mempertahankannya berdasarkan hujah aqli dan naqli.

Rasionalnya, ketika hayat baginda, baginda pernah ditanya, "Ya Rasulullah, mengapa engkau suka berpuasa pada hari Isnin?" Jawab baginda dengan nada gembira,"Kerana sesungguhnya hari Isnin adalah hari kelahiranku dan hari mula-mula wahyu turun kepadaku."

Andai semasa hayat, Rasulullah SAW meraikan sendiri hari kelahirannya iaitu dengan berpuasa, maka amat wajar kita sebagai umatnya dan tidaklah menjadi kesalahan kita untuk meraikan kelahiran baginda SAW. Kerana Rasulullah SAW adalah segala-galanya, baginda dilahirkan sebagai penyuluh jalan, pembimbing dan penyelamat umat manusia di dunia dan akhirat.

Dalam buku Maulid Nabi dalam neraca Nabawi yang dikeluarkan oleh Syeikh Fuad b. Kamaluddin al Maliki, kita boleh dapat penjelasan yang panjang lebar hujah-hujah yang membolehkan amalan Maulid.
Maulid dalam bahasa Arab bermaksud waktu atau tempat kelahiran. Dari sudut istilah ia bermaksud, majlis perkumpulan orang ramai, bacaan ayat-ayat al-Quran meriwayatkan hadis-hadis berkaitan tentang kelahiran seseorang nabi dari kalangan para nabi atau seorang wali dari kalangan para wali, ataupun majlis untuk memuji perbuatan dan perkataan mereka.

Erti kata lain, maksud meraikan atau menyambut maulid ialah membesarkan para nabi, wali-wali dan orang-orang soleh berdasarkan firman Allah:

"Dan sesiapa yang memuliakan syiar (tanda-tanda) Tuhan, sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi dari hati yang bertakwa kepada Allah."

Apa yang boleh kita fahami dari sini, acara maulid ini bertujuan positif. Selain membesarkan syiar Islam, natijahnya ia memberi kesan positif pada kemantapan jiwa dan pemikiran umat Islam sepertimana firman Allah dalam surah Hud ayat 120:

"Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya."

Sesunggguhnya 12 Rabiulawal adalah hari kemuncak kita melahirkan rasa cinta dan sayang kepada Sayidina Muhammad, penghulu segala nabi dan kekasih Allah yang kelahirannya dinanti-nanti seluruh alam.

March 03, 2009

Pokok Misai Kucing yang Unik


“Apa nama pokok ni?”
“Inilah pokok misai kucing.”
“Eh! Pokok misai kucing bukan macam ni..”
“Betul, pokok misai kucing tapi versi Indonesia, menurut cerita pemilik asal tanah ni ia diambil di laman Suharto, mantan Presiden Indonesia,” jelas En. Mazlan Omar sewaktu Team Anis mengunjungi Teratak Hijjaz yang terletak di Sg. Merab, Bangi. Dahulu ia dikenali dengan Astana Dugang Country Resort.
Pokok misai kucing yang berjurai-jurai panjang ini menjadi satu tarikan semulajadi buat para pengunjung ke sini. Team Anis sempat melihat pokok misai kucing yang unik ini. Batangnya kecil saja tapi misai (juraiannya) panjang sungguh. Alhamdulillah, sekian lama diajak oleh Kumpulan Hijjaz, baru ada kesempatan untuk menjengah. Itupun lepas habis deadline. Kata Encik Mazlan, yang merupakan Pengurus Teratak Hijjaz misai kucing ni boleh dibuat ubat, tapi kami tak tahu pulak bagaimana dosnya. Orang-orang tua pesan jangan pandai-pandai nak makan ubat herba ni, kena tahu dos-dosnya. Silap haribulan lain pulak jadinya...

En. Mazlan: Kuat ni! Kalau nak bergayut macam Tarzan pun boleh...

"Bestnya kalau hari-hari duk kat sini. Macam-macam artikel boleh buat ni..."

Pond-trekking sambil menikmati keindahan flora dan fauna

Sehari kami berada di sini hati rasa sungguh ceria. Ya lah asyik terperap menatap komputer dan keluar cari ‘assignment’ di sana sini, fikiran kita pun boleh buntu dibuatnya. Sesekali nak berehat jugak. Walaupun begitu sempat jugak kami ambil gambar masakan untuk Aroma Dapur Anis. Bagi anda yang berminat menikmati masakan asli ala kampung bolehlah menjengah di sini. Tak jauh tempatnya hanya 7 minit sahaja dari Alamanda, Putrajaya. Anda pasti merasai suasana rimba di tengah kota. Selamat Berkunjung...

Menikmati hidangan ala kampung di Restoran de Desa, Teratak Hijjaz.

p/s: Nak lihat gambar-gambar menarik di Teratak Hijjaz, sila dapatkan majalah Anis bulan April 2009.

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...