“Salam Maal Hijrah…” ucap saya pada seorang teman.
“Apalah akak ni. Maal Hijrah lambat lagi. Raya dulu la…”
“Masya Allah, akak terlupa. Entah la raya pun dah tak masuk dalam fikiran ni. Ingat Maal Hijrah aje. Hai maklumlah kerja dengan majalah ni kami tua dua bulan dari orang lain.”
“He he he…” Teman tadi hanya ketawa. Geli hati barangkali dengan ‘cerita benar’ saya ini. Tapi itulah realiti kehidupan kami warga media. Bukan saja tua dua bulan dari orang lain tapi tua setahun kerana sudah ada perancangan isu apa yang hendak diketengahkan dalam jangka masa setahun. Apabila teringat pasal Hari Raya Haji yang bakal menjelang beberapa hari lagi saya mengeluh. Apakan tidak dalam fikiran asyik fikir deadline, deadline aje, kalau tidak alamatnya kami semua tak dapat ambik cuti.
Aduhai terasa begitu cepat masa berlalu. Baru saja sambut Hari Raya Aidilfitri, kini Aidiladha sudah menjelma lagi. Teringatlah saya pada gambar-gambar kenangan yang diambil masa Hari Raya Aidilfitri tempohari. Dari sehari ke sehari nak dimasuk dalam blog, asyik tak sempat saja. Sebab dalam fikiran hanya ada satu perkataan iaitu deadline. Rasanya sebelum gambar-gambar ini jadi ‘basi’ eloklah saya kepil di sini tanda kenangan bersama insan-insan yang amat saya kasihi. Kalau tidak nasibnya akan jadi seperti gambar-gambar setahun yang lalu.
Raya pertama
Gambar keluarga untuk tahun ini sempat juga saya rakam sebagai tanda kenangan bersama. Aduhai…tahun ini saya, abang (keempat) dan adik saja yang balik beraya. Abang-abang yang lain, Yop beraya di rumah mentua di Sg. Siput . Yang pulak beraya di Kuantan, Pahang. Mujurlah ada Hari Raya kalau tidak tak berjumpalah kau orang adik-beradik semua, kata emak gembira walaupun agak kesedihan sebab tidak semua anak-anaknya balik beraya.
Raya Kedua
Mengimbau kenangan di tanah tempat tumpahnya darahku…Inilah agenda saya dan keluarga setiap tahun setiap kali balik beraya iaitu jumpa sanak-saudara di Sayong, Kuala Kangsar, Perak. Kalau tak balik Kuale, terasa tak sah raya tahun tu. Apa lagi sambil menikmati ais cendol dan laksa kuala, jamu mata di kedai cenderamata. Kuala Kangsar, bandar diraya yang sudah banyak berubah sejak 30 tahun yang lalu. Sambil nikmati pemandangan indah teringat zaman kecik-kecik dulu.
Raya ketiga
Perjalanan 6 jam (kadangkala lebih lagi) dari Ipoh ke Muar, Johor memang memenatkan. Tapi kenangkan nak jumpa anak-anak saudara yang sudah makin membesar terasa begitu cepat masa berlalu. Pak Din (panggilan suami di kampungnya) memang ditunggu-tunggu sebab suami saya ni rajin melayani kerenah anak-anak buah di kampung. Malamnya kami buat upacara bakar-bakar. Bukan bakar mercun tapi bakar ayam, ikan, udang, sotong, ikan pari, kerang. Huu punyalah banyak. Tapi seronok walaupun hampir tengah malam siap selesai semuanya. Tahun ini kali kedua kami buat barbeku itupun atas permintaan ramai dengan jumlah korum yang makin bertambah dari sebelumnya.
Raya seterusnya
Di Malaysia suasana raya berjalan sebulan lamanya. Kami warga Anis tak henti-henti menerima jemputan. Ada yang boleh pergi, ada yang tidak. Teruji betul nak habiskan puasa Syawal. GISB pun buat rumah terbuka bersama MUNSYID iaitu Majlis Usahawan Nasyid. Majlis yang memang gempak sebab diserbu hampir 2000 orang pengunjung (gambar-gambarnya dah disiar dalam Anis keluaran November 08) Maklumlah semua teringin nak tengok macam manalah kami beraya di rumah baru kami di Kota Damansara.
Jika tiada Hari Raya
Cuba bayangkan jika tiada Hari Raya? Kata emak saya jika tidak ada Hari Raya, tidak dapatlah dia nak menatap wajah semua anak-anak bekumpul sekali di depan mata. Kata anak-anak saya tak adalah kami semua dapat duit raya. Kata pemilik gedung jika tiada hari raya siapa mahu beli bayu raya. Kata penjual kuih tidak adalah yang nak beli kuih raya. Kata pekeja-pekerja macam kami jika tiada Hari Raya tak dapatlah kami bonus Raya.
Bagi saya kalau tidak ada Hari Raya tak dapatlah saya berjumpa kawan-kawan yang dah lama tak bersua muka. Pendekata Hari Raya cukup penting dalam hidup kita semua. Maka hargailah nikmat kesyukuran berhari raya sehingga raya yang akan datang.
Dua tiga hari lagi jemaah haji akan berwukuf di Arafah, seterusnya ke Mudzalifah dan melontar jamrah di Mina. Di sinilah kemuncak ibadah haji. Walau di mana kita berada, moga kita dapat mencuplik pengorbanan agung Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail a.s dalam seluruh kehidupan kita. Korban seorang ayah bernama Ibrahim Khalilullah kerana cinta agungnya hanya untuk Allah. Korban anak bernama Ismail a.s sanggup dikorbankan nyawa di tangan ayah demi menagih redha Allah. Moga kisah yang berlaku 5000 tahun yang lampau menyuntik jiwa korban kita untuk Allah dan Rasul melebihi korban cinta kepada sesuatu yang hanya bersifat fana...Salam Aidiladha 1429 Hijrah.
Catatan perjalanan di pentas kehidupan, perkongsian dunia penerbitan dan penulisan.
December 04, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)
Catatan 17.10.2018
Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...
-
Jerit perih pasangan ini dalam menurunkan berat badan berbaloi malah usaha mereka kini menjadi penawar buat ramai insan lain yang mengalami...
-
Pada 8 hingga 12 Disember lalu, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke Beijing, China. Syukur, alhamdulillah. Sudah lama rasanya mahu menjej...