January 22, 2009

'Camping' di PD


Sudah lama saya tidak ngeblog malah kalau dihitung-hitung masanya saya sendiri hampir terlupa saya punya blog yan perlu di ‘up date’ dari masa ke semasa. Disember 2008 memang meributkan. Tanggungjawab di bahu datang bertimpa-timpa. Semenjak Kak Jalilah bertugas di Makkah, saya diminta memangku tugasnya itu. Memang saya tidak punya banyak masa untuk ngeblog (rasanya istilah ni tiada dalam Kamus DBP tapi saya pinjam dari satu blog sahabat).
Kekangan tenaga yang sedia sedikit jumlahnya, kerana sebahagiannya sudah diserap dalam Jabatan Buku, tinggallah saya, Rosmah dan Kak Shamsiah. Mujur Ummu Hani menjadi wartawan Anis di awal Disember, kami tenaga-tenaga Tim Anis agak terbantu.
Dalam mengejar dateline (rasanya dateline yang mengejar kami) saya hampir terlupa bahawa Disember adalah musim cuti sekolah.

“Ummi bila nak balik kampung?” Tanya anak bongsu saya suatu ketika. Tak sanggup melihat wajah-wajah mereka yang boring melihat wajah kepenatan ibu ayah maka saya hanya mampu merancang ke sebuah destinasi popular saya iaitu PD. Cadangnya nak balik kampung di Ipoh langsung ke Pangkor tapi jadual kerja suami pula bertindih. Saya dapat cuti dia pulak banyak kerja, bila saya sambung kerja dia pulak boleh bercuti. Ah tensionnya…apapun syukurlah dapat pergi PD pun jadilah. Apa nak dikato…
Jadi inilah catatan saya semasa ber’camping di PD penghujung Disember 2008.


Sebaik saja tingkap kereta dibuka, bayu PD mula menderu masuk. Nyamannya. Apa lagi matapun mulai layu. Mengantuk! Mana tidaknya, malam sebelum itu saya sibuk membeli barang keperluan untuk ke PD. Saya bersama suami dan teman, Suriati borong sakan hingga jam 12 malam di Giant, Kota Damansara.
Kali ini masuk kali kedua saya dan famili berkhemah ke PD. Kali pertama awal tahun lepas. Masa itu masih ingat lagi saya tak dapat ikut teman-teman sekerja ke PD untuk Staf Day. Ditakdirkan anak saya demam panas, jadi terpaksalah saya berkorban rasa. Seminggu kemudian nak ubati hati, suami dan anak-anak beria-ria ajak ke PD. Tapi yang tak syoknya mereka ajak saya berkhemah. Suami saya dah beberapa kali bawa anak-anak termasuk anak-anak jiran. ‘Adventurous’ katanya.
Sebut pasal ‘camping’ ni bukan saya tak mahu. Masa zaman sekolah dulu pun saya memang suka ber’camping’, apalagi dulu saya aktif dalam Persatuan Pandu Puteri di sekolah. Ber’camping’ dalam hutan tu perkara biasa. Tapi sejak jadi ‘mak orang’ ni susah sikitlah. Saya membayangkan macam-macam kesusahan yang timbul nanti.
Tapi kerana suami dan anak-anak beria-ia jugak nak pergi, terpaksalah saya mengalah. Sampai di PD, saya terperanjat jugak. Sepanjang pantai berderetan khemah di pasang. Apabila merisik khabar dengan orang sebelah, tak sangka jumpa orang sekampung. Dia tinggal di KL jugak. Rupa-rupanya dah empat lima hari mereka anak beranak berkampung kat situ. Siap bawa kayu api untuk masak air dan sebagainya.
Sebelah saya pulak ada sebuah keluarga besar. Mereka pasang tiga empat khemah. Meriah sungguh. Malamnya mereka buat barbeku. Siap menonton TV lagi. Tak tau lah wayer TV itu dicucuk dari mana…
Sejak hari itulah saya mula seronok ber’camping’ semula. Tapi trip saya ke PD baru-baru ini memang best sebab diringi teman-teman sekerja.
“Dah booking penginapan ke?” Tanya En. Halim, bos Admin bertanya apabila dapat tahu kami nak ke PD.
“Tak payah booking, siapa dulu dia dapatlah,” jawab saya.
Sepertimana dijanjikan, kami pun bertolak apabila siap masak-masak di rumah. Sampai saja terus kami pacak tiang khemah. Tak sangka pulak saya dapat di tempat yang sama. Secara kebetulan pula, lepas kami pacak khemah, jiran sebelah dari Putrajaya berkemas-kemas untuk balik. Alhamdulillah, pucuk dicita ulam mendatang. Kami pun terus pacak satu lagi khemah. Tiga khemah kecil untuk orang prempuan satu khemah kenduri untuk orang lelaki.

Nak pasang khemah ke, main cak-cak ni?



Selepas zohor kami mula buat barbeku. Mujur Kak Sham bawa pembakar siap dengan arang. Pembakar hadiah dari Staf Day katanya. Rupanya dibuka di PD jugak. Anak-anak yang dah beberapa kali terjun ke laut mula datang bersama perut yang lapar. Alhamdulillah tengahari itu habis semua ayam bakar dimakan bersama nasi goreng dan bihun goreng.


Sebelah malam, anak-anak tak usik pun nasi putih yang siap dimasak. Kasihan tengok Su yang berusaha hidupkan api (sebab arang dah habis) suami saya pun keluar cari arang dan beli sedikit sosej untuk dibakar bersama kentang. Sekali lagi sesi bakar membakar meriah kembali.
Perut kenyang, hatipun senang. Maryam merengek-rengek ajar tidur. Maklumlah sepanjang hari asyik ke laut. Saya pun berbaring di sebelahnya. Sedar-sedar semua orang dah tiada. Mana perginya?
Rupa-rupanya semua dah ke tengah laut yang sedang surut ketika itu. Entah apalah dicari mereka, saya hanya nampak kerlipan lampu suluh di sana-sini. Kerlipan bintang di langit menambah rasa asyik. Dalam teraba-raba cari kasut, nama saya dipanggil dari jauh.
Saya nampak tiga insan; suami, Suriati, Kak Syam dan suaminya tengah duduk di tepi pantai atas sampan. Tengok anak-anak kami semua join penjelajah-penjelajah laut. Anak saya siap bawa balik ketam, tapi halus-halus je. Kalau besar tu sedap jugaklah boleh dibuat ketam bakar.


Lepas tu saya sambung tidur semula. Suriati kata nak tidur di luar sebab cuaca panas. Tak takut tak apalah. Kalau hujan masuk khemahlah, kata saya.
Keesokan pagi anak-anak semua sudah bangun menikmati air laut. Masa ini memang ‘best’ la mandi sebab air pasang semula. Sambil tengok mereka mandi mak-mak ni ready lah buat apa yang patut. Pagi itu Chef Ismail sedia memasak nasi goreng tiga rasa. Ada tiga jenis masakan yang berlainan diolah ikut apa yang ada. Emm berebut-rebut depa semua makan. Sudah siap makan kami berangkat ke KL semula. Azam tahun depan rasa nak pi camping lagi. Mungkin pi dengan karavan pula boleh pusing satu Malaysia. Harap-harap angan-angan jadi kenyataan…

January 20, 2009

Aura Cinta Madinah & Makkah

Teman-teman dari Makkah sudahpun kembali ke tanahair. Riuh cerita mereka lebih-lebih lagi Kak Jalilah yang ada saja cerita menarik dibawa pulang bersama. Ada cerita tawa, ada juga cerita air mata menimbulkan keinsafan kami mendengarnya.
Melihat gambar yang mereka ambil sepanjang musim haji yang lalu menghidupkan kembali nostalgia saya pada bumi Bakkah.
Masih terbayang-bayang keindahan kota Makkah dan Madinah. Walaupun buminya tandus berpadang pasir tapi di situ ada tarikan magnet untuk setiap hati kita datang meluah rasa rindu dan syahdu pada pemilik kota ini. Sehingga sekarang aura cinta Makkah dan Madinah begitu kuat membekas dalam diri. Sebut saja hati bergetar rindu dan pasti ada air mata bergenang di pipi.
Alhamdulillah sekelumit rasa itu saya nikmati apabila direzekikan untuk ke sana pada tanggal 4 Mac tahun 2007. Ketika itu saya diberi tugas membuat laporan perjalanan sebagai tetamu Allah bersama syarikat Andalusia Travel and Tours, syarikat pengelola haji dan umrah dikendali oleh Dato Hj Md Daud Che Ngah dan Haji Ibrahim Mat Sin. Ketika mendapat tahu mengenai amanah ini, tak tahu rasa hati. Kecut ada, gerun ada. Macam-macam perasaan bertali arus dalam diri. Semakin dekat tarikh berangkat, semakin saya risau. Setiap malam tak boleh melelapkan mata. Yang pasti jasad saja di bumi Malaysia tapi hati sudah mengembara jauh ke kota Makkah Madinah.
Kalau nak cerita pasal perjalanan ke sana memang tak habis-habis rasanya. Cuma saya terdetik nak berkongsi kisah benar yang sama alami. Baru tadi saya mendengar cerita dari Rosmah, teman di ofis.
“Kak Shimah tak tengok blog Pak Ya ke?”
“Kenapa? Akak memang tak sempat nak tengok blog dia. Blog sendiri pun dah lama tak bukak maklum semenjak ni pc meragam,” jawab saya. Bukan saya sebab pc meragam sepanjang bulan Disember 2008 ini jadual hidup rasa dah lintang pukang dibuatnya.
“Ooo cerita pasal apa tu ye?” Maklum saya tahu blog Pak Ya semakin diminati ramai dan sudah ada peminat tersendiri. Saya sendiri bila lapang akan buka blog dia, membaca pengalaman beliau membantu saya refresh semula ilmu-ilmu penulisan.
“Fasal aura yang boleh membentuk diri kita. Dulu dia nak pi Makkah dia niat dalam hati, alhamdulillah dapat pergi Makkah,” ujar Rosmah lagi. Saya masih ingat Pak Ya, staf pertama yang pergi umrah bersama Andalusia. Setahun kemudian rezeki saya, selepas itu Zuraimi pula dan kini Kak Aliyah pula sedang berada di bumi Bakkah.
“Haji Wan Azmin pun cam tu jugak. Sebelum pi dia dah niat nak buat haji dan buat persediaan seperti baca buku dan lain-lain jugak,” sambung Rosmah lagi.
“Ehh akak pun macam tu jugaklah, “kata saya berterus-terang. “Memang berniat dalam hati, tak sangka pulak dapat pi…”
“Kak Jal pun macam tu jugak. Akak niat nak sangat pergi haji lebih-lebih lagi lepas kita buat interbiu Khas Haji. Dengar mereka cakap pi haji masa muda, rasa nak sangat pergi. Bila beritahu ayah, dia cakap dia yakin akak dapat pi,” celah Kak Jalilah yang baru pulang bersama pergi tujuh orang kakitangan GISB dan Layar Consult.
Memang itu cerita sebenar saya dan rakan-rakan. Cerita benar tentang kehebatan kuasa niat dan doa.
Saya masih ingat lagi ketika menjadi penyelaras Anis dahulu saya diamanahkan untuk menaip bahan-bahan mengenai haji yang ditulis oleh Dato’ Haji Daud Che Ngah. Masa itu saya selalu bertanya pada Kak Jalilah istilah-istilah dan tempat-tempat yang saya musykil, maklumlah kita tak pernah jejak pun kota Makkah dan Madinah. Tak terbayang dalam kepala macam mana rupanya.
Setiap kali mendengar cerita-cerita dari Kak Jal dan Kak Lia mahupun Tn Haji Abu Hassan Morad dan team produksi Cinta Madinah, terbuai-buai rasa rindu di hati.
“Ada seorang peniaga tu, dia cerita setiap tahun dia akan berniat nak buat haji. Tahu-tahu ada aje rezeki dia ke sana,” saya masih ingat kata-kata seorang teman cerita benar seorang ibu kenalannya.
“Ish biar betul?” hati saya bertanya. Hati berdolak-dalik macam tak percaya.
Semenjak hari itu setiap kali menaip bahan mengenai haji saya sentiasa sematkan doa dan harapan,“Ya Allah suatu hari Kau rezekikan aku menjejak tanah suci,” doa saya tak kunjung padam walaupun sedar duit simpanan memang tidak ada.
Ternyata, Dia maha mendengar bisikan hati hamba-hamba-Nya, Cuma kita selalu berasa putus asa. Sekali berdoa kita rasa Allah tidak mendengar. Dua kali tiga kali dan seterusnya Dia pasti menyahut panggilan kita. Itulah kekuatan niat dan doa.
Semasa bertugas di Tanah Suci dahulu, saya sempat berkongsi cerita ini dengan teman-teman. Rupa-rupanya mereka juga banyak kisah menarik tentang niat & doa.
“Tak sangka, sebaik saja niat nak pi umrah, rezeki aku bertambah dan cukup-cukup untuk kami berdua pi umrah,” seorang teman bernama Seri Amin dan suami yang bekerja di Telekom memberitahu pengalamannya.
“Akak dulu masa pertama kali datang, berniat dan berdoa depan kaabah selepas ini akak nak datang setiap tahun dan kalau boleh nak bawa anak-anak sekali, Alhamdulillah Dia kabulkan,” cerita seorang teman yang sudah tunaikan haji dan saban tahun pergi umrah.
Alhamdulillah, di sepanjang musafir ke bumi barokah ini, saya sentiasa berdoa suami dan teman-teman yang belum menjejakkan kaki ke tanah suci dipanggil Allah untuk bertamu di rumah-Nya. Di mana-mana saja rombongan kami dipimpin berdoa dan menyeru nama keluarga dan sahabat handai agar datang bertamu di sini.
Setahun selepas itu, suami saya pula dapat menunaikan umrah bersama kumpulan Raihan. Pun ada ceita menarik mengenainya.
Saya berdoa sangat-sangat supaya suami direzekikan pergi umrah. Saya cukup terharu dengan pengorbanan suami yang sanggup jaga anak-anak ketika saya menunaikan umrah.
Suatu ketika kerinduan saya pada Rasulullah membuak-buak. Teringatkan baginda, kadang-kala air mata boleh mengalir dengan sendiri. Begitu mudah mungkin sebab dah menjejakkan ke bumi Madinah, melawati pusara baginda dan maqam para ahlul bait di sana. Dalam kerinduan begitu membuak-buak di dada itu seorang teman menjual jubah dan aneka pakaian dari fabrik t-shirt. Saya tertarik sangat dan nak beli jubah putih. Niat saya ketika itu jubah itu akan saya pakai untuk umrah. Saya kecewa sungguh apabila dapat tahu seorang teman sudahpun membelinya. Nak sangat jubah tu saya pujuk-pujuk dia, akhirnya dia sanggup beli jubah yang lain.
Saya gantungkan dalam bilik sambil memandang-mandang jubah itu. Bukan setakat memandang, saya mencium-cium jubah putih itu. Bila diingat-ingat semula seperti orang tak siuman pula. Tapi entah kenapa terasa seolah-olah saya nak berangkat ke Makkah dan Madinah. Haruman Raudah Nabi terbayang-bayang di ufuk mata. Yang peliknya nak pergi macam mana pun saya tak pasti lagi sebab duit simpanan memang tak ada. Saya pun tak tahu kenapa ada perasaan macam tu sekali?
Memang benar, kalau dah ada niat dalam hati Allah akan beri jalan untuk kita mencapai hajat yang baik. Tiba-tiba saja, suami saya ditawarkan membuat satu tugasan bersama Kumpulan Raihan. Raihan dijemput untuk membuat persembahan Festival Mahabbah – satu anjuran NGO di Dubai untuk mengiktiraf insan-insan dari seluruh dunia Islam yang mengajak pada rasa kecintaan pada Rasulullah SAW. Raihan juga telah menerima pengiktirafan itu pada tahun sebelumnya. Selepas persembahan di Dubai mereka juga ditaja tiket sehingga ke Jeddah. Jadi bolehlah mengerjakan umrah sekali.
Mendengar berita gembira ini tak terkata rasa hati. Tak sangka begitu cepat Allah mendengar luahan hati selama ini. Tiket penerbangan dan urusan umrah berjaya diselesaikan dalam masa seminggu sahaja. Masya Allah, begitu mudah.
Seorang teman juga mengesyorkan eloklah kalau suami dapat ikuti kursus ESQ165 sebelum berangkat menunaikan umrah supaya penghayatan diri dalam ibadah umrah dapat dirasai. Beberapa hari sebelum berangkat suami saya sempat mengikuti kursus ini.
Mendapat tahu berita ini, lagilah saya rasa terharu. Bercucuran air mata saya. Itu saja yang mampu saya luahkan atas tanda syukur. Terasa Allah begitu dekat di hati, Dia mengetahui apa yang terbetik di hati. Sesungguhnya Dia lebih dekat dari urat leher kita sendiri.
Terasa malu yang amat sangat, kerana begitu banyak kesalahan diri ini tapi Dia Al-Wahhab masih terus memberi dan memberi...

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...